KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Pelajar Terengganu yang menerima pinjaman pengajian negeri berpeluang menikmati penukaran pembiayaan berkenaan kepada biasiswa penuh sekiranya berjaya mencatat keputusan cemerlang dengan CGPA 3.75 ke atas.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato’ Satiful Bahri Mamat, berkata kemudahan itu merupakan antara galakan kerajaan negeri kepada mahasiswa supaya memberikan prestasi terbaik sepanjang pengajian.
“Bagi mereka yang menerima pinjaman, kalau belajar bersungguh-sungguh dan berjaya mencapai CGPA 3.75 ke atas, pinjaman itu boleh ditukar menjadi biasiswa penuh.
“Maknanya, peluang sudah diberikan. Tanggungjawab pelajar pula ialah menggunakan peluang itu untuk mencapai kecemerlangan,” katanya.

Menurutnya, antara kemudahan pembiayaan yang diperkenalkan termasuklah Skim Pelajar Cemerlang serta peruntukan pinjaman pengajian sebanyak RM10 juta setahun.
Kerajaan negeri turut menyediakan pinjaman wang pendahuluan bagi membantu keluarga yang perlu menyediakan bayaran pengajian dalam jumlah besar pada peringkat awal, khususnya bagi program tertentu seperti pengajian perubatan di luar negara.
Satiful berkata, pelbagai bentuk pembiayaan itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan faktor kewangan tidak memutuskan cita-cita pelajar cemerlang.
Beliau berharap mahasiswa yang menerima bantuan melihat kemudahan tersebut sebagai satu amanah dan membalasnya dengan kesungguhan dalam pengajian.
“Kerajaan menyediakan ruang dan membantu apa yang termampu. Jadi gunakan peluang ini sebaik mungkin, belajar bersungguh-sungguh dan buktikan bahawa bantuan yang diberikan menghasilkan kejayaan,” katanya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Haji Mohd Zaini Mohd Nor; Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMITS), Kamaruzzaman Abdullah; serta Timbalan Pengarah (Operasi) Yayasan Terengganu, Mohd Nazri Muda.