Jalur Gemilang
Berita :
‘Banglo Pok Cik Man 9’ Kini Di Dasar Laut Rusila, Terengganu Selesai Labuh 157 Tukun Tiruan
‘Banglo Pok Cik Man 9’ Kini Di Dasar Laut Rusila, Terengganu Selesai Labuh 157 Tukun Tiruan
Hidayah Azlin
32 minit yang lepas
24

MARANG, 14 September - Dasar laut perairan Marang kini rasmi menerima 'penghuni' baharu selepas Kerajaan Negeri Terengganu menyempurnakan Siri Program Labuh Tukun Tiruan 2026 di Pantai Marang, hari ini.

Program yang membuka tirainya di Pantai Kijal, Kemaman pada 16 Jun lalu itu menyaksikan sebanyak 157 unit tukun berjaya dilabuhkan secara merata, iaitu sekitar 21 hingga 22 unit di setiap satu daripada tujuh daerah pesisir pantai negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, acara penutup di dasar Laut Rusila menyaksikan 22 unit tukun dilabuhkan, termasuk tukun istimewa yang dinamakan 'Pok Cik Man 9'.

"Tukun tiruan jenis kuboid juvenil ini dirancang khas untuk menjadi 'taman perumahan banglo' bagi hidupan marin. Selain menyediakan tempat pembiakan yang selamat, ia juga berfungsi sebagai perisai utama menghalang pencerobohan pukat tunda.

"Jemput mari semua anak beranak dan cucu cicit ikan menginap di sini, dijamin selamat daripada ancaman pukat tunda," katanya ketika mengulas pelabuhan fasa terakhir itu.

Mengulas lanjut, Dr. Azman menegaskan bahawa tugas kerajaan negeri tidak terhenti setakat proses pelabuhan semata-mata, sebaliknya pemantauan berkala akan terus dijalankan di dasar laut.

"Kerja kita belum selesai. Selepas dilabuhkan, tukun ini akan dipantau secara berkala dan perlu dibersihkan daripada pukat hantu serta pukat hanyut yang boleh mengganggu fungsinya," jelas beliau.

Bagi memastikan khazanah laut tersebut kekal memberi manfaat jangka panjang, beliau turut menitipkan beberapa pesanan mesra dan panduan penting khusus buat komuniti nelayan serta pemancing rekreasi.

"Pesan saya, jangan jadikan tukun ini milik peribadi sesiapa. Gunalah sebaiknya sebagai tempat awam untuk manfaat bersama.

"Jangan tahan bubu dekat tukun, jangan letak unjam di atasnya, dan jangan sekali-kali potong pelampung penanda tukun," tegas beliau lagi.

Beliau berharap agar inisiatif tersebut dapat membantu meningkatkan populasi ikan serta menjamin pendapatan warga nelayan, sambil membayangkan siri program pelabuhan tukun akan diteruskan lagi pada tahun hadapan.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan