Jalur Gemilang
Berita :
Sang Buaya Benam Lawan Di Laman Sendiri
Sang Buaya Benam Lawan Di Laman Sendiri
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
39

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - The Crocs Paddle mewakili Kampung Tanjung Sabtu berjaya membenam pasukan Petai Bubus pada perlawanan akhir Festival Perahu Panjang Tradisional Raja Sungai Nerus 2026 di Tanjung Sabtu, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan Tanjung Sabtu mengekalkan kejuaraan yang dimenangi dalam edisi terdahulu, sekali gus menafikan hasrat Petai Bubus untuk merampas takhta Raja Sungai Nerus.

Pasukan Cherang Sepulau pula menduduki tempat ketiga bagi kategori berkenaan.

Ketua Pasukan The Croc, Husni Tajuddin berkata, kemenangan kali ini amat bermakna kerana diraih di laman sendiri.

"Alhamdulillah syukur pada Allah Ta'ala untuk kemenangan hari ini, Tanjung Sabtu dapat mengekalkan rekod kemenangan pada tahun lepas,

"Dan juga untuk kali ini kita dapat kekalkan rekod kemenangan itu di kampung kita sendiri, kita kekalkan kejuaraan bertahan kita di tempat sendiri," katanya.

Terdahulu, Sang Buaya sebelum ini sekadar melangkah ke peringkat separuh akhir ketika menyertai pertandingan peringkat antarabangsa di Putrajaya dan suku akhir di Kuantan, pada tahun ini.

Namun, pengalaman itu tidak mematahkan semangat pasukan berkenaan untuk kembali memberikan aksi terbaik di laman sendiri.

Tok Juara, Faizol Alias pula berkata, pengalaman menyertai pertandingan di Putrajaya dan Kuantan menjadi pembakar kepada pasukan yang dibarisi 26 anggota termasuk empat pemain simpanan.

"Kita walaupun hanya ke separuh akhir tapi kita amat-amat bangga sebab kita dari pasukan kampung bukan pasukan yang besar.

"Jadi amat-amat bangga dan dengan pengalaman yang diambil dari Putrajaya dan Kuantan, kita bawa ke sini," ujarnya.

Sementara itu, Husni berkata suasana pertandingan di kampung sendiri memberikan pengalaman berbeza apabila sokongan penonton di sepanjang tebing sungai menambah kemeriahan perlumbaan.

"Kalau (pertandingan di) kampung, kita memang situasi begini dengan ada mercunnya dengan trompetnya memang berbeza, ada penonton lagi kiri kanan di tebing," ujarnya.

Bagi kategori agensi kerajaan pula, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu muncul juara, diikuti Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu di tempat kedua dan Syarikat Air Terengganu (SATU) di tempat ketiga.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan