KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Rasa tidak puas hati dipendam terhadap abangnya dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak memukul mangsa sehingga maut dalam kejadian di Kampung Banggol Tasek, Bukit Payong, di sini, semalam.
Ketua Polis Terengganu, Dato' Mohd Khairi Khairudin berkata, suspek yang merupakan lelaki berusia 42 tahun dan mempunyai masalah mental dipercayai berasa tidak puas hati terhadap mangsa yang merupakan abang kandungnya.

"Abang dia ini memang ada rekod kes narkotik dan mungkin dia (mangsa) selalu minta duit dengan keluarga dan menyebabkan suspek ini marahlah.
"Jadi di atas kejadian tersebut, mungkin dah lama pendam dia mengambil keputusan sebegitu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Dewan Redang, IPK Kuala Terengganu, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 10.50 pagi semalam, polis menerima maklumat mengenai pergaduhan di sebuah rumah keluarga di Kampung Banggol Tasek.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa pertama yang juga abang kandung suspek, seorang lelaki Melayu berusia 43 tahun, telah disahkan meninggal dunia akibat dipukul dengan objek tumpul.
"Mangsa kedua, seorang wanita Melayu berusia 36 tahun yang merupakan adik kandung suspek, mengalami kecederaan selepas dipukul ketika cuba menghalang suspek daripada menyerang mangsa pertama," jelas beliau.
Ulasnya lagi, mangsa wanita mengalami kecederaan di bahagian tangan selain beberapa kecederaan lain.
Katanya, suspek kemudiannya berjaya ditahan polis di tepi jalan di Bandar Bukit Payong selepas kejadian.
"Kita akan menjalankan siasatan lebih lanjut lagi. Buat masa ini kita sebagai objek tumpul dan bergantung kepada laporan forensik juga," ujarnya.
Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan permohonan reman telah dibuat hari ini bagi membantu siasatan lanjut.