KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Kehadiran ramai pengunjung menyaksikan permainan tradisi turun temurun di pesisir Sungai Nerus membuktikan Festival Perahu Panjang masih mempunyai tempat dihati rakyat, khususnya penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat berkata, sambutan meriah itu menunjukkan acara warisan tersebut mempunyai peminat tersendiri dan wajar diteruskan.

"Ramai peminat dia dan ini satu benda yang patut diteruskanlah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Festival Perahu Panjang Tradisional Raja Sungai Nerus 2026 di Tanjung Sabtu, semalam.

"Saya tengok sepanjang sungai ini penuh dengan orang kampung, dengan masyarakat orang luar, yang nak tengok macam mana perlawanan ini," ujarnya kepada pemberita.
Ulasnya lagi, pertandingan berkenaan bukan sekadar acara sukan dan hiburan, sebaliknya menjadi medium untuk mengekalkan warisan perahu panjang yang pernah digunakan sebagai pengangkutan masyarakat pada zaman dahulu.
"Perahu panjang ini adalah merupakan satu kenderaan zaman dahulu sebelum ada kereta, ada van, ada lori, dahulu itulah pengangkutan yang digunakan oleh penduduk untuk turun ke bandar," jelasnya.

"Jadi perahu panjang ini masih ada hari ini sebab masih ada perlawanan perahu panjang ini.
"Jadi tahniahlah kepada penganjur pada penduduk Kampung ini di sekitar Sungai Nerus ini yang memelihara khazanah ini," katanya.