lightning-solid
Berita :
Dua Penyelidik UMT Raih Geran Antarabangsa RM3.9 Juta Pulih Ekosistem Bakau
Dua Penyelidik UMT Raih Geran Antarabangsa RM3.9 Juta Pulih Ekosistem Bakau
Mastura Jamal Din
19 jam yang lepas
180

KUALA NERUS, 19 Julai – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju penyelidikan marin apabila dua penyelidiknya berjaya memperoleh geran penyelidikan antarabangsa bernilai £714,000 (kira-kira RM3.9 juta) bagi melaksanakan projek pemulihan ekosistem bakau di Malaysia.

Geran tersebut merupakan sebahagian daripada pembiayaan keseluruhan bernilai RM13.5 juta bagi projek penyelidikan bertajuk REVIVE: Just Restoration and Equitable Value Chains for Inclusive, Viable Mangrove Ecosystems: The Case of Malaysia yang akan dilaksanakan selama tiga tahun bermula Julai 2026 hingga Jun 2029.

Projek itu dibiayai oleh Global Centre on Biodiversity for Climate di bawah Department for Environment, Food and Rural Affairs (DEFRA), United Kingdom.

Penyelidikan berkenaan diketuai Prof. Madya Dr. Behara Satyanarayana dari Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) bersama Dr. Giovanna Wolswijk dari Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT.

Dr. Giovanna berkata, projek tersebut akan memberi tumpuan kepada tiga kawasan bakau utama negara iaitu Hutan Simpan Paya Bakau Matang di Perak, Sungai Acheh dan Sungai Chenaam di Pulau Pinang serta Taman Negeri Wetland Setiu di Terengganu.

Menurut beliau, projek REVIVE bukan sahaja bertujuan memulihkan ekosistem bakau, malah membangunkan model pemulihan yang mampu meningkatkan kesejahteraan ekonomi komuniti pesisir melalui pendekatan yang lebih inklusif.

“Pemulihan bakau perlu dilaksanakan secara holistik dengan menggabungkan sains, penglibatan komuniti dan tadbir urus yang inklusif supaya manfaat ekosistem dapat dikongsi secara adil.

“Bakau bukan sekadar benteng semula jadi yang melindungi pantai dan menyimpan karbon biru, malah menjadi sumber kehidupan kepada ribuan komuniti pesisir. Melalui REVIVE, kami mahu memastikan usaha pemulihan ini memberi manfaat kepada alam sekitar di samping memperkasakan komuniti melalui peluang ekonomi yang lebih mampan serta rantaian nilai yang lebih adil,” katanya.

Beliau berkata, penyelidikan itu merangkumi pemetaan karbon biru, penilaian kesihatan ekosistem, intervensi pemulihan habitat serta penyelesaian terhadap isu kemerosotan pokok bakau, pemendapan pasir dan kelestarian industri berasaskan bakau.

Katanya, penglibatan komuniti sebagai rakan strategik dalam setiap fasa penyelidikan merupakan elemen penting bagi memastikan usaha pemuliharaan dapat diteruskan secara mampan.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, kejayaan memperoleh geran berprestij itu membuktikan keupayaan penyelidik universiti tersebut bersaing di peringkat antarabangsa.

“Ini adalah bukti bahawa UMT mampu berada di barisan hadapan penyelidikan global dalam bidang kelestarian marin. UMT akan terus memainkan peranan penting dalam usaha mengekalkan kelestarian ekosistem demi manfaat negara dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu turut mengukuhkan kedudukan UMT sebagai universiti peneraju dalam penyelidikan marin dan kelestarian, selain menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya berkaitan tindakan terhadap perubahan iklim, pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan komuniti pesisir secara lestari.



Tag :

Artikel Berkaitan