Jalur Gemilang
Berita :
Kerajaan Terengganu Tolak Pertukaran Tanah Bagi Projek STP Pulau Redang
Kerajaan Terengganu Tolak Pertukaran Tanah Bagi Projek STP Pulau Redang
Rohayati Ripin
8 jam yang lepas
254

KUALA TERENGGANU, 14 September – Kerajaan Terengganu memutuskan tidak akan menggunakan kaedah pertukaran tanah dengan pengusaha resort bagi melaksanakan projek pembinaan dan pengurusan loji rawatan kumbahan (STP) di Pulau Redang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato’ Razali Idris berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri meneliti beberapa cadangan penyelesaian bagi menangani masalah sistem kumbahan di pulau peranginan berkenaan yang berlarutan sejak sekian lama.

“Untuk projek pembetungan di Pulau Redang, kita tidak akan terlibat dengan ‘land swap’.

“Ada cadangan untuk melaksanakan projek bernilai RM5 juta dengan pertukaran sebidang tanah di Pulau Redang. Kita tolak dan saya sudah maklumkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Beliau juga menolaknya secara total.

“Kita ada jalan keluar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi perbincangan dan penyelarasan tindakan penyelesaian isu pengurusan sisa, kumbahan dan alam sekitar Pulau Redang di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut Razali, kerajaan negeri sebaliknya akan membina sendiri STP bagi fasa pertama dengan kos dianggarkan antara RM5 juta hingga RM10 juta untuk kegunaan tujuh resort di Pantai Panjang.

Katanya, pihak resort turut bersetuju untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) atau perjanjian berkaitan pelaksanaan sistem tersebut.

“Apabila STP siap kelak, pihak resort akan menyalurkan efluen ke sistem tersebut dan membuat bayaran, manakala aspek penyelenggaraan serta pengoperasian STP akan diamanahkan kepada Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT),” katanya.

Bagi fasa kedua pula, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan LAUT bagi menyediakan sistem pembetungan untuk 31 resort di Pulau Redang.

Kos projek berkenaan dianggarkan sekitar RM50 juta.

Razali berkata perincian projek itu kini berada pada peringkat akhir dan sesi libat urus dijangka diadakan dalam tempoh satu hingga dua minggu.

“Kalau semuanya berjalan seperti dirancang, projek ini akan dilaksanakan secara berfasa. Fasa pertama dibuat oleh kerajaan negeri dengan kos sekitar RM5 juta hingga RM10 juta, manakala fasa kedua akan dilaksanakan bersama IWK.

“Saya teruja dengan komitmen yang diberikan IWK dan SPAN untuk memastikan isu berkaitan kelestarian alam sekitar di Redang dapat diselesaikan.

“Itulah yang kita mahu dan insya-Allah pada 2027 kita melangkah ke Tahun Melawat Terengganu dengan lebih sempurna,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri turut bersetuju menutup sementara empat kawasan aktiviti snorkeling dan selam skuba di Pulau Redang bagi membolehkan kerja pemulihan serta pengurusan kawasan terumbu dilaksanakan.

Empat lokasi terbabit kata beliau ialah Pasir Akar, Paku Besar, Ekor Tebu dan Pulau Lima.

“Sekarang ini kita bersetuju untuk tutup empat kawasan berkenaan. Ia melibatkan aktiviti snorkeling dan selam skuba.

“Kita mahu membaik pulih kawasan yang dijadikan lokasi snorkeling dan selam skuba itu. Buat masa ini semua aktiviti di kawasan berkenaan ditutup,” katanya.

Menurut Razali, langkah susulan termasuk pemasangan boya yang sesuai bagi menandakan kawasan terbabit selain libat urus lanjut bersama Jabatan Perikanan dan pihak pengurusan Taman Laut.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan