Jalur Gemilang
Berita :
Kerajaan Negeri Ambil Alih Operasi Insinerator Pulau Redang
Kerajaan Negeri Ambil Alih Operasi Insinerator Pulau Redang
Rohayati Ripin
6 jam yang lepas
117

KUALA TERENGGANU, 14 September – Kerajaan Terengganu akan mengambil alih pengoperasian insinerator di Pulau Redang bagi memastikan kemudahan itu dapat beroperasi setiap hari berbanding secara berselang dua hari sekali sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Razali Idris berkata, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) turut diarahkan menyediakan tenaga kerja bagi mengendalikan kemudahan berkenaan seperti biasa.

“Jadi kita arahkan MBKT supaya menyediakan pekerja dan beroperasi seperti biasa. Perbelanjaannya sekitar RM4,000 sebulan dan RM50,000 setahun dan kita akan ambil alih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media mengenai status operasi insinerator itu selepas sesi perbincangan dan penyelarasan tindakan penyelesaian isu pengurusan sisa, kumbahan dan alam sekitar di Pulau Redang di Wisma Darul Iman, semalam.

Menurut Razali, kemudahan berkenaan sebelum ini tidak dapat beroperasi sepenuhnya susulan isu berkaitan kos serta tanggungjawab pengoperasian.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan negeri kini memutuskan untuk mengambil alih aspek pembiayaan operasi bagi membolehkan insinerator itu berfungsi secara berterusan.

Mengulas perancangan sebelum ini yang menyasarkan pengoperasian insinerator bermula pada 2027, Razali berkata kerajaan negeri mahu perkara itu disegerakan.

“Sekarang ini kita mahu segerakan. Ada beberapa bahagian dan mesin yang rosak dan perlu dibaiki.

“Dalam mesyuarat tadi juga kita bincangkan mengenai isu teknikal, termasuk bekalan air. Jadi kita sedang melihat bagaimana untuk menyelesaikan perkara itu,” katanya.

Sebelum ini, MBKT memperkenalkan pendekatan baharu bagi pengurusan sisa pepejal di Pulau Redang menerusi pembinaan rumah sampah atau kebuk sampah, selain merancang penggunaan teknologi insinerator bermula 2027 bagi memastikan pulau peranginan itu kekal bersih dan lestari.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat dilaporkan berkata, rumah sampah itu dibina bagi mengumpulkan sisa pepejal dari kawasan perkampungan sebelum dipindahkan menggunakan bot ke Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan.

“Sampah ditempatkan di rumah sampah secara transit dan dalam keadaan tertutup.

“Bot akan mengambil sampah dari rumah sampah terus ke Tapak Pelupusan Sampah di Sungai Ikan.

“Rumah sampah yang disediakan adalah tertutup dan beratap untuk mengelakkan gangguan haiwan, hujan, pencemaran bau dan tidak mencacatkan pemandangan,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan