Jalur Gemilang
Berita :
Semarak Maulidur Rasul DUN Jabi Meriah, Ramai Berhimpun
Semarak Maulidur Rasul DUN Jabi Meriah, Ramai Berhimpun
Hidayah Azlin
5 jam yang lepas
86

SETIU, 15 September – Program Forum Maulidur Rasul peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi yang berlangsung di Dewan Terbuka Kampung Tasek Nibong baru-baru ini mendapat sambutan hangat apabila ratusan penduduk setempat berhimpun bagi menghayati sirah perjuangan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.


Sesi forum malam tersebut menampilkan barisan panel hebat iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim bersama penceramah bebas popular, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMiTS) yang mengupas topik keperibadian serta perjuangan baginda Rasulullah SAW.


Dalam perkongsiannya, Dr Azman menegaskan bahawa penganjuran forum seumpama ini bertujuan memantapkan kefahaman masyarakat terhadap risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.


"Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu terdapat contoh ikutan dan tauladan yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan hari akhirat.


"Kecintaan kita kepada Rasulullah SAW mesti diterjemahkan secara nyata dengan mempelajari sirahnya, mengamalkan sunnahnya, mentaati perintahnya, berselawat kepadanya serta menegakkan syariatnya," katanya.

Selain pengisian kerohanian dan majlis ilmu, suasana program turut meriah dengan acara cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik. 

Antara yang menjadi perhatian termasuklah sebuah basikal atau 'gerek' sebagai hadiah utama selain barangan kelengkapan rumah seperti kipas, toto, barangan elektrik serta hamper. 


Dr Azman turut menzahirkan rasa terharu dan merakamkan penghargaan atas sokongan padu yang ditunjukkan oleh komuniti setempat yang hadir memeriahkan majlis.

Kehadiran penduduk dari Kampung Tasek Nibong, Bukit Jeruk, Kampung Bahagia, Anak Musang, Padang Lengkuas serta kawasan sekitarnya membuktikan semangat kebersamaan dan kecintaan warga Jabi terhadap penganjuran syiar Islam di peringkat akar umbi.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan