Jalur Gemilang
Berita :
Penduduk Dinasihatkan Tidak Ganggu ‘Awang Kolam’, Utamakan Keselamatan
Penduduk Dinasihatkan Tidak Ganggu ‘Awang Kolam’, Utamakan Keselamatan
Muhammad Aqil Mat Ali
8 jam yang lepas
257

HULU TERENGGANU, 14 September – Orang ramai khususnya penduduk berhampiran Kampung Kolam dinasihatkan supaya tidak menghampiri, mengganggu atau cuba mengambil tindakan sendiri terhadap seekor gajah liar yang diberi nama “Awang Kolam”.

Gajah berkenaan difahamkan telah berada di kawasan tersebut sejak Khamis lalu dan kini menjadi perhatian orang ramai yang datang untuk melihat haiwan berkenaan.

Susulan aduan diterima, PERHILITAN Kuala Berang telah mengambil tindakan dan sedang menguruskan situasi berkenaan.

Dalam perkembangan terkini, pihak PERHILITAN masih menunggu ketibaan dua ekor gajah denak dari Muadzam Shah, Pahang, yang dilaporkan bertolak kira-kira jam 3.00 petang tadi bagi membantu usaha menangani dan memindahkan gajah liar tersebut.
Justeru, sementara menunggu ketibaan gajah denak berkenaan, orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak PERHILITAN menjalankan tugas serta tidak membuat sebarang tindakan yang boleh mengganggu atau mengancam keselamatan gajah dan orang awam.

Penduduk juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan menjauhi kawasan gajah berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.


Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan