KUALA TERENGGANU, 7 April - Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) menyasarkan untuk terus mengekalkan dominasi dalam Liga Hoki Malaysia TNB (TNB-MHL) 2026 dengan mempertaruhkan gabungan pemain berpengalaman dan tenaga baharu yang diyakini mampu membawa cabaran lebih besar musim ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri kekal komited memperkasa sukan hoki sebagai antara sukan teras dan kebanggaan Terengganu.

Bagi musim 2026, kira-kira 85 peratus skuad THT terdiri daripada tonggak sedia ada, digabungkan dengan beberapa pemain baharu termasuk import dari Afrika Selatan dan India.
Antara perhatian ialah kehadiran penyerang baharu, Keenan Craig serta pemain tengah import, Samkelo yang pernah beraksi di Sukan Olimpik 2020. Seorang lagi pemain import, Dilraj Singh dijangka menyertai pasukan selepas aksi pembukaan musim.
Dalam masa sama, THT turut menerima suntikan tenaga baharu tempatan menerusi kehadiran Muhammad Amirul Hanif Mamat, yang pernah digelar 'aset masa depan hoki' oleh jurulatih lawan.

Mengulas pencapaian musim lalu, Hishamuddin berkata THT wajar berbangga apabila berjaya meraih gelaran treble termasuk Piala Sumbangsih, liga dan Piala TNB selain turut menjuarai Piala Tun Abdul Razak 2025.
"Musim ini dijangka lebih mencabar dengan kehadiran pasukan-pasukan kuat seperti TNB yang dibarisi pemain kebangsaan dan import berkualiti tinggi.
"Namun, saya yakin dengan semangat juang, disiplin dan kesatuan pasukan, THT mampu terus mencipta kejayaan.
"Sasaran kita jelas, kita mahu kekal sebagai pasukan dominan dan terus mengharumkan nama Terengganu," katanya.
Sebagai pembuka tirai musim, THT akan beraksi dalam Piala Sumbangsih 2026 pada 11 April ini di Stadium Hoki Batu Buruk yang dianggap gelanggang keramat pasukan itu.
Beliau turut menghargai sokongan 17 penaja termasuk penaja utama SATU yang menjadi pemangkin kepada kekuatan pasukan musim ini.
Dalam masa sama, Hishamuddin juga merakamkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu atas komitmen berterusan memastikan pembangunan sukan negeri berada di landasan terbaik.
Tambahnya, projek naik taraf Stadium Hoki Batu Buruk yang sedang dilaksanakan dijangka menjadi pemangkin baharu kebangkitan hoki negeri dengan kemudahan lebih baik kepada pemain dan penyokong.
Pada musim kali ini, pasukan THT akan menyarung jersi versi baharu tajaan FR9, manakala Terengganu Women pula ditaja oleh Young Tiger.
"Kepada para pemain dan pegawai pasukan, ingatlah, anda bukan sekadar bermain untuk kemenangan tetapi membawa harapan dan maruah seluruh rakyat Terengganu," ujarnya.
Tag :