lightning-solid
Berita :
Akademi Bola Sepak Klinik Perubatan Wildan Dilancar
Akademi Bola Sepak Klinik Perubatan Wildan Dilancar
Ariss Alias
4 jam yang lepas
38

KUALA TERENGGANU, 19 Ogos – Akademi Bola Sepak Klinik Perubatan Wildan dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis di Permata Hall, Hotel Permai, di sini, semalam sebagai inisiatif baharu bagi memperkukuhkan pembangunan bola sepak akar umbi di Terengganu. 

Akademi berkenaan memberi fokus kepada usaha mencungkil dan membangunkan bakat muda dalam bola sepak menerusi platform yang lebih tersusun, sekali gus membuka peluang kepada pemain muda untuk mengembangkan potensi mereka sejak peringkat awal. 

Ahli Lembaga Pengarah Klinik Perubatan Wildan, Mujahid Sabri Mohd, berkata penubuhan akademi itu merupakan sebahagian daripada komitmen pihaknya untuk menyumbang kepada komuniti dan pembangunan bola sepak tempatan. 

Menurutnya, pihaknya berharap inisiatif berkenaan dapat menjadi platform melahirkan generasi baharu pemain bola sepak yang mampu membawa nama Terengganu ke tahap lebih tinggi.

“Dapat lahirkan seorang bintang seperti Lamine Yamal pun tidak mengapa,” katanya secara berseloroh ketika menyatakan harapan terhadap potensi akademi berkenaan, di sini, semalam. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu merealisasikan penubuhan akademi itu, termasuk Terengganu FC, rakan kerjasama SK Batu Rakit serta barisan kejurulatihan.

Katanya, sokongan dan kerjasama pelbagai pihak amat penting bagi memastikan usaha pembangunan bakat muda dapat dilaksanakan secara berterusan.
Pelancaran akademi itu turut mendapat sokongan barisan pemain dan kejurulatihan Terengganu FC yang hadir memeriahkan majlis, sekali gus memperlihatkan kesinambungan hubungan antara Klinik Perubatan Wildan dan TFCSB. 

Penubuhan Akademi Bola Sepak Klinik Perubatan Wildan dijangka menjadi antara platform penting dalam usaha memperluaskan pembangunan bola sepak akar umbi di negeri ini, khususnya dalam mengenal pasti bakat muda yang berpotensi untuk diketengahkan pada masa depan.


Tag :

Artikel Berkaitan