lightning-solid
Berita :
Klinik Perubatan Wildan Terus Komited Bersama TFCSB Hadapi Musim 2026/2027
Klinik Perubatan Wildan Terus Komited Bersama TFCSB Hadapi Musim 2026/2027
Ariss Alias
4 jam yang lepas
75

KUALA TERENGGANU, 19 Ogos – Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) meneruskan kerjasama strategik bersama Klinik Perubatan Wildan bagi musim 2026/2027 menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Hotel Permai, di sini, semalam. 

Kerjasama berkenaan memasuki tahun kedua dan menjadi kesinambungan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan hubungan antara sektor kesihatan dan industri bola sepak di Terengganu. 

MoU berkenaan ditandatangani Ahli Lembaga Pengarah Klinik Perubatan Wildan bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB serta disaksikan wakil Ahli Lembaga Pengarah kedua-dua organisasi. 

Kerjasama itu memberi penekanan kepada aspek penjagaan kesihatan pemain, di samping memperkukuhkan usaha mempromosikan amalan gaya hidup sihat kepada masyarakat menerusi platform sukan. 

Ahli Lembaga Pengarah Klinik Perubatan Wildan, Mujahid Sabri Mohd, berkata pihaknya bersyukur kerana dapat meneruskan komitmen untuk menyumbang kepada komuniti setempat dan pembangunan sukan bola sepak di negeri ini. 

Menurutnya, jalinan kerjasama berkenaan diharap dapat berkembang sebagai hubungan jangka panjang yang memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi serta masyarakat. 

“Ini adalah satu lagi komitmen Klinik Wildan kepada komuniti setempat dan negeri Terengganu amnya untuk sama-sama meningkatkan mutu sukan bola sepak tempatan,” katanya. 

Beliau berkata, pihaknya turut berharap kerjasama itu dapat membantu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang mampu mengharumkan nama Terengganu dalam arena bola sepak. 

Majlis berkenaan turut dihadiri barisan pemain serta kejurulatihan Terengganu FC sebagai tanda sokongan terhadap kesinambungan kerjasama strategik antara Klinik Perubatan Wildan dan TFCSB. 

Kerjasama tersebut sekali gus mencerminkan kepentingan aspek kesihatan dalam memastikan kebajikan dan prestasi pemain sentiasa berada pada tahap terbaik sepanjang menghadapi saingan musim 2026/2027.


Tag :

Artikel Berkaitan