lightning-solid
Berita :
SUKMA 2026: Cedera Dua Hari Sebelum SUKMA, Ridzuan Masih Raih Emas
SUKMA 2026: Cedera Dua Hari Sebelum SUKMA, Ridzuan Masih Raih Emas
Ahmad Zaeem Zainudin
4 jam yang lepas
42

KAJANG, 19 Ogos - Kecederaan di bahagian pinggang belakang tidak menghalang atlet angkat berat Terengganu, Ahmad Ridzuan Shah Roslan, untuk menghadiahkan pingat emas dalam acara 88 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.

Lebih membanggakan, atlet berusia 19 tahun itu berjaya mencatat jumlah angkatan 280kg, meninggalkan atlet Sabah dengan perbezaan lima kilogram.

Ridzuan berkata, kecederaan yang dialaminya kira-kira dua hari sebelum berangkat ke SUKMA sedikit menjejaskan keyakinannya.

Lebih merisaukan apabila dia juga merupakan atlet sasaran Terengganu untuk meraih pingat perak.

"Dua hari sebelum nak pergi SUKMA, saya cedera bahagian pinggang.

"Selepas itu, saya rasa sedih sedikit sebab Terengganu target pingat perak. Takut juga sikit.

"Cuma atas pentas tadi, saya lawan sajalah sebab rekod saya pun jauh. Jadi saya buat yang termampu," katanya.

Menurutnya, sokongan keluarga dan orang kampung yang hadir menyaksikan saingan turut menjadi tonik untuk memberikan persembahan terbaik.

"Saya lawan sebab keluarga saya ada, saya nak buat yang terbaik. Emak saudara saya datang, ramai orang sekampung tengok saya. Memang saya buat yang terbaiklah," jelasnya kepada pemberita.

Ridzuan Shah berkata kejayaan itu cukup bermakna kerana ia merupakan penyertaan pertamanya di SUKMA, selain berjaya merealisasikan impian untuk membawa pulang pingat emas.

"SUKMA pertama saya, impian saya memang SUKMA pertama nak bawa balik pingat emas.

"Biarpun macam susah nak bawa balik pingat emas, tapi saya yakin dengan diri saya," katanya.

Atlet kelahiran Kuala Nerus itu mengungguli saingan dengan jumlah angkatan keseluruhan 280kg, menerusi catatan 130kg dalam snatch dan 150kg dalam clean & jerk.

Pingat perak menjadi milik atlet Sabah, Henry Stephen Gampion, dengan jumlah 275kg, manakala pingat gangsa diraih Syafiq Afeef Sawal Rudin dari Johor dengan 263kg.


Artikel Berkaitan