Berita :
Terengganu Tubuh Jawatankuasa Khas Tangani Impak Krisis Global
Terengganu Tubuh Jawatankuasa Khas Tangani Impak Krisis Global
Mohd Irsyadi Abu Bakar
2 jam yang lepas
107

KUALA TERENGGANU, 20 April - Konflik geopolitik yang berlaku di Asia Barat, sedikit sebanyak akan memberi kesan terhadap pelaburan, perdagangan dan inflasi dalam negara.

Melihat kemungkinan itu, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memaklumkan, kerajaan negeri telah menubuhkan satu jawatankuasa khas diketuai pegawai kewangan negeri, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak sebagai langkah awal menangani impak dari kemelut tersebut.

"Setakat ini, selepas krisis ini kita masih belum menerima data yang jelas sejauh mana kita terjejas, tetapi secara umumnya memang akan terjejas.

"Melihat kepada projek-projek yang sedang berjalan, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk mengkaji bagi memastikan projek yang sedang berjalan tidak tergendala dan projek-projek akan datang ditangguhkan untuk menilai implikasi supaya dapat diubah dari segi harga, apa semua untuk kelangsungan projek itu.

"Antara projek yang sedang berjalan ialah pembinaan jambatan-jambatan yang ada seperti Jambatan Marang, loji rawatan air (LRA) termasuklah projek jalan-jalan kampung di bawah MARRIS," katanya.

Tambahnya lagi, kos bagi projek-projek terlibat dijangka meningkat 20 hingga ke 40 peratus.

"Melihat kepada krisis yang berlaku dan bersandarkan kepada krisis-krisis ekonomi sebelum ini, sekalipun perang itu tamat hari ini bukan esok ia boleh terus normal, ia akan ambil masa.

"Pendapat-pendapat dari pakar ekonomi menjangkakan kesannya boleh dirasai dalam tempoh enam bulan sehingga dua tahun," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan