Jalur Gemilang
Berita :
Kerajaan Negeri Laksana Segera Pembinaan Semula Masjid At-Taqwa
Kerajaan Negeri Laksana Segera Pembinaan Semula Masjid At-Taqwa
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
51

KUALA TERENGGANU, 19 November - Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan pembinaan semula Masjid At-Taqwa, Kampung Beris Tok Ku, di sini, yang musnah hampir keseluruhannya dalam kejadian kebakaran pada 6 November lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembinaan semula masjid berkenaan akan dilaksanakan di tapak asal dengan kadar segera bagi memastikan kemudahan dan keperluan ibadah penduduk setempat dapat dipulihkan. 

“Kerajaan negeri amat bersimpati dengan insiden kebakaran yang memusnahkan masjid berkenaan dan mengambil keputusan untuk membina semula rumah ibadat itu demi kemudahan masyarakat setempat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini, hari ini.

Terdahulu, kira-kira 90 peratus bangunan Masjid At-Taqwa di Jalan Permaisuri, Kampung Beris Tok Ku, musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 2.50 pagi.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan