Jalur Gemilang
Berita :
Tony Pua Biadap Persenda Kewibawaan Agong, Pemuda PAS Gesa Dikenakan Tindakan Tegas
Tony Pua Biadap Persenda Kewibawaan Agong, Pemuda PAS Gesa Dikenakan Tindakan Tegas
Adli Mohamad
45 minit yang lepas
55

KUALA TERENGGANU, 19 November - Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) tampil membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua susulan kenyataan biadap yang didakwa mempersendakan kewibawaan Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pemangku Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu itu bagi menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan telus terhadap kenyataan berkenaan.

Tegasnya, tindakan segera itu perlu dilakukan kerana ia juga membabitkan isu kebocoran Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan.

"Kita hadir hari ini untuk memohon kepada semua pihak yang mempunyai autoriti dalam negara supaya membuka kertas siasatan dan menyiasat perkara ini dengan segera serta telus.

"Ini perkara besar kerana Yang di-Pertuan Agong merupakan institusi yang paling dihormati dalam negara, perkara itu juga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,"ujar beliau.

Mengulas lebih lanjut, Irsyad menegaskan bahawa perkara itu perlu diberikan perhatian serius kerana membabitkan Institusi DiRaja dan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kedudukan tersendiri dalam pemerintahan negara.

"Pada pandangan saya, perkara ini merupakan satu pelanggaran undang-undang yang tidak boleh dimaafkan dan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Sebagai rakyat dan pihak yang berada dalam sistem pentadbiran negara, kita sepatutnya menghormati kuasa serta kedudukan Yang di-Pertuan Agong," ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama mempertahankan institusi raja yang menjadi sebahagian daripada asas kenegaraan negara sejak sebelum kemerdekaan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan