Jalur Gemilang
Berita :
36 JPKK Bawa Hasrat Pembinaan Jalan Felcra Keruak - Chuchoh Puteri Ke DUN Terengganu
36 JPKK Bawa Hasrat Pembinaan Jalan Felcra Keruak - Chuchoh Puteri Ke DUN Terengganu
Norekwan Mamat
1 jam yang lepas
40

KUALA TERENGGANU, 19 November – Kesepakatan 36 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut dalam menyuarakan keperluan pembangunan infrastruktur terus dizahirkan menerusi cadangan pembinaan Jalan Felcra Keruak–Chuchoh Puteri, Kuala Krai.

Wakil Pengerusi JPKK DUN Hulu Besut, Mohd Hassan Muhammad, bersama barisan Pengerusi JPKK telah menyampaikan hasrat dan cadangan bersama tersebut kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu pada hari terakhir Persidangan Belanjawan Negeri Terengganu 2027, hari ini.

Cadangan berkenaan turut disertakan dengan satu dokumen yang telah ditandatangani oleh kesemua 36 Pengerusi JPKK DUN Hulu Besut sebagai tanda kesepakatan serta sokongan terhadap usaha merealisasikan kemudahan perhubungan berkenaan.

Menurut Mohd Hassan, cadangan pembinaan jalan tersebut amat penting dalam membuka laluan perhubungan yang lebih baik, memudahkan urusan harian penduduk serta memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan Hulu Besut dan kawasan sekitarnya.

Beliau berharap agar hasrat yang dibawa secara bersama itu mendapat perhatian dan pertimbangan sewajarnya daripada pihak kerajaan bagi membolehkan perbincangan lanjut mengenai cadangan berkenaan dilaksanakan.

Kesepakatan 36 JPKK itu mencerminkan harapan masyarakat setempat agar pembangunan infrastruktur terus diberi perhatian demi meningkatkan kemudahan, merancakkan aktiviti ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pembangunan untuk masa hadapan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan