Berita :
Terengganu Selaras Tindakan Bersepadu Tangani Isu Kehadiran Rohingya
Terengganu Selaras Tindakan Bersepadu Tangani Isu Kehadiran Rohingya
Husaif Mamat
2 jam yang lepas
76

KUALA TERENGGANU, 13 Jun - Kerajaan Negeri Terengganu sedang memperkukuh penyelarasan antara agensi bagi menangani kebimbangan masyarakat berhubung kehadiran warga Rohingya di beberapa kawasan dalam negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri mengambil serius keresahan rakyat, namun tindakan perlu dibuat secara tertib, berfakta dan mengikut lunas undang-undang.

Katanya, isu membabitkan warga asing melibatkan pelbagai aspek termasuk kemasukan, dokumen perjalanan, permit kerja, status individu serta tindakan terhadap pendatang asing tanpa izin.

“Perkara-perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui agensi-agensi yang berautoriti.

“Namun, ini bukan bermakna Kerajaan Negeri berdiam diri. Dalam ruang lingkup bidang kuasa negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan, tindakan pemantauan serta penguatkuasaan setempat akan terus dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Sukairi, PBT boleh mengambil tindakan berkaitan pelesenan perniagaan, syarat premis, kebersihan persekitaran, kacau ganggu awam serta penggunaan atau pembinaan premis yang tidak mematuhi peraturan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan PBT tidak mempunyai kuasa menentukan status imigresen seseorang atau mengambil tindakan semata-mata berdasarkan kewarganegaraan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pendekatan penyelarasan bersepadu bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Majlis Keselamatan Negara dan agensi penguat kuasa lain.

“PBT akan terus memberi kerjasama melalui perkongsian maklumat, pemantauan serta tindakan bersepadu mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Wan Sukairi turut mengakui penguatkuasaan di lapangan mempunyai cabaran tersendiri, termasuk isu pengesahan dokumen, komunikasi, keselamatan anggota serta had bidang kuasa antara agensi.

Namun katanya, cabaran tersebut bukan alasan untuk tidak bertindak, sebaliknya menuntut pendekatan yang lebih tersusun, berhati-hati dan berkesan.

“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang melibatkan premis, perniagaan, penempatan atau aktiviti yang menyalahi peraturan, tindakan sewajarnya akan diambil oleh agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Dalam masa sama, kerajaan negeri menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dan tidak mengambil tindakan sendiri atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri kekal tegas dalam soal keselamatan dan ketenteraman awam, namun setiap tindakan perlu dilaksanakan secara profesional, berhemah dan berlandaskan undang-undang.

“Keutamaan Kerajaan Negeri adalah memastikan kesejahteraan rakyat, keselamatan komuniti dan keharmonian sosial terus terpelihara,” katanya.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan