Berita :
Terengganu Rangka Manifesto Sektor Pertanian Masa Depan, Jamin Manfaat Rakyat
Terengganu Rangka Manifesto Sektor Pertanian Masa Depan, Jamin Manfaat Rakyat
Hidayah Azlin
18 jam yang lepas
49

KUALA TERENGGANU, 5 Julai– Kerajaan Negeri Terengganu kini sedang memperincikan rangka manifesto dan pelan perancangan strategik bagi sektor pertanian, industri asas tani, keterjaminan makanan, dan komoditi bagi persediaan penggal akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, satu perbincangan khusus telah diadakan bersama barisan panel pakar dan peneraju institusi strategik negeri bagi merumuskan formula terbaik demi memacu sektor berkenaan.

Menurut beliau, usaha merangka manifesto tersebut turut mendapat sumbangan kepakaran daripada Institut Kajian Strategik Terengganu (TSIS) serta institusi pengajian tinggi tempatan.

"Insya-Allah, kita akan kemukakan satu rangka perancangan terbaik demi manfaat seluruh rakyat Terengganu bagi tempoh penggal akan datang," katanya.

Sesi pembentukan rangka manifesto itu turut dijayakan oleh barisan figura penting, termasuk Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TSIS, Dr. Zulhimi Abd. Rahman, Rektor TATI University College (TATIUC), Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid, Pegawai Eksekutif Strategik TSIS, Dr. Wan Nur Sakinah serta Ketua Jabatan Penyelidikan TSIS, Nor Asmah Zakaria.

Gandingan idea antara pembuat dasar, penyelidik strategik, dan pakar akademik ini dijangka bakal melahirkan sebuah manifesto yang bukan sahaja inklusif, malah berpaksikan data serta realiti semasa sektor pertanian dan rantaian makanan di Terengganu.

Langkah proaktif ini dilihat sebagai komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan agenda keterjaminan makanan terus kukuh, di samping membela nasib dan meningkatkan sosioekonomi para petani, peternak, serta nelayan di seluruh Terengganu.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan