Berita :
Rekod Terbesar Sejak 1997: KMI Taman Desa Serah Zakat Perniagaan RM54,214.40 Kepada MAIDAM
Rekod Terbesar Sejak 1997: KMI Taman Desa Serah Zakat Perniagaan RM54,214.40 Kepada MAIDAM
Hidayah Azlin
2 jam yang lepas
56

KUALA LUMPUR, 6 Julai – KMI Taman Desa Medical Centre (KMI TDMC), sebuah hospital pakar swasta milik anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, mencatatkan jumlah penyerahan zakat terbesar dalam sejarah penubuhannya apabila menyerahkan RM54,214.40 bagi tahun kewangan berakhir 2023.

Nilai tersebut merupakan rekod tertinggi yang pernah dibayar oleh hospital berkenaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sejak mula beroperasi pada tahun 1997.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KMI TDMC, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, lonjakan bayaran zakat itu adalah seiring dengan peningkatan prestasi kewangan syarikat yang amat memberangsangkan, meskipun terpaksa berhadapan persaingan sengit dengan hospital swasta lain di Lembah Klang.

"Alhamdulillah, penyerahan zakat tahunan kepada MAIDAM bagi tahun berakhir 2023 adalah jumlah terbesar yang pernah dibayar KMI TDMC sejak penubuhannya.

"Ia selari dengan tuntutan agama seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: 'Supaya harta itu tidak berlegar di antara orang kaya di kalangan kamu," katanya.

Menurut beliau, hospital komuniti pelbagai disiplin itu mula menunjukkan prestasi luar biasa bermula tahun 2019, setahun selepas beliau diamanahkan untuk menerajui jawatan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah pada 2018.

Zakat perniagaan tersebut diserahkan sendiri oleh Dr. Azman kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan.

Majlis penyerahan itu turut disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah KMI TDMC, Dato’ Hj. Hadi Hassan dan Dr. Jasmeet Singh; Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rainey Azmi Ali serta Pengurus Besar KMI TDMC, Puan Norliza Razali.

KMI TDMC yang terletak di Taman Desa, Kuala Lumpur merupakan sebahagian daripada Kumpulan KMI dan kini menawarkan lebih 22 kepakaran perubatan kepada masyarakat.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan