Berita :
Jasa ‘Wira Tidak Didendang’ Di Jabi Dihargai
Jasa ‘Wira Tidak Didendang’ Di Jabi Dihargai
Hidayah Azlin
11 jam yang lepas
126

SETIU, 5 Julai – Kelompok 'wira tidak didendang' yang banyak menyumbang bakti kepada masyarakat tanpa mendambakan populariti terus mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi.

Golongan terbabit yang merangkumi guru al-Quran, Tadika, guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), tok bidan, tukang urut, pesara guru, serta pengasuh diraikan dalam satu majlis khas bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka terhadap komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, biarpun peranan golongan ini jarang mendapat liputan meluas atau dikenali ramai, sumbangan mereka dalam membentuk acuan masyarakat yang harmoni amat besar dan tidak boleh dinafikan.

Menurut beliau, penganjuran Majlis Jamuan Teh yang diadakan pada petang Selasa lepas menjadi platform terbaik untuk menyantuni, bersua muka, sekali gus mengeratkan lagi ikatan silaturahim antara kepimpinan kawasan dengan penggerak komuniti di akar umbi.


"Dalam masyarakat kita, ada ramai yang menyumbang bakti kepada sesama manusia tanpa mereka dikenali ramai. Mereka ini tidak begitu dikenali di mata manusia, namun kita mendoakan semoga Allah SWT mengangkat mereka ke suatu darjat yang mulia.

"Pertemuan ini adalah platform untuk kita mengucapkan terima kasih atas segala budi dan jasa yang telah dicurahkan. Semoga Allah merahmati segalanya," katanya.


Mengulas lanjut mengenai lokaliti program, Dr. Azman secara berseloroh sempat berkongsi nota geografi ringkas bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan netizen.

"Untuk info, Jabi adalah nama tempat di Terengganu, walaupun nama Jabi juga ada di Johor," katanya bagi memperjelaskan identiti kawasan DUN di bawah parlimen Setiu itu.

Majlis yang berlangsung dalam suasana santai dan penuh mahabah itu menyaksikan kehadiran pelbagai lapisan penggerak masyarakat tempatan yang rata-ratanya menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan wakil rakyat mereka dalam menghargai peranan mereka.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan