KUALA TERENGGANU, 24 Jun – Kerajaan Negeri Terengganu sengaja tidak mengumumkan koordinat tepat kedudukan tukun-tukun tiruan yang dilabuhkan di perairan negeri ini bagi mengelakkan fungsi aset marin itu dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim mendedahkan, beliau menerima banyak pertanyaan dan desakan daripada orang ramai menerusi panggilan telefon serta media sosial yang meminta lokasi tukun tersebut didedahkan.
Bagaimanapun jelas beliau, tindakan merahsiakan koordinat itu mempunyai strategi tersendiri demi menjaga kebajikan komuniti nelayan pantai.
"Antara fungsi utama tukun ialah menjadi penampan dan perangkap bagi bot pukat tunda. Kalau lokasi perangkap ini sudah diketahui secara terbuka, ia tidak akan menjadi perangkap lagi," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab lambakan pertanyaan netizen dan warga nelayan yang bertanyakan lokasi lubuk ikan berkenaan.
Mengulas lanjut, Dr. Azman tidak menafikan wujudnya sikap cuba mengambil kesempatan oleh segelintir nelayan sekiranya kedudukan tukun diuar-uarkan.
Menurutnya, ada pihak yang dikesan memasang unjam persendirian di atas tukun untuk dijadikan hak peribadi, selain tindakan meletakkan bubu yang jelas mengganggu fungsi asal struktur berkenaan.
"Biarlah tukun itu menjadi zon selamat untuk membiak. Apabila kawanan ikan sudah membiak, ia akan berenang ke serata tempat untuk menjadi rezeki para nelayan. Jadi, tak semestinya ikan itu mesti ditangkap betul-betul di atas kawasan tukun," ujarnya lagi.
Meskipun tiada pengumuman rasmi mengenai koordinat tersebut, beliau percaya majoriti nelayan setempat dan tekong bot pemancing rekreasi sebenarnya sudah maklum akan lokasi tukun-tukun tersebut berdasarkan pengalaman mereka.
Beliau turut menyeru agar semua pihak menggunakan dan mengambil manfaat daripada kewujudan tukun tersebut dengan penuh tanggungjawab demi kelestarian hasil laut Terengganu.
Tag :