lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

MB Terengganu Tinjau Lokasi Pencarian Tiga Beradik Dikhuatiri Lemas
MB Terengganu Tinjau Lokasi Pencarian Tiga Beradik Dikhuatiri Lemas
HULU TERENGGANU, 28 Mei - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turun padang pagi ini bagi meninjau lokasi pencarian tiga beradik dikhuatiri lemas selepas hanyut dibawa arus semasa mandi di Muara Sungai Telemong lewat petang semalam. Beliau turut berduka cita dengan tragedi tersebut dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat. "Tindakan telah diambil oleh pihak berkuasa. Ketika ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang diteruskan bermula jam 9 malam semalam. "Memang sedih bagi kita dengan apa yang berlaku ini dan kita harap operasi ini dapat berakhir dengan segera sebab penantian bagi keluarga mangsa terutamanya adalah amat menyedihkan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam tinjauan ke lokasi kejadian sebelum singgah menziarahi keluarga mangsa di sini pagi tadi. Hadir sama dalam tinjauan tersebut, isteri beliau, To' Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman, Ketua Polis Negeri Terengganu, Dato' Roslee Chik, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azizi Zulkifli, Pegawai Penyelaras Hulu Terengganu, Muhyidin Abd Rashid dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said. Mengulas tentang langkah keselamatan yang perlu diambil untuk mengelakkan kejadian sama berulang, menurut Ahmad Samsuri, setiap komuniti dan keluarga masing-masing perlu mengawal pergerakan anak-anak terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berjalan. "Kesukaran untuk pertolongan itu sampai dalam keadaan ketiadaan orang awam yang disaran berada di rumah masing-masing dalam suasana menyambut hari raya pada tempoh PKPB ini. "Saya difahamkan oleh pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bahawa tempat ini bukan kawasan orang mandi di sini. "Kita amat sedih dengan apa yang berlaku dan minta keluarga mangsa bersabar dengan ujian yang berlaku," ujarnya. Terdahulu, tiga beradik dikhuatiri lemas selepas hanyut dibawa arus semasa mandi di Muara Sungai berkenaan lewat petang semalam. Mayat Umar Iskandar Mohd, 21, dan Khairil Firdaus Mohd, 17, telah dijumpai dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu. Ketika ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan bagi mencari seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Khalif Naim Mohd, 16. Seramai 41 anggota pasukan keselamatan termasuk 18 anggota polis, 15 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, 8 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama penduduk kampung memulakan operasi SAR mangsa bermula jam 9 malam semalam.
06 Jul 20
183
Amzad Sokong Pindaan Hukuman Lebih Tegas Buat Pemandu Mabuk
Amzad Sokong Pindaan Hukuman Lebih Tegas Buat Pemandu Mabuk
Oleh: Ahmad Sabri Yusof KUALA TERENGGANU, 28 Mei - Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim bersetuju, jika Kerajaan Persekutuan sedia mengkaji serta membuat pindaan peraturan dan undang-undang lebih tegas kepada individu yang melakukan kesalahan di bawah pengaruh alkohol. Ini kerana, katanya kesalahan terbabit boleh membahayakan nyawa orang lain. Menurutnya, kawalan terhadap peraturan penjualan arak juga perlu diperketatkan bagi mengawal kehidupan rakyat yang lebih baik dan sihat. “Kerajaan seharusnya mengkaji tentang pindaan-pindaan yang perlu bagi membolehkan peraturan lebih tegas dibuat berhubung dengan perkara (arak) ini, juga hukuman yang lebih tegas selain kawalan penjualan arak perlu diperketatkan. “Isu ini universal sebenarnya. Apa-apa pindaan peraturan dan undang-undang (digubal) bagi memastikan supaya mereka yang berada di bawah pengaruh arak ini tidak berada di dalam masyarakat dan di tengah orang ramai,” ujarnya ketika dihubungi mengenai isu ‘Memandu Di Bawah Pengaruh Alkohol’ di kediamannya Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu, hari ini. Amzad mendakwa, ketika tempoh awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasakan 18 Mac lalu, operasi kilang dan premis penjualan arak dihentikan sementara tiada masalah. Malah, katanya kadar kemalangan kerana mabuk dalam tempoh PKP itu juga tidak berlaku dan ini memberi kesan yang baik kepada negara. “Masalah yang sama turut berlaku di peringkat antarabangsa sebenarnya, tak semestinya negara Islam. Di negara-negara bukan Islam pun sedang mengkaji segala cara bagi membolehkan kawalan terhadap penggunaan alkohol diperketatkan,” jelasnya. Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu menegaskan, dari segi sains peringkat MOSTI turut sependapat dengan saranan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) yang menyenaraikan arak sebagai perkara yang memudaratkan manusia. “Penggunaan arak ini sepatutnya dalam premis tertutup atau di rumah masing-masing sahaja. Apa-apa cara perlu dilaksanakan yang boleh menghalang daripada mereka yang di bawah pengaruh memandu atau berada di tempat awam. “Alkohol atau arak yang menjadi sebahagian daripada minuman yang memabukkan itu cukup terbukti membahayakan serta boleh menyebabkan kematian dan kerosakan harta benda," katanya.
06 Jul 20
92
Mayat Pertama Tiga Beradik Ditemui
Mayat Pertama Tiga Beradik Ditemui
HULU TERENGGANU, 28 Mei - Mayat pertama kes lemas membabitkan tiga beradik ditemui jam 9.52 pagi ini. Mayat Umar Iskandar Mohd, 21, dijumpai di dasar sungai kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian dan telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu. Ketika ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan bagi mencari dua lagi mangsa yang dikenali sebagai  Khairil Firdaus Mohd, 17, dan Khalif Naim Mohd, 16. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan perkembangan itu. Terdahulu, tiga beradik dikhuatiri lemas selepas hanyut dibawa arus semasa mandi di Muara Sungai berkenaan lewat petang semalam. Seramai 41 anggota pasukan keselamatan termasuk 18 anggota polis, 15 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, 8 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama penduduk kampung memulakan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bermula jam 9 malam semalam.
06 Jul 20
59
Tiga Beradik Dikhuatiri Lemas
Tiga Beradik Dikhuatiri Lemas
HULU TERENGGANU, 27 Mei - Tiga adik beradik dikhuatiri lemas selepas dikatakan hanyut dibawa arus selepas mandi di Muara Sungai Telemong petang tadi. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, ketiga-tiga mangsa, Umar Iskandar Mohd, 21, Khairil Firdaus Mohd, 17, dan Khalif Naim Mohd, 16, dikatakan sedang mandi ketika kejadian itu berlaku. “Keterangan awal saksi mengatakan mereka nampak mangsa mandi dan tidak lama kemudian saksi terdengar suara meminta tolong. "Saksi terus menaiki motosikal menghala ke tempat kejadian yang mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk sampai namun sebaik sahaja tiba di lokasi, mereka mendapati mangsa sudah hilang," katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita di sini, malam ini. Mohd Adli berkata, seramai 41 anggota pasukan keselamatan termasuk 18 anggota polis, 15 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, 8 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama penduduk kampung memulakan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bermula jam 9 malam tadi dan dijangka berakhir 12 tengah malam.
06 Jul 20
63
Suasana Aidilfitri Berbeza, Hikmah Buat Semua - Amzad Hashim
Suasana Aidilfitri Berbeza, Hikmah Buat Semua - Amzad Hashim
Oleh: Ahmad Sabri Yusof KUALA TERENGGANU: 27 Mei - Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan kepada umat Islam kerana berjaya mengharungi ujian keletihan, kelaparan dan kesabaran sebulan Ramadan yang lalu. Ahli parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim mengingatkan bahawa sambutan pada tahun 2020 ini amat berbeza dengan norma kebiasaan sejak negara mencapai kemerdekaan. Malah, katanya mungkin bagi generasi baharu ini kali pertama seumur hidup menghadapi suasana yang berbeza kerana wabak pandemik yang dinamakan ‘coronavirus’ atau Covid-19. "Mungkin hikmah disebalik musibah ini dapat mempertingkatkan amalan kita lebih dari sebelumnya. “Semoga kesan Ramadan yang baru dilalui akan menghasilkan jiwa dan hati yang sejahtera kepada kita semua, Insya’Allah," katanya dalam, satu kenyataan di laman Facebooknya, semalam. Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan bukan untuk menyekat kebebasan rakyat tetapi bagi menyelamatkan diri, keluarga, jiran tetangga, negeri dan negara yang tercinta ini. “Kali ini, kita semua berada dalam suasana arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac 2020 lalu, dan hingga sekarang telah memasuki Fasa Kelima PKPB (bersyarat). “Apa pun situasinya, semoga amalan kita pada bulan Ramadan lalu yang disambut kemenangannya pada Hari Raya Aidilfitri ini tidak menjejaskan prestasi dan kualiti amalan kita semua,” katanya.
06 Jul 20
292
PKPB : Main Futsal, Lapan Remaja Didenda RM8,000
PKPB : Main Futsal, Lapan Remaja Didenda RM8,000
HULU TERENGGANU, 27 Mei - Gara-gara degil bermain futsal di sini ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam, lapan remaja terpaksa membayar kompaun sebanyak RM8,000. Dalam kejadian pukul 10 malam itu,  kesemua mereka yang berusia lingkungan 15 hingga 20 tahun, dilihat bermain futsal ketika sepasukan anggota polis membuat rondaan di Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang di sini. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Adli Mat Daud berkata, kelapan-lapan remaja terbabit bagaimanapun cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa. “Mereka meninggalkan beberapa buah motosikal serta barang-barang peribadi termasuk telefon bimbit. "Polis kemudian membawa semua barangan itu ke Balai Polis Kuala Berang untuk siasatan dan tindakan lanjut. “Bagaimanapun, kira-kira jam 1 pagi hari ini (Rabu), semua mereka hadir ke balai polis itu dan seterusnya ditahan untuk siasatan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya sebagaimana dilapor Astro Awani. Tambah beliau, semua mereka telah dikompaun RM1,000 setiap seorang.
06 Jul 20
105
Air Mata Gembira Seorang Kakak
Air Mata Gembira Seorang Kakak
KEMAMAN, 27 Mei - “Berderai air mata apabila diberitahu kami akan diberi rumah baharu dan semua bayaran sewa rumah akan dibayar pihak kerajaan negeri,” kata Sofea Hanani Manaf ketika ditemui semasa operasi pemindahan. Wanita berusia 23 tahun itu mengakui terharu apabila empat adiknya kini mampu hidup dalam keadaan yang lebih selesa selepas setahun menyewa di rumah daif. Memahami kesulitan yang diharungi lima beradik itu setelah mengadakan tinjauan semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat hadir membantu menyiapkan segala keperluan rumah Sofea hari ini. “Sofea bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai di Bandar Cukai dan hanya bergaji sekitar RM1,000 sebulan dalam keadaan menjaga empat orang adiknya sejak setahun yang lalu. “Ibu bapanya pula bercerai dua tahun lalu dan membawa haluan masing-masing. Kini tinggallah Sofea yang menjaga dan membesarkan adik-adiknya,” ujar Hanafiah. Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai itu, keadaan rumah yang disewa mereka tidak lagi sesuai dan mereka telah dibawa berpindah ke Kampung Besut 1. “Setelah berbincang, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) pula bersetuju untuk membayar sewa bulanan rumah (baru) ini.  “Saya juga telah membeli sebuah peti sejuk, televisyen, dapur gas, tilam, cadar, bantal dan sedikit buah tangan buat mereka. Rumah tersebut turut digantikan dengan tikar getah yang baharu “Terima kasih diucapkan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), MAIDAM dan pihak-pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi membantu keluarga ini. Semoga bulan Syawal ini memberi sinar kehidupan yang baharu buat mereka sekeluarga,” tambah beliau.
06 Jul 20
78
Cahaya Pelita Sinari Bumi Darul Iman
Cahaya Pelita Sinari Bumi Darul Iman
KUALA NERUS, 27 Mei - Bumi Darul Iman diterangi cahaya ratusan pelita sempena Pertandingan Pelita Raya Online Beautiful Terengganu : PKP Raya Style 2020 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM8,000. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pertandingan yang bermula 18 Mei dan berakhir semalam itu menyaksikan setiap kampung terlibat membina replika atau monumen menggunakan lampu pelita mengikut kreativiti masing-masing. “Pertandingan tahun ini sangat berbeza dengan tahun-tahun lepas namun kemeriahannya tetap sama walaupun pengunjung tidak boleh datang beramai-ramai untuk menyaksikan keindahan pelita raya. “Kita buat dalam bentuk sederhana tetapi tetap menonjolkan kemeriahan Syawal. “Semua ini hasil penat lelah semua 60 pemilik rumah yang menjayakan pertandingan ini,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan ke lokasi pertandingan Pelita Raya semalam. Mengulas lanjut, beliau berkata pada tahun sebelumnya pertandingan itu diadakan di satu Dewan Undangan Negeri dan secara terbuka. “Manakala tahun ini juga dibuat terbuka tetapi tidak dikhususkan kepada satu tempat sahaja. “Dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu foto dan video, ia akan dinilai melalui lawatan para penilai ke kawasan pelita atau di laman sosial seperti Facebook “Semua ini adalah demi mengekalkan kemeriahan Aidilfitri,” tambah beliau.
06 Jul 20
174
Kekal Tradisi Pelita Raya Walau Dalam PKPB
Kekal Tradisi Pelita Raya Walau Dalam PKPB
KUALA NERUS, 27 Mei - Meskipun Syawal kali ini disambut dalam suasana berbeza susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun bagi penduduk Kampung Padang Air di sini, kemeriahan Aidilfitri tetap dirasai dengan suasana tersendiri. Mohamad Jailani Haron, 50, berkata, dia sanggup berhabis sekitar RM1,200 bagi memasang pelita dengan pelbagai bentuk di sekitar halaman rumahnya dan ia bukan hanya semata-mata untuk pertandingan. Katanya, dia bersama keluarga terdekat mengekalkan tradisi itu yang dimulakan sejak 80-an oleh datuk dan bapanya dengan memasang kira-kira 200 pelita bulat. “Bezanya tahun ini kami buat dengan lebih meriah bagi mengembalikan ‘mood’ raya yang sedikit suram akibat COVID-19. “Kami turut memasang pelita di basikal dan kereta klasik serta mewujudkan taman pelita ibunda supaya orang ramai boleh merasai suasana Aidilfitri,” katanya semasa ditemui pemberita semalam. Sementara itu, kemeriahan sama turut dirasai di sekitar Kampung Padang Hangus apabila beberapa penduduk kawasan itu bersama-sama memasang pelita raya. Suri rumah, Zaleha Mat Min, 58, sangat bersyukur kerana kehangatan perayaan itu masih terasa walaupun tidak semeriah tahun-tahun terdahulu. “Dalam musim PKPB dan wabak pandemik, kami tetap mengambil keputusan membuat pameran pelita bagi menceriakan kampung. “Ini adalah tradisi yang patut dikekalkan jadi kami buat dalam bentuk olahan yang kecil jadi kami selain menyertai pertandingan pelita yang dianjurkan kerajaan negeri. “Kami mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkan semua ini,” tambahnya.  
06 Jul 20
237
Mangsa Keracunan Puding Buih Meningkat 74 Orang Di Terengganu
Mangsa Keracunan Puding Buih Meningkat 74 Orang Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Mangsa keracunan makanan yang dipercayai berpunca daripada puding buih yang dibeli secara dalam talian pada Jumaat lepas terus meningkat kepada 74 orang daripada 48 orang sejak semalam. Pengarah Kesihatan negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata daripada 74 kes itu yang terdiri daripada 16 keluarga, sejumlah 62 pesakit tinggal di Kuala Terengganu manakala 12 lagi dari daerah Marang. Katanya, seramai 33 pesakit telah menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), lapan dirawat di hospital swasta dan bakinya 22 pesakit menerima rawatan sebagai pesakit luar. "Jabatan juga turut mengesan ahli keluarga mangsa yang lain dan berjaya menemui 11 lagi mangsa keracunan makanan cuma simptom yang mereka alami tidak memerlukan rawatan lanjut di hospital. "Daripada siasatan dilakukan Jabatan Kesihatan Daerah, kita dapati, kemungkinan besar, ataupun punca yang kita syaki, adalah daripada telur yang digunakan dalam puding buih tersebut. "Bagaimanapun, pengesahan masih belum kita perolehi daripada makmal yang menjalankan ujian terhadap sampel yang kita ambil, sama ada daripada persekitaran tempat premis memasak puding tersebut, mahupun sampel yang kita ambil daripada pesakit yang dirawat," menurutnya dalam kenyataan hari ini. Terdahulu, seramai 48 individu dilaporkan mengalami keracunan makanan selepas memakan puding buih yang dibeli secara dalam talian pada Jumaat lepas. Sementara itu, Nor Azimi berkata  pihaknya telah memeriksa premis peniaga terbabit dan pengambilan sampel dilakukan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu pada Isnin. Katanya, pihaknya juga telah menutup dapur premis untuk jualan peniaga puding buih tersebut di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula Isnin hingga 7 Jun depan, iaitu selama 14 hari. Beberapa mangsa keracunan yang ditemui di HSNZ berkata mereka tidak menyangka dimasukkan ke wad pada Aidilfitri kali ini setelah mengalami cirit-birit, muntah dan demam selepas menikmati puding buih tersebut. "Malam itu, hari Jumaat lepas, saya makan puding itu waktu berbuka puasa. Sedap rasanya. Tetapi kemudian, sakit perut yang amat sangat. Perut memulas, tiga atau empat kali buang air. "Kemudian, isteri saya ajak ke klinik. Klinik tak terima sebab saya demam, jadi kami ke hospital. Alhamdulillah sekarang ada tenaga sikit, makan pun berselera, apa pun saya anggap ini ujian Allah dan semoga puncanya dapat diketahui secepat mungkin," kata pesara, Abdull Aziz Idris, 63 tahun.
06 Jul 20
299