Artikel "Utama" Terkini
UniSZA Sedia Laksana Konvokesyen Secara Maya
KUALA NERUS, 30 Mei - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal menjadi universiti awam pertama dalam melaksanakan majlis konvokesyen secara maya melalui penggunaan teknologi robot dan persidangan video.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata usaha ini dilihat sangat relevan dengan keadaan dunia pada waktu sekarang yang sedang berusaha melawan penularan wabak virus COVID19 melalui kaedah penjarakan sosial serta pengurangan pergerakan yang tidak perlu.
Katanya, melalui alternatif konvokesyen secara maya ini, majlis konvokesyen dapat dilaksanakan dengan selamat dan efektif.
Jelas beliau, UniSZA sebelum ini telah mencipta sejarah tersendiri apabila menampilkan robot yang diberi nama ‘Naseem’ ketika menyampaikan skrol pada Majlis Konvokesyen ke-11 pada Oktober 2019.
"Kini UniSZA telah berjaya menghasilkan robot kedua yang diberi nama ‘Seebaa’ sebagai pasangan kepada Naseem yang dibangunkan oleh penyelidik-penyelidik UniSZA dari Kumpulan Penyelidikan Mechanical, Electronic, Computing and Arts (MECCA).
“UniSZA bersedia memanfaatkan kedua-dua robot ini sebagai alternatif sekiranya majlis konvokesyen secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.
"Dalam majlis Konvokesyen tersebut, Tuanku Canselor akan menganugerahkan skrol kepada robot yang mewakili graduan manakala graduan akan menyaksikan upacara tersebut secara langsung melalui persidangan video dari tempat masing-masing sama ada mereka berada di dalam negara mahupun di luar negara," ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Kesediaan UniSZA melaksanakan konvokesyen secara maya ini telah dibuktikan melalui penularan video simulasi konvokesyen secara maya yang telah dikeluarkan oleh pihak UniSZA.
Menerusi video ini, Naib Canselor UniSZA dilihat menganugerahkan skrol kepada dua robot yang mewakili pelajar-pelajar UniSZA yang mana wajah mereka dipaparkan secara langsung melalui persidangan video pada kepala robot tersebut. Malah, beliau juga dilihat dapat berinteraksi secara langsung dengan pelajar-pelajar tersebut.
06 Jul 20
198
PKPB : Aktiviti Ziarah Kubur Di Terengganu Tidak Digalakkan - Exco
KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Kerajaan Terengganu tidak menggalakkan orang ramai melakukan aktiviti ziarah kubur semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ini kerana risiko pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) PKPB semasa aktiviti tersebut adalah tinggi.
Jelasnya, meskipun belum ada keputusan rasmi di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berhubung perkara itu setakat ini, pihaknya tetap tidak menggalakkan aktiviti tersebut dilakukan.
"Apabila diadakan aktiviti tersebut, ia pasti melibatkan jumlah perhimpunan ramai dalam satu-satu masa.
"Oleh itu, kita melarang sebarang pertemuan atau perhimpunan diadakan di mana-mana lokasi termasuk tanah perkuburan kerana ia melanggar peraturan ditetapkan sepanjang PKPB," katanya ketika dihubungi media hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai supaya menangguhkan dahulu hasrat berkenaan sehingga keadaan kembali pulih.
"Lawatan ke lokasi itu boleh dilakukan selepas tamat PKPB atau apabila situasi negara kembali pulih daripada wabak COVID-19," tambah beliau.
06 Jul 20
72
Lima Beranak Tidur Berlantaikan Rumput Terima Rumah Baharu
Oleh: Aslam Wira
MARANG, 30 Mei - Selepas tiga hari dua malam hidup berlantaikan rumput dan beratapkan kanvas, lima beranak di Kampung Sungai Kerak di sini akhirnya menerima rumah baharu semalam.
Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, keputusan itu dicapai setelah beberapa kali perbincangan dibuat bersama pihak lain dan keluarga tersebut.
Katanya, keluarga terbabit akan berpindah ke rumah baharu dalam masa terdekat dan segala urusan berkait perkara itu diuruskan pihaknya.
"Bayaran sewa rumah tersebut sebanyak RM300 juga akan ditanggung dengan persetujuan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Marang.
“Dengan bantuan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat keluarga ini akan ditempatkan di Taman Dato' Ibrahim, dan mereka telah dibawa untuk melihat rumah tersebut, kunci rumah kita serahkan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga berkenaan.
Turut hadir adalah, Pegawai Khas Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng, MPKK Perumahan Awam Kos Rendah Sungai Kerak, dan MPKK Gong Nangka.
Mengulas lanjut, Wahad berkata, tindakan pantas MPKK menyalurkan maklumat banyak membantu pihaknya.
“Pagi ini juga, mewakili Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, tinjauan dan siasatan segera terhadap keadaan keluarga ini dibuat setelah mendapat maklumat daripada MPKK.
Menurut Wahad lagi, sedikit sumbangan seperti keperluan asas, tilam dan makanan turut diagihkan kepada mereka untuk berpindah ke rumah sewa baharu.
“Dalam masa yang sama, Pejabat ADUN Rhu Rendang juga akan berusaha untuk membantu menyiapkan rumah miliknya melalui agensi-agensi terbabit," jelasnya.
Sementara itu, penghuni rumah tersebut, Mohd Taufiq Mohd Alias, 44, terharu dengan keprihatinan pihak kerajaan negeri yang membantu keluarganya.
"Kerana hilang mata pencarian, saya bersama isteri dan tiga orang anak mengambil keputusan untuk tinggal di rumah milik saya yang saya bina tiga tahun lalu tetapi belum siap sepenuhnya," tambahnya.
06 Jul 20
65
Taman Rekreasi Bukit Besar Ditutup Elak Pelanggaran PKPB
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBN) mengambil tindakan menutup sementara Bukit Besar dan Taman Rekreasi Hiliran selama dua hari iaitu Jumaat dan Sabtu ini, bagi mengelakkan pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kalangan masyarakat Kuala Terengganu.
Ketua Sekretariat JPBN, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman memaklumkan, pemerhatian JPBN sepanjang minggu pertama Aidilfitri mendapati kebanyakan penduduk mengambil peluang beriadah selepas tempoh ziarah dihadkan kerajaan Persekutuan pada hari raya pertama sahaja.
“Oleh kerana kita masih dalam tempoh PKPB, apabila ramai datang ke sini mereka tidak dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan kita dapati keadaan tidak terkawal.
"Jadi, kita ambil keputusan menutup sementara lokasi ini di hujung minggu bagi mengelakkan perkumpulan penggiat sukan yang kebiasaannya lebih ramai pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu melakukan tinjauan di Bukit Besar, awal pagi hari ini.
Jelasnya, penutupan tersebut hanya bersifat sementara untuk memastikan pematuhan PKPB terus dilaksanakan.
“Kita akan sentiasa lihat dari masa ke masa, jika masih tidak terkawal kita akan tutup lokasi ini sehingga suatu tarikh yang ditetapkan JPBN nanti.
“Sebenarnya, kerajaan negeri telah menyediakan banyak kawasan-kawasan yang boleh digunakan untuk beriadah seperti di Kompleks Sukan Gong Badak dan di kawasan berhampiran jambatan angkat. Jadi, pengunjung dan atlet mempunyai banyak alternatif untuk beriadah dengan SOP yang boleh dipatuhi secara optimum,” tambahnya.
Menurutnya, aspek kecergasan memang diakui sangat diperlukan, cuma penggiat sukan perlu faham mereka harus menjalankan mengikut SOP yang ditetapkan.
“Saranan kami, kita akan berada dalam tempoh norma baharu untuk jangka masa lama, jadi penggiat sukan harus mengamalkan budaya norma baharu dan penjarakan sosial.
“Masyarakat perlu sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dalam menangani penularan Covid-19 dan perlu diingat supaya tidak membawa anak-anak kecil dan warga emas kerana mereka lebih berisiko,” katanya.
06 Jul 20
186
Bekas Pertahanan Terengganu Derita Penyakit Kronik Terima Bantuan
Oleh: Mohd Zulkifli Mat
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Bekas pemain bola sepak Terengganu era 90-an, Fadli Jalil yang menderita penyakit kencing manis dan serangan saraf menerima bantuan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di kediamannya di Bukit Besar semalam.
Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Fadhli atau lebih dikenali sebagai Weck mengalami kemerosotan kesihatan sejak Januari lalu akibat komplikasi penyakit berkenaan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan Weck terlantar di rumahnya dengan pergerakan yang terbatas.
"Alhamdulilah, selepas mengetahui keadaan lagenda bola sepak Terengganu ini saya bersama Setiausaha Agung PBSNT, Y.M Tengku Seri Bijaya Dato' Tengku Farok Hussin mengunjungi beliau di kediamannya.
"Sedikit bantuan kewangan kita hulurkan bagi meringankan beban Weck sekeluarga dan sebagai menghargai jasanya," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini
Turut hadir, Setiausaha Eksekutif PBSNT, Mohd Syahrizan Mohd Zain.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, jasa dan sumbangan Weck dalam arena bola sepak Terengganu cukup besar.
"Kita amat menghargai segala sumbangan veteran-veteran sukan negeri ini yang berjuang mengangkat nama Terengganu ke tahap tertinggi," tambah beliau.
Untuk rekod, Weck merupakan bekas pemain pertahanan Terengganu yang sering muncul bersama pasukan dengan jersi bernombor 6.
06 Jul 20
229
Kediaman Warga Emas Terbakar Dapat Perhatian MB Terengganu
Oleh: Ahmad Mawardi
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Nasib seorang warga emas yang kehilangan kediamannya dalam kebakaran di Kampung Beladau Kolam, Manir lewat petang semalam, mendapat perhatian Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mangsa, Kasa Mohd Yatim, 76, yang diwakili anaknya Mohd Zizi Abdullah, 45, menerima bantuan peribadi berupa sejumlah wang tunai yang disampaikan sendiri oleh Ahmad Samsuri.
Menurut Ahmad Samsuri, sumbangan itu adalah satu tanggungjawab sosial dan sebagai tanda prihatin kerajaan negeri kepada rakyat.
“Biarpun masih belum mencukupi untuk menampung jumlah diperlukan, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat memberikan semangat baharu kepada mangsa,” jelasnya kepada pemberita ketika menziarahi rumah mangsa di sini pagi tadi.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati sepanjang musim perayaan ini bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Shuqiman Tahar berkata, pembinaan rumah akan dilakukan secepat mungkin sebaik sahaja pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selesai menjalankan siasatan.
“Agensi kerajaan negeri iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Manir bertanggungjawab membantu mendirikan kembali rumah yang musnah dalam kebakaran ini," katanya.
Dilaporkan semasa kejadian, tuan rumah, Kasa (Mek Kase) tiada di rumah dan berada di rumah anaknya di Kampung Pasir Tebakang. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.
06 Jul 20
58
Rezeki Aidilfitri, Pemenang Beli & Menang GanuShop Luah Rasa Syukur
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Seramai lapan orang pemenang Peraduan Beli & Menang GanuShop menzahirkan rasa syukur atas rezeki yang diterima masing-masing melalui usaha Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu mempromosikan aplikasi bazar Ramadan atas talian tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, mereka merupakan lapan orang yang terpilih dalam cabutan bertuah bernilai RM5,000. Masing-masing menerima sejumlah wang kemenangan dalam satu majlis ringkas semalam.
Menurutnya, peraduan itu bertujuan untuk mempromosikan lagi GanuShop supaya lebih ramai rakyat Terengganu yang akan terlibat dan membeli melalui aplikasi itu mengunakan 'runner'.
"Dalam suasana penularan wabak yang masih tidak menentu sekarang, paling bagus yang kita galakkan adalah 'stay at home'. Dengan sebab itu, aplikasi GanuShop ini lebih mudah dan selamat untuk digunakan. Alhamdulillah kami menerima sambutan yang sangat menggalakkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis ringkas penyerahan hadiah Peraduan Beli & Menang GanuShop di YPU semalam.
Sementara itu, pemenang tempat pertama, Haizat Alapisa Kama, 29, dari Kampung Matang, Kuala Berang memberitahu, beliau teruja kerana ini kali pertama beliau memenangi hadiah utama. Setiap hari rutinnya adalah membeli melalui aplikasi berkenaan.
Pemenang tempat kedua, Ainulfajriah Mohd Kamal, 27, dari Kampung Beladau Kolam berkata, GanuShop mudah untuk digunakan. Kebiasaannya beliau belikan sekali untuk mak mertua di Bukit Tunggal dan hadiah itu merupakan rezeki anaknya berumur 2 tahun.
Dalam pada itu, pemenang tempat ketiga, Ahmad Waliyuddin Johari, 29, dari Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun turut memaklumkan, penggunaan aplikasi GanuShop sangat bertepatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Niat beliau untuk membantu peniaga dan 'runner', juga berkongsi makanan yang ditempah dengan jiran-jiran dan saudara-mara akhirnya mendatangkan rezeki buatnya.
06 Jul 20
63
COVID-19 : Sifar Kes Aktif, Terengganu Kini Negeri Zon Hijau
Oleh - BERNAMA
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Terengganu menjadi negeri terbaharu bebas daripada wabak COVID-19 dan dikategorikan sebagai negeri zon hijau pandemik terbabit.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berkata ia susulan perkembangan semasa dan pesakit terakhir positif COVID-19 di Terengganu sudah pun discaj dari hospital, Rabu lalu.
Beliau berkata, pesakit berumur 35 tahun yang berasal dari Kemaman itu dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang pada 20 Mei lalu setelah dikesan positif COVID-19.
"Alhamdulillah, kita tiada lagi kes aktif COVID-19 ketika ini dan saya berharap penduduk Terengganu terus mengamalkan kebersihan seperti saranan Kementerian Kesihatan dengan kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan menjaga jarak sosial.
"Bagi urusan harian seperti sektor perniagaan pula, teruskan dengan amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kementerian seperti mengambil butiran pelanggan, memeriksa suhu badan dan menyediakan cecair pembasmi kuman di premis masing-masing," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Untuk rekod, Terengganu sebelum ini mencatat 111 kes COVID-19 dengan satu kematian.
Daripada keseluruhan angka itu, Dungun merekodkan kes tertinggi dengan 38 kes, diikuti Besut (35), Kuala Terengganu (18), Setiu (lapan), Kemaman (enam), Kuala Nerus (empat) dan Marang (dua).
Hanya Hulu Terengganu satu-satunya daerah yang sifar kes COVID-19 di negeri ini. – BERNAMA
06 Jul 20
181
Kebenaran Makan Di Kedai Diketahui Ahad Depan
KUALA TERENGGANU, 28 Mei - Keputusan untuk membenarkan restoran dan kedai makan beroperasi sepenuhnya termasuk makan di dalam premis dijangka akan diumumkan kerajaan negeri pada Ahad depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, beliau sedang berbincang dengan pelbagai agensi termasuk para petugas barisan hadapan supaya keputusan yang dikeluarkan kelak tidak membebankan mana-mana pihak.
“Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar, kerajaan Terengganu akan memuktamadkan keputusan mengenai perkara ini pada 31 Mei nanti.
“Kebenaran makan di dalam premis di Terengganu sedang diperhalusi berdasarkan nasihat daripada pakar-pakar dan agensi berkaitan. Semuanya kita akan umumkan nanti.
“Kita mohon kepada semua agar bersabar dahulu kerana keputusan yang kita buat ini akan mengambil kira pelbagai aspek dan memberi kesan yang besar kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Walau bagaimanapun, Dr Alias menegaskan, selagi perkara itu belum diumumkan, operasi premis restoran dan kedai makan akan berjalan sebagaimana arahan sebelumnya.
“Premis terbabit dibenarkan dibuka pada pukul 7 pagi hingga 10 malam dan urusan jual beli hanya terhad secara pandu lalu, bungkus bawa pulang dan penghantaran sahaja,” tambah beliau.
Untuk rekod, Kelantan adalah negeri terbaharu yang membenarkan premis restoran dan kedai makan beroperasi sepenuhnya namun dengan kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
06 Jul 20
128
Tiga Beradik Lemas : Mayat Terakhir Ditemui
HULU TERENGGANU, 28 Mei - Mayat terakhir tiga beradik yang dikhuatiri lemas semalam ditemui 12.40 tengah hari tadi.
Mangsa, Khalif Naim Mohd, 16, ditemui kira-kira 170 meter dari lokasi kejadian yang turut meragut nyawa dua abangnya.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi berkata, mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, mayat Umar Iskandar Mohd, 21, serta Khairil Firdaus Mohd, 17, ditemui jam 9.45 dan 11.35 pagi tadi.
Mayat mereka ditemui sekitar 100 dan 150 meter dari lokasi kejadian.
Ketiga-tiga jenazah itu dijangka akan dikebumikan petang ini di kampung ibunya di Kampung Alur Limbat, Marang.
Semalam, pada jam 6 petang tiga beradik itu dikhuatiri lemas ketika mandi di muara Sungai Telemong yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mereka.
06 Jul 20
161