lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Gunakan Teknologi 'Hidupkan' Kemeriahan Aidilfitri - MB Terengganu
Gunakan Teknologi 'Hidupkan' Kemeriahan Aidilfitri - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Mei - Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyarankan penggunaan pelbagai aplikasi teknologi untuk berhubung dan beramah mesra ketika Aidilfitri bagi menggantikan budaya pulang ke kampung halaman. Jelasnya, suasana agak berbeza pada lebaran kali ini kerana negara sedang berjuang melawan wabak pandemik COVID-19. "Saya yakin kita semua pasti merindukan suasana Aidilfitri yang meriah dengan menziarahi sanak saudara sambil menikmati kuih-muih dan juadah kegemaran. "Begitu juga anak Terengganu di perantauan sudah pasti ingin pulang ke kampung bertemu ibu bapa yang berbulan ditinggalkan demi mengejar cita-cita dan kerjaya di kota. "Namun, kita terpaksa mengorbankan perasaan buat seketika demi keselamatan negara. Kita semua harus mengamalkan norma baharu termasuk di hari yang paling penting bagi umat Islam iaitu Hari Raya Aidilfitri," katanya. Beliau berkata demikian dalm satu kenyataan yang dikeluarkan dalam perutusan Aidilfitri Menteri Besar Terengganu, semalam. Oleh itu, katanya kecanggihan teknologi pelbagai aplikasi boleh digunakan untuk berkomunikasi dan merasai 'keberadaan' di samping ibu bapa dan keluarga tercinta. "Di peringkat Kerajaan Negeri, kami kadangkala terpaksa mengambil beberapa keputusan sukar antara keselamatan penduduk dengan kelangsungan aktiviti ekonomi yang memberi impak kepada rakyat dan negeri Terengganu. Namun, kami percaya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diperkenalkan dapat memberikan kelegaan kepada sektor perniagaan dan beberapa sektor lain sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih positif," katanya. Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus dan berkorban sepenuh jiwa raga. "Terima kasih juga kepada rakyat Terengganu, dan Malaysia amnya kerana sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan. Sebulan berpuasa di bulan Ramadan sudah pastinya menjadikan kita lebih berdisiplin, lebih patuh, dan lebih bertanggungjawab terhadap suasana sekeliling kita. Buktikan bahawa umat Islam adalah yang terbaik dan menjadi contoh dalam semua aspek kehidupan.  "Sambutlah Aidilfitri kali ini dengan penuh keinsafan dan kegembiraan. Jangan leka di saat sedang bergembira dan sentiasa patuhi garis panduan yang telah ditetapkan," akhirinya.
06 Jul 20
291
Laungan Takbir Mengusik Kalbu
Laungan Takbir Mengusik Kalbu
HULU TERENGGANU, 23 Mei - Buat pertama kali kedatangan Aidilfitri disambut dalam suasana berbeza ekoran penularan wabak Covid-19 turut mencatatkan sejarah tersendiri bagi Imam yang melaungkan takbir di malam hari raya. Imam Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang, Muhammad Syafiqsabri Mohamad, 36, beliau tidak dapat menahan perasaan ketika bertakbir dengan hanya bertemankan beberapa makmum berbanding sebelum ini dengan kehadiran orang ramai ke masjid. "Tak boleh nak cerita macam mana perasaan saya ketika melaungkan takbir, rasa sebak dan hampir menitis air mata kerana itulah pertama kali dalam sejarah masjid kosong tanpa kehadiran makmum dan hanya beberapa orang sahaja yang bersama saya ketika itu. "Setelah sebulan berpuasa, takbir raya akan berkumandang. Cuma kali ini tiada sahutan takbir beramai-ramai di masjid dan surau, tiada juga saf berasak-asak menunaikan solat sunat berjemaah pagi raya," katanya ketika ditemui di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang hari ini. Beliau berkata pegawai masjid dan surau yang diarahkan bertugas itu terhad kepada tiga orang sahaja dibenarkan melaksanakan di masjid dan surau masing-masing mengikut tentatif ditetapkan. Terdahulu, tiada solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau seluruh Terengganu tahun ini, sebalik umat Islam negeri ini diminta menunaikannya bersama ahli keluarga masing-masing di rumah. Keputusan diumumkan Jabatan Mufti Terengganu menerusi garis panduan sambutan Aidilfitri di negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
06 Jul 20
70
Dua Exco Terjah Pasar, Pantau Harga Barang
Dua Exco Terjah Pasar, Pantau Harga Barang
Oleh: Hidayah Azlin KUALA TERENGGANU, 23 Mei - Dua exco kerajaan Terengganu melakukan lawatan mengejut ke Pasar Borong Gong Pauh di sini semalam bagi memastikan peniaga mematuhi harga siling barangan kawalan yang ditetapkan baru-baru ini. Tinjauan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Wan Sukairi Wan Abdullah mendapati lebih 90 peratus peniaga mematuhi pelaksanaan itu. Walau bagaimanapun, Dr Azman berkata, masih terdapat segelintir peniaga yang ingkar dan mereka telah diberikan teguran serta amaran. "Kami hadir untuk melihat sendiri stok bekalan barangan dan pematuhan harga barangan kawalan seperti ayam, daging, telur, kelapa dan sebagainya. "Pasar borong ini dimanfaatkan oleh peniaga dan pengguna dari sekitar daerah ini, Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.  "Boleh saya katakan harga barangan di Pasar Borong Gong Pauh adalah gambaran harga purata untuk Terengganu," jelasnya kepada media selepas lawatan. Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Shahidan Embok, Pengarah Pertanian Negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh, Pengarah Veterinar Negeri, Dr Mohd Termizi Ghazali dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri, YM Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmod. Menurut Dr Azman, bagi memastikan keadilan dan kesaksamaan sebelum mengenakan sebarang tindakan penguatkuasaan harga, pihaknya mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. "Kalau peruncit jual mahal, bukan terus dikenakan tindakan. Perlu diteliti dahulu berapa harga yang mereka dapat dari pemborong dan berapa harga yang pemborong dapat dari pembekal. "Semua peringkat rantaian pengeluaran akan diteliti. Termasuk juga yang dipantau ialah harga sumber input pertanian seperti baja, racun dan makanan ternakan," ujarnya. Sementara itu, mengulas tentang bekalan makanan menjelang Aidilfitri esok, beliau berkata semuanya adalah mencukupi. "Aneka jualan sayur-sayuran dan buah-buahan di sini adalah keluaran dari sendiri dan luar Terengganu. Setakat ini, belum ada aduan tentang bekalan tidak cukup," tambah beliau.
06 Jul 20
138
5,200 Kit Aidilfitri Tanda Prihatin Diagihkan Di DUN Manir
5,200 Kit Aidilfitri Tanda Prihatin Diagihkan Di DUN Manir
Oleh: Ahmad Mawardi HULU TERENGGANU, 23 Mei - Memahami keperitan yang dilalui rakyat di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan akibat penularan wabak Koronavirus (Covid-19), Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir tampil membantu untuk meringankan beban menjelang Aidilfitri yang akan disambut esok. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, melalui peruntukan kerajaan negeri, pihaknya mengagihkan 5,200 kit barangan keperluan asas Aidilfitri kepada seluruh ketua isi rumah sebagai tanda ingatan bersama. Katanya, penyampaian sumbangan itu bukan atas nama mana-mana parti, sebaliknya kesepakatan dalam Perikatan Nasional (PN). Menurut Hilmi lagi, wakil-wakil parti kompenan PN juga dijemput pada penyampaian sumbangan kepada penduduk setelah diedarkan kepada seluruh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam DUN Manir. Jelas beliau, sumbangan kerajaan negeri diagih kepada semua rakyat yang terjejas tanpa mengira fahaman politik bersama-sama dapat meraikan Aidilfitri.
06 Jul 20
115
Orang Hulu Terengganu, Awas! Anda Dipantau
Orang Hulu Terengganu, Awas! Anda Dipantau
HULU TERENGGANU, 23 Mei - Penduduk di daerah ini disarankan  mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengekang penularan COVID-19. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata pihaknya mempunyai  lapan pasukan peronda untuk memantau pergerakan orang ramai dalam mematuhi penjarakan sosial, di  premis perniagaan atau tempat ibadah termasuk di kediaman masing-masing. Jelasnya, pihak polis akan memastikan mereka yang menyambut Hari Raya agar tidak melanggar SOP pada hari pertama Aidilfitri dan pemantauan akan bermula hari ini. "Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar had 20 pengunjung untuk satu rumah "Polis  akan membuat rondaan ketika Hari Raya di setiap kawasan. Jika didapati ada banyak kenderaan di luar rumah, mereka akan semak kediaman itu untuk mengenal pasti jumlah tetamu. "Sekiranya ada banyak kenderaan, berkemungkinan ada ramai orang dalam rumah itu, dan polis akan siasat lanjut, jika melanggar  SOP maka tindakan kompaun serta merta akan dikenakan terhadap tuan rumah sebanyak RM1,000," katanya ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini. Tambah beliau, pemeriksaan turut dilakukan di kawasan tempat letak kereta ke atas kenderaan dari luar bagi memastikan menentukan pemiliknya mempunyai surat kelepasan rentas negeri. Menurut Mohd Adli lagi,  pihaknya juga akan membuat pemeriksaan terhadap aktiviti pembakaran mercun sepanjang Aidilfitri bagi menggelakkan kejadian yang tidak diingini.
06 Jul 20
162
DHPP ‘Jambatan’ Non-Muslim - Ahmad Amzad
DHPP ‘Jambatan’ Non-Muslim - Ahmad Amzad
Oleh: AHMAD SABRI YUSOF KUALA TERENGGANU, 23 Mei - Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) merupakan ‘jambatan’ antara komuniti non-muslim dengan masyarakat Melayu Islam khususnya di Terengganu. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, DHPP Kuala Terengganu bertindak cemerlang dalam memelihara kesejahteraan rakyat terutama di kalangan bukan Islam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak 18 Mac lalu. Katanya, Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Terengganu melalui DHPP Kawasan Kuala Terengganu berjaya mengagihkan bantuan kepada masyarakat non-muslim dalam kawasan tersebut. Menurut Amzad, bantuan disalurkan kepada semua yang layak tanpa mengira latar belakang parti dan kaum bukan Islam banyak tertumpu di kawasan Kampung Cina, Kuala Terengganu. “Ramai yang terkesan akibat arahan PKP itu sejak dua bulan lalu akibat penularan wabak pandemik Covid-19 di seluruh dunia. “Tahniah kepada DHPP Kuala Terengganu kerana cemerlang dalam usaha memelihara perpaduan nasional yang positif di Kuala Terengganu, termasuklah sepanjang musim Covid-19,” ujarnya dalam satu kenyataan facebook, semalam. Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) berkata, titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengenai kesan terhadap ekonomi amat menyentuh rakyat. “Tuanku Duli Yang Maha Mulia, Yang di-Pertuan Agong semasa istiadat perasmian pembukaan penggal sidang parlimen pada 18 Mei lalu, ramai rakyat yang terkesan terutamanya dari segi ekonomi. “Alhamdulillah, kerajaan Perikatan Nasional sekarang sudah pun melakukan usaha keras bagi  membantu rakyat dengan lebihkan bekerja berbanding politicking. “Kita sebagai warga Malaysia perlu sentiasa menyemaikan budaya positif untuk kesejahteraan rakyat di negara ini,” jelasnya. Sehubungan itu, kata Amzad, daerah Kuala Terengganu pernah diumumkan kawasan paling ‘gembira’ berdasarkan indeks kebahagiaan menurut Laporan Kebahagiaan Dunia 2019 (WHR). Menurutnya, kejayaan itu turut disumbangkan oleh peranan DHPP Kuala Terengganu yang dapat memelihara kesejahteraan di kalangan masyarakat non-muslim. “Tahniah kepada Jefri Chua dan DHPP Kuala Terengganu yang membuktikan dan menolak isu bahawa PAS adalah ‘racist’ dan tidak mementingkan kaum lain selain Melayu sahaja adalah tidak benar,” tegasnya. Hadir sama dalam pertemuan itu, Ketua DHPP Kuala Terengganu, Chua Kim Huat atau Jefri Chua, Setiausaha DHPP Kuala Terengganu, Ketua Pemudanya, Alex Chan Fook Yew, Ketua Wanita DHPP Kuala Terengganu, Angeline Mak Yun Yah dan Setiausaha DHPP Kuala Terengganu, Wong Foot Yoke.
05 Jul 20
216
Solat Jumaat Di Terengganu Kembali Selepas Dua Bulan Ditangguh
Solat Jumaat Di Terengganu Kembali Selepas Dua Bulan Ditangguh
KUALA TERENGGANU, 22 Mei - Setelah sembilan minggu terpaksa ditangguhkan ekoran penularan COVID-19, lapan masjid terpilih di seluruh Terengganu kembali diimarahkan dengan solat Jumaat hari ini. Mufti Terengganu, Dato' Dr Zulkifly Muda berkata, solat Jumaat itu diadakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk dihadiri oleh 40 jemaah. "Daripada 40 orang tersebut, mereka adalah yang tinggal di mukim masjid yang dibenarkan mengadakan solat Jumaat. "Pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan Pegawai Agama Daerah masing-masing yang memilih siapa yang dibenarkan solat Jumaat," katanya ketika ditemui media selepas solat Jumaat di Masjid Abidin di sini hari ini. Mengulas lanjut beliau memaklumkan, pihak masjid terpaksa membuat tapisan individu yang dibenarkan solat Jumaat di setiap masjid. "Ramai yang ingin kembali mendirikan solat Jumaat, tetapi kita terpaksa melakukan tapisan bagi mengelakkan terlampau ramai jemaah sehingga boleh merisikokan pelanggaran SOP dan penularan wabak. "Dan terpulang kepada pihak masjid sama ada ingin memilih jemaah lain atau sama setiap minggu, saya cadangkan agar dipilih jemaah lain," jelas Zulkifly. Sementara itu, Zulkifli turut menegaskan, Terengganu masih tidak membenarkan aktiviti solat sunat Tarawih dan Aidilfitri dilakukan di masjid sebagaimana diumumkan baru-baru ini.
05 Jul 20
238
Muat Turun Aplikasi 'Price Catcher' Untuk Jadi Pembeli Yang Bijak
Muat Turun Aplikasi 'Price Catcher' Untuk Jadi Pembeli Yang Bijak
HULU TERENGGANU, 21 Mei - Orang ramai digalakkan menggunakan aplikasi 'Price Catcher' bagi merancang perbelanjaan dengan memilih premis yang menawarkan harga berpatutan di pasaraya pasar awam dan pasar basah. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid berkata aplikasi ini memaparkan perbandingan harga lebih 400 barangan keperluan pengguna dan dikemas kini dengan ciri terbaharu yang lebih terkini. "Aplikasi ini memaparkan maklumat harga lebih 432 barangan keperluan pengguna yang dikutip oleh 1100 Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDNHEP di seluruh negara secara harian mingguan dan bulanan. "Pengguna dapat mencari barang yang sama tetapi pada harga berbeza, aplikasi ini juga dapat membantu pengguna menjimatkan masa masa dan kos untuk membuat perbandingan dan dalam pada masa yang sama menjadi pembeli yang bijak," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2020 di Sabasun, Ajil hari ini. Turut hadir Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia. Untuk rekod, aplikasi Mudah Alih Price Catcher menggunakan platform Android dan iOS bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup. Aplikasi ini mempunyai ciri-ciri seperti carian mengikut kategori, lokasi atau perkataan, fungsi untuk mengesan lokasi, perbandingan harga berdasarkan item atau bakul barangan.
05 Jul 20
388
Warga Emas Mengesot 100 Meter Cari Keperluan Diri
Warga Emas Mengesot 100 Meter Cari Keperluan Diri
Oleh: Hidayah Azlin SETIU, 21 Mei - Seorang warga emas, Jusoh Abas atau Pak Jusoh, 70, nekad mengesot sejauh 100 meter untuk membeli keperluan dirinya kelmarin. Derita bapa kepada seorang anak itu bermula apabila dia mengalami demam selama seminggu di awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini dijaga oleh adik dan saudara terdekat kerana anaknya bekerja di Kuala Lumpur. Kata Jusoh, kaki yang kurang sempurna dan berkudis turut menyukarkannya untuk memakai selipar semasa ke luar rumah. "Saya keluar untuk mencari keperluan diri tanpa pengetahuan adik, pada awalnya adik saya dah pergi, tetapi saya mahu melihat sendiri barang yang saya pesan itu di kedai. "Itu kali pertama saya keluar rumah selepas tidak mampu berjalan dengan sempurna," katanya semasa menerima kerusi roda semalam. Walau bagaimanapun, tindakan warga emas Bukit Jeruk itu disedari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim yang menyapa Pak Jusoh semasa menziarahi penduduk di kampung terbabit. "Saya pergi kedai depan rumah sahaja. Dalam perjalanan balik, kebetulan pula terserempak dengan Dr Azman Ibrahim sewaktu dia ziarah orang kampung sebelah," jelasnya. Menyedari beban yang ditanggung Pak Jusoh, Dr Azman segera menyumbang kerusi roda semalam bagi memudahkan bekas peserta Felda Kerteh 6 terbabit melakukan aktiviti harian. "Kerusi roda memang sepanjang masa ada stok di Pejabat ADUN. Ada yang memerlukan kita terus hantar tanpa apa-apa kerenah birokrasi. "Semalam dapat kerusi roda. Hari ini Penghulu Kampung hantar sumbangan lain, tak perlu isi apa-apa borang pun untuk mohon bantuan ini kerana semua tahu dia layak," jelasnya. Tambah Dr Azman, Pak Jusoh sangat teruja apabila menerima bantuan tersebut dan kita akan terus membantu orang-orang yang kurang berkemampuan. "Sebelum ini dia terpaksa mengesot untuk melakukan apa-apa aktiviti, dia sedikit bebas dan mudah bergerak, segala keperluan dia juga kita bantu" jelasnya.
05 Jul 20
167
Ramadan, PKPB Tak Halang 'Jupo' Rakyat
Ramadan, PKPB Tak Halang 'Jupo' Rakyat
SETIU, 21 Mei - Walaupun dalam bulan Ramadan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ia tidak menghalang pemimpin untuk bertemu serta membantu rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, aktiviti turun padang bukan hanya dapat memantau sendiri permasalahan yang ada tetapi ia dapat membina hubungan yang dekat antara mereka. "Di mana sahaja kita boleh turun meninjau kehidupan rakyat, sama ada kebun, ladang, laut, pantai, sawah, bukit dan sebagainya. Mudah sebut, di mana ada rakyat di situ kita perlu sampai. "Semoga kita terus kuat untuk membantu rakyat kerana ketikanya dalam melaksanakan tugasan lain, kita terlalai dari kerja asasi seorang kuli rakyat di lapangan," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni rakyat dalam Program Temu Mata ‘Orang Lama’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi di sini semalam. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi sangat menghargai jasa serta pengorbanan orang-orang terdahulu dalam membangunkan masyarakat dan negeri. "Jasamu dikenang. Kerana merekalah antara penyebab kita mampu sampai ke tahap ini pada hari ini. Inilah antara orang-orang lama kita yang pernah berkhidmat. Tambah beliau lagi, ‘pejabat bergerak’ yang diamalkan sejak dahulu kala berjaya memudahkan urusan dan memberi keselesaan kepada rakyat. "Rakyat yang sudi panjat tangga pejabat untuk jumpa kita tak sampai pun satu peratus  walaupun kita buka pejabat untuk dikunjungi tanpa protokol," jelasnya.
05 Jul 20
87