lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Giliran 208 Penduduk Jabi Pula Terima Tanah
Giliran 208 Penduduk Jabi Pula Terima Tanah
Oleh : Hidayah Azlin SETIU, 4 Julai - Seramai 208 penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menerima borang Jadual 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pemberian borang tersebut adalah hentian terakhir sebelum penerima mendapat geran hak milik kekal. "Selepas penerima menjelaskan bayaran premium tanah, peserta akan dapat geran hak milik dengan tempoh pajakan selama 99 tahun. "Sebelum ini tempoh pajakan tanah pertanian ialah 60 tahun. Kerajaan Terengganu sekarang telah naikkan kepada 99 tahun," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Jadual 5A RTB Belimbing Api, RTB Bukit Tasik dan RTB Pasir Tawar Jabi di Dewan Sivik Jabi di sini. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, para peserta juga perlu menjelaskan kadar bayaran premium dalam masa tiga bulan. "Sekiranya tidak mampu, buatlah surat rayuan untuk lanjutan bayaran selama tiga bulan. Sebaiknya kita mahu selesaikan pemberian geran dengan cepat. "Usahalah sedaya yang mampu untuk menjelaskan bayaran premium tanah dan jangan bandingkan dengan premium tanah 20 tahun dulu. Malah, jangan bandingkan dengan RTB Belimbing Api kerana ia merupakan RTB Terkilan," ujarnya. Katanya lagi, bagi yang berpendapatan rendah atau RM 1,700 ke bawah sebulan, penerima boleh membuat rayuan untuk membayar secara ansuran selama tiga tahun. "Bagi penerima yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), e-Kasih pula, boleh mohon bayaran premium pada kadar nominal (RM100). Satu lagi usaha kerajaan untuk permudahkan urusan," katanya. Tambah beliau, kerajaan Terengganu sangat mengharapkan penerima tanah pertanian memajukan sebaik mungkin tanah yang diperolehi.
06 Jul 20
215
Bertahun Menunggu, Kini Pak Mat Senyum Lebar
Bertahun Menunggu, Kini Pak Mat Senyum Lebar
Oleh : Mohd Zukifli Mat KUALA NERUS, 3 Julai - Penduduk Jeram Hilir, Ahmad Ngah, 76, tidak menyangka impiannya untuk memiliki tanah pemberian kerajaan sejak 17 tahun lalu akhirnya tercapai. Dia yang lebih mesra disapa sebagai Pak Mat merupakan antara penerima borang hak milik tanah daripada kerajaan negeri kelmarin. Ujar Pak Mat, tiada perkataan boleh diungkapkannya kecuali Alhamdulillah hasil kesabaran menunggu selama hampir dua dekad. "Akhirnya impian saya untuk memiliki geran tanah sendiri selepas segala urusan pada pagi ini selesai, terus-terang saya merasa sangat gembira kerana sudah menunggu bagi tempoh yang lama untuk memilikinya. "Saya ingin ucapkan terima kasih khusus kepada kerajaan dan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kerana membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengutamakan kehendak rakyat,” katanya. Dia berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima dokumen hak milik tanah di Stadium Tertutup, Gong Badak di sini. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim turut merakamkan penghargaan kepada Ahmad Samsuri atas komitmen untuk mengembalikan hak rakyat. "Satu komitmen yang sangat padu sebenarnya untuk menjayakan hasrat kepada peserta-peserta 'terkilan' sejak dari zaman pemerintahan tahun 1999 hingga 2004. "Ini adalah fasa pertama proses tanah terkilan untuk melunaskan manifesto PAS dalam PRU yang lalu," jelasnya. Menurut Hishamuddin, beliau amat tersentuh apabila melihat peserta menerima geran tanah dengan linangan air mata tanda kesyukuran. "Walaupun berdepan dengan pelbagai kesulitan, sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk membuka jalan kesenangan dan kemudahan buat pihak yang lain. "Insya-Allah fasa kedua bakal menyusul sedikit masa nanti untuk peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Padang Nenas. "Memang kami memerlukan sedikit masa kerana kawasan asal telah diwartakan sebagai Bandar Baharu Kuala Nerus. Tentunya lokasi lain sedang diteliti untuk tujuan ini," tambah beliau.  
06 Jul 20
108
APMM Selamatkan 12 Pemancing
APMM Selamatkan 12 Pemancing
KUALA TERENGGANU, 3 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menyelamatkan 12 pemancing  berhampiran Pelantar Tapis R kira-kira 120 batu nautika daripada pantai Kuala Terengganu  apabila bot dinaiki mengalami kerosakan pada bahagian kipas enjin selepas tiga hari di laut. Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata bot tempatan yang mengalami kerosakan 'propeller' kira-kira 0.5 batu nautika dari pelantar minyak Tapis R dikesan kira-kira jam 1 pagi Rabu. Katanya, kesemua pemancing  berasal dari Pahang dan Kuala Besut yang berusia antara 30 hingga 56 tahun berada dalam keadaan selamat. "Sejurus menerima maklumat tersebut KM Langkawi yang berada berhampiran telah diatur gerak ke lokasi tersebut. "Lebih kurang 1 pagi, KM LANGKAWI berjaya menemui sebuah bot bersama kesemua awak-awak dan tekong seramai 12 orang kesemuanya warga tempatan berada dalam keadaan baik. "Bot bersama kesemua mangsa ditunda oleh anggota KM Langkawi dengan menggunakan sebuah bot nelayan asing Vietnam yang telah ditahan sebelumnya oleh KM Langkawi  ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk tindakan selanjutnya," ujarnya. Susulan kejadian itu, Muhammad Suffi menasihatkan pengusaha bot yang menjalankan perkhidmatan memancing tidak membawa penumpang ke lokasi terlalu jauh bagi tujuan keselamatan. Katanya, dengan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, sebarang kemungkinan akan berlaku selain keadaan fizikal bot yang kecil dan tidak selamat untuk berada di laut dalam. Tambah beliau lagi, memancing di kawasan berhampiran pelantar adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
06 Jul 20
142
Warga Emas Hilang Ditemui
Warga Emas Hilang Ditemui
Oleh : Alfian Mamad KEMAMAN, 3 Julai - Seorang warga emas yang dipercayai hilang di Tasik Gajah Marah, Ibok beberapa hari lalu telah ditemui oleh Pasukan Mencari Dan Menyelamat (SAR). Mangsa yang dikenali sebagai Pok Nor atau nama sebenarnya Mohd Noor Salleh, 56, ditemui dalam keadaan lemah setelah tiga hari tidak pulang ke rumahnya sejak 30 Jun yang lalu. Perkara itu dimaklumkan oleh isterinya, Rusiah Husin, 51, yang membuat laporan di Balai Polis Kemaman setelah motosikal suaminya ditemui di tepi tasik tersebut oleh penduduk kampung. Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pondok Pasir, Yak Yah dan Bukit Takar, Zawawi Mohamed, pihak berkuasa dan penduduk kampung telah memulakan misi mencari dan menyelamat pagi tadi. "Pasukan SAR yang diketuai oleh anggota dari Balai Polis Kemaman, MPKK serta penduduk kampung pagi ini telah mengerakkan pasukannya dalam usaha mencari mangsa yang hilang tersebut. "Alhamdulillah, mangsa sudah ditemui di tepi tasik tersebut dalam keaadan yang agak lemah dan terpaksa diangkat keluar setelah tiga hari tidak makan," ujarnya lagi. Dalam perkembangan sama, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh turut bergegas ke Pondok Polis Kampung Ibok sebelum itu serta melahirkan rasa simpati di atas kejadian itu. "Saya bersimpati dan bersyukur dengan apa yang berlaku. Syabas dan tahniah kepada para petugas yang diketuai oleh anggota dari Balai Polis Kemaman, MPKK dan penduduk kampung," katanya ketika dihubungi setelah penemuan itu. Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Seri Bandi untuk rawatan selanjutnya.
06 Jul 20
87
Kerajaan Negeri Iktiraf Petugas Media
Kerajaan Negeri Iktiraf Petugas Media
Oleh: Suriati Ali KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Kerajaan negeri meraikan enam agensi media di Terengganu hari ini sempena Hari Wartawan Nasional yang disambut pada 29 Mei lalu di seluruh negara. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, peranan wartawan dalam membentuk masyarakat yang bermaklumat dan berilmu amat penting. "Dunia hari ini sangat bergantung kepada info dan maklumat yang tepat, semoga para petugas media dan wartawan terus berkhidmat tanpa rasa jemu, penuh amanah dan berintergriti. "Setiap berita terus dapat disampaikan pada masyarakat dan menjadikan setiap saluran itu sebagai ibadah dan teruslah menyampaikan berita tepat, ringkas dan padat," katanya kepada pemberita selepas kunjungan tersebut. Dalam kunjungan hampir dua jam itu, Mohd Nor singgah di pejabat Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Terengganu FM, RTM, Harakah, Bernama dan NSTP.
06 Jul 20
64
Operasi Taska Di Terengganu Ditangguhkan
Operasi Taska Di Terengganu Ditangguhkan
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Terengganu mengambil langkah untuk menangguhkan sementara operasi Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Left Kol Che Adam A. Rahman berkata, keputusan itu dibuat bagi meneliti beberapa aspek tertentu dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum kebenaran diberi. "Keputusan mesyuarat pada hari ini masih belum membenarkan taska beroperasi atas beberapa perkara. "Kita tangguhkan dahulu sehingga pihak berkuasa negeri memaklumkan status pengoperasian taska pada satu tarikh nanti," ujar beliau ketika dihubungi media hari ini. Semalam, Sinar Harian yang memetik kenyataan Pemangku Pengerusi Persatuan Pendidik Taska Swasta Negeri Terengganu (PPTNT), Ummi Rahimah Hassan berkata, sebanyak 12 Taska dijangka mula beroperasi di Terengganu bermula esok selepas ia ditutup sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Setakat ini, ada dalam 12 buah Taska telah bersedia untuk kembali beroperasi pada 1 Jun nanti. "Selebihnya ada yang memilih untuk mula operasi semula pada 8 dan 14 Jun," kata Ummi sebagaimana dilapor Sinar Harian.
06 Jul 20
131
Keracunan Puding Buih : SOP Peniaga Makanan ‘Online’ Dirangka
Keracunan Puding Buih : SOP Peniaga Makanan ‘Online’ Dirangka
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) untuk merangka satu prosedur operasi standard (SOP) yang baharu bagi menangani isu berkait kebersihan dan keselamatan makanan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, langkah itu diambil susulan kejadian keracunan puding buih yang melibatkan 99 individu baru-baru ini. Katanya, keputusan sampel dilakukan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu mendapati penggunaan telur tamat tempoh adalah punca utama kes tersebut berlaku. “Kita akan kuatkuasakan dari segi perlesenan, suntikan dan sebagainya kepada semua peniaga di rumah atau ‘online’ yang tidak berlesen,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Turut hadir ialah Timbalannya Ahmad Shah Muhamed. Mengulas tentang insiden itu, beliau memaklumkan semua mangsa berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). “JKNT sudah menutup dapur premis terbabit selama 14 hari sehingga 7 Jun depan. “Tindakan dibuat mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya. Isnin lalu, seramai 99 mangsa dikejarkan ke HSNZ apabila mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih yang dibeli secara atas talian.
06 Jul 20
79
MBKT Ketatkan Penguatkuasaan Terhadap Pemilik Haiwan Ternakan Berkeliaran
MBKT Ketatkan Penguatkuasaan Terhadap Pemilik Haiwan Ternakan Berkeliaran
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemilik yang membiarkan binatang ternakan mereka berkeliaran sehingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya mulai esok, 1 Jun. Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Shahidan Embok berkata, keputusan tersebut dibuat selepas beberapa perkara dari segi penguatkuasaan dan peraturan dinilai bagi mengelakkan berlakunya insiden yang boleh meragut nyawa. “Sebelum ini, kita telah maklumkan kepada semua pemilik haiwan bahawa MBKT telah menaikkan kadar tebusan bagi tangkapan haiwan berkeliaran berkuatkuasa 1 Mac lalu. “Bagaimanapun, notis berkenaan seolah-olah tidak memberi sebarang kesan kerana masih ada pemilik haiwan yang berdegil dengan membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran tanpa sebarang pengawasan. “Justeru, kita akan buat operasi penguatkuasaan berkala yang lebih tegas selepas ini memandangkan tindakan tidak bertanggungjawab mereka ini (pemilik haiwan) memberi kesan kepada orang ramai termasuk pengguna jalan raya sehingga terjadinya kemalangan dan sebagainya,” ujarnya kepada pemberita. Menurut beliau, kadar kompaun yang berkuatkuasa dari tarikh berkenaan adalah RM250 seekor untuk haiwan ternakan dari jenis kerbau, lembu, dan kambing/biri-biri, manakala kadar penebusan pula sebanyak RM1,500 seekor untuk kerbau dan RM1,000 untuk lembu sementara RM500 untuk kambing/biri-biri. Justeru, pihaknya mengharapkan pemilik haiwan ternakan mematuhi garis panduan yang dikeluarkankan oleh MBKT demi keselamatan orang  ramai.
06 Jul 20
831
PKPB : Solat Jumaat, Jemaah Di Masjid Akan Diperluas
PKPB : Solat Jumaat, Jemaah Di Masjid Akan Diperluas
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Kebenaran solat Jumaat dan solat berjemaah di Terengganu akan diperluaskan daripada lapan masjid sebelum ini kepada lebih 100 masjid mukim. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, perkara itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin serta persetujuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Katanya, pihaknya sedang berbincang dengan Pejabat Mufti, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan beberapa jabatan berkepentingan lain bagi memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). “Peringkat kedua ini akan diberi ruang kepada lebih banyak masjid dengan mendahulukan masjid mukim dengan bilangan lebih 100 masjid di seluruh negeri. “Penglibatan ahli jemaah, termasuk untuk solat Jumaat pada satu-satu masa masih dihadkan kepada 40 orang berbanding di negeri lain ada yang menetapkan 12 ahli jemaah sahaja,” katanya. Beliau berkata demikian  ketika mengadakan lawatan kerja sempena Hari Wartawan Nasional di pejabat-pejabat media perdana sekitar Kuala Terengganu, hari ini. Mohd Nor turut memberitahu, kebenaran itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, sekiranya keadaan pulih sepenuhnya kelak kerajaan negeri akan mengisytiharkan semua masjid di Terengaanu boleh digunakan seperti biasa tanpa ada SOP. “Apa yang dilaksanakan sekarang ini masih bergantung kepada SOP, sekiranya tidak dibimbangi umat Islam akan berpusu-pusu ke masjid kerana sudah agak lama merindui suasana untuk solat berjemaah di masjid,” katanya. Sebelum ini, Terengganu memulakan aktiviti solat Jumaat bermula 22 Mei melibatkan lapan masjid dengan bilangan tidak melebihi 40 jemaah dengan mengambil kira syarat syarat ditetapkan bagi membendung COVID 19.
06 Jul 20
63
Terengganu Benarkan Makan Dalam Kedai Mulai Hari Ini
Terengganu Benarkan Makan Dalam Kedai Mulai Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Orang ramai di Terengganu dibenarkan untuk makan di dalam kedai atau restoran bermula hari ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak walau bagaimanapun menegaskan, kebenaran itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. “SOP yang ditetapkan harus dipatuhi semua pengunjung dan pemilik premis, pastikan jarak 1 meter, peralatan mesti dinyahkuman dan bilangan pelanggan dihadkan sepanjang kedai makan beroperasi pada 7 pagi hingga 10 malam. “SOP akan dipantau dari semasa ke semasa oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sekiranya ada pelanggaran kita akan nasihat dahulu dan jika masih berdegil kita terpaksa kompaun mereka,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman hari ini. Mengulas tentang pasar malam dan pasar tani, beliau memaklumkan pihaknya sedang meneliti dua tapak sebagai perintis pasar norma baharu sebelum  memuktamadkan sebarang keputusan. “Dalam tempoh ini (bermula esok) sehingga 9 Jun kita buat kajian atau ‘pilot project’, jika berjaya dan peniaga patuh pada setiap SOP, kita akan buka sepenuhnya di tempat lain. “Antara cadangan kita adalah di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sana ada kawasan luas, kita boleh aturkan ikut SOP kita, saya sudah arahkan PBT untuk mengambil tindakan. “Pasar sedia ada kita tutup, tetapi sekiranya peniaga boleh patuh kepada cadangan kita termasuk jumlah peniaga dikurangkan berbanding kebiasaan contohnya 100 kepada 50, kita akan teliti dan buka kembali. Dalam pada itu, pihaknya juga memutuskan untuk membenarkan klinik swasta, dan farmasi beroperasi mengikut lesen permit masing-masing. Tambah Dr Alias, kedai gunting rambut masih tidak dibenarkan beroperasi kerana melibatkan kontak rapat dengan pelanggan.
06 Jul 20
505