Berita :
Syarikat Terengganu TDM Catat Hasil Tertinggi Dalam Sejarah, Cecah RM768.1 Juta
Syarikat Terengganu TDM Catat Hasil Tertinggi Dalam Sejarah, Cecah RM768.1 Juta
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
149

KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Syarikat milik kerajaan Terengganu, TDM Berhad mencatat pencapaian penting apabila merekodkan hasil tertinggi dalam sejarah syarikat, iaitu sebanyak RM768.1 juta bagi tahun kewangan 2025.

Jumlah itu meningkat 19 peratus berbanding RM645.6 juta pada tahun 2024.

Prestasi tersebut turut menyaksikan keuntungan sebelum cukai TDM melonjak kepada RM42.4 juta, berbanding hanya RM10.3 juta pada tahun sebelumnya.

Selain itu, pendapatan operasi syarikat sebelum mengambil kira faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan turut meningkat kepada RM140.5 juta.

Pencapaian ini didorong oleh prestasi kukuh dua bidang utama TDM, iaitu perladangan dan penjagaan kesihatan, selain usaha syarikat mengurus kos dengan lebih berdisiplin serta meningkatkan kecekapan operasi.

Pengerusi TDM, Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, prestasi tahun 2025 membuktikan syarikat itu mempunyai asas perniagaan yang kukuh walaupun berdepan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

“Prestasi tahun kewangan 2025 mencerminkan kekuatan asas perniagaan TDM serta keberkesanan strategi yang dilaksanakan oleh kumpulan.

“Kejayaan ini menjadi asas kukuh kepada pelaksanaan pelan strategik FOCUS 30 yang akan memacu pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang kepada pemegang saham serta pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Agung Tahunan TDM ke-61 yang berlangsung di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu turut menyaksikan para pemegang saham meluluskan lapan resolusi yang dibentangkan.

Segmen perladangan kekal menjadi penyumbang terbesar kepada hasil TDM apabila mencatat pendapatan sebanyak RM399.5 juta.

Jumlah itu meningkat 37 peratus berbanding RM291.2 juta pada tahun 2024.

Bagi segmen penjagaan kesihatan pula, KMI Healthcare mencatat hasil sebanyak RM368.6 juta, meningkat empat peratus berbanding RM354.4 juta pada tahun 2024.

Pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan jumlah pesakit kepada 215,935 orang, berbanding 201,239 orang pada tahun sebelumnya.

Selain jumlah pesakit yang meningkat, hasil bagi setiap pesakit yang menerima rawatan di rangkaian hospital KMI juga bertambah.

Bagi mengukuhkan kedudukannya dalam sektor kesihatan swasta, KMI Healthcare terus melabur dalam teknologi perubatan, transformasi digital dan penggunaan sistem analisis data perniagaan.

Usaha itu bertujuan meningkatkan kecekapan operasi, mutu perkhidmatan dan pengalaman pesakit.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan