lightning-solid
Berita :
SUKMA 2026: Tiada Perkampungan Sukan Bukan Halangan, Kebajikan Atlet Terengganu Terjaga
SUKMA 2026: Tiada Perkampungan Sukan Bukan Halangan, Kebajikan Atlet Terengganu Terjaga
Ahmad Zaeem Zainudin
13 jam yang lepas
154

SHAH ALAM, 22 Ogos - Ketiadaan perkampungan sukan pada temasya SUKMA Selangor 2026 tidak menjadi halangan besar kepada kontinjen Terengganu.

Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengambil inisiatif menyediakan penempatan, pengangkutan serta keperluan kebajikan atlet sepanjang temasya berlangsung.

Walaupun begitu, beliau mengakui pihaknya berdepan sedikit kekalutan dalam menguruskan penempatan atlet pada peringkat awal.

Namun, tegasnya, perkara itu berjaya diselesaikan menerusi kerjasama pengurus pasukan dan liaison officer (LO) setiap kontinjen.

"Berkaitan dengan perkampungan sukan yang kebiasaannya memang penganjur sediakan, tapi kali ini kita menyediakan penempatan sendiri termasuk pengangkutan dan sebagainya.

"Jadi kami ini, memang di peringkat awal agak kelam-kabut sedikit. Tapi alhamdulillah dapat diselesaikan dengan baik oleh pengurus pasukan dan juga LO masing-masing di mana kita memperuntukkan satu bajet untuk menguruskan kos untuk penempatan dan juga pengangkutan.

"Tapi Terengganu ini beruntung, alhamdulillah kami dapat kerjasama yang baik daripada bapa angkat iaitu daripada YB-YB dan juga kami dapat kerjasama yang baik daripada jabatan angkat yang merupakan jabatan agensi ataupun GLC, anak syarikat Terengganu yang sangat membantu terutamanya dalam menyediakan kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan pingat kepada atlet angkat berat di Dewan Seri Cempaka MPKJ, Kajang, baru-baru ini.

Zuraida berkata, wakil rakyat turut menyediakan peruntukan khas kepada pasukan bagi memastikan keselesaan dan kebajikan atlet, termasuk aspek makan minum sepanjang kejohanan.

"Macam jabatan-jabatan mostly dia menyediakan kenderaan kepada atlet dan juga pihak kami, wakil rakyat ini dia akan memberi satu peruntukan khas kepada pasukan untuk lebih selesa, untuk menjaga kebajikan sama juga dengan makan minum dan sebagainya.

"Jadi kami tak jadikan perkampungan sukan yang tidak disediakan di Selangor ini satu halangan besar," ujarnya kepada pemberita.

Tambahnya, setakat ini pihaknya tidak menerima banyak aduan daripada atlet atau persatuan berkaitan isu penempatan.

Namun, tegasnya, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan kebajikan kontinjen sentiasa terpelihara.

"Alhamdulillah, saya setakat ini saya tak ada dengar banyak aduanlah daripada atlet ataupun persatuan berkaitan dengan perkampungan ini.

"Tapi saya akan sentiasa memastikan team kami, Team CDM ini sentiasa memantau untuk memastikan atlet kita selesa, atlet kita dijaga kebajikan mereka," katanya.


Artikel Berkaitan