KAJANG, 17 Ogos - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru atlet negeri itu supaya terus 'nelang' atau berusaha gigih dalam memburu pingat emas pada temasya SUKMA Selangor 2026.
Beliau berkata, Terengganu sudah melakukan persiapan rapi sejak tamat edisi SUKMA Serawak sebelum ini bagi memastikan kontinjen negeri mampu memberikan saingan terbaik dalam edisi kali ini.

"Oleh itu, kita faham bahawa tentulah tuan rumah dengan kelebihan tuan rumah dan kalau tempat-tempat yang ada di Selangor ini yang banyak, tentulah merupakan suatu kelebihan.
"Tapi kita, kita akan beri persaingan yang terbaiklah, insya-Allah. Walaupun begitu, kita masih lagi di peringkat awal," katanya.

Dalam perkembangan terkini, Terengganu berada di tangga kedua kedudukan keseluruhan dengan kutipan 11 pingat emas, 18 perak dan enam gangsa, di belakang tuan rumah Selangor yang mengumpul 13 emas, 11 perak dan lapan gangsa.
Mengulas persaingan sengit antara kedua-dua negeri itu, Ahmad Samsuri berkata kedudukan semasa masih belum menggambarkan keputusan akhir kerana persaingan dijangka terus berubah sepanjang temasya berlangsung.

Walau bagaimanapun, beliau berharap agar para atlet negeri akan sentiasa berjuang habis-habisan sehingga ke penghujung saingan.
"Saya rasa awak semua boleh, 'nelang' belaka dah. Dan terus 'nelang' supaya kita boleh pingat emas belaka," katanya, menyuntik semangat.