SHAH ALAM, 14 Ogos - Skuad Judo Terengganu menutup saingan hari ini dengan kutipan tiga pingat perak dan satu gangsa dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di IDCC, di sini, hari ini.
Pingat perak disumbangkan Ammar Rafiki Mohd Ridzuwan dalam kategori bawah 55 kilogram (kg) lelaki, Nur Fasha Zazali bagi kategori bawah 44kg wanita dan Muhammad Lokman Hakim Mohamad Asri dalam kategori bawah 60kg lelaki.

Terdahulu, Ammar Rafiki mara ke final kategori bawah 55kg lelaki sebelum tewas kepada wakil Johor dalam aksi penentuan pingat emas, sekali gus membawa pulang perak.
Dalam kategori bawah 44kg wanita pula, Nur Fasha terlebih dahulu menewaskan Ashley Gann dari Penang dengan kelebihan 10 mata pada aksi separuh akhir sebelum tewas kepada wakil Selangor dalam pusingan akhir.

Bagaimanapun, Lokman Hakim terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada Johor dalam aksi akhir.
Bagi kategori bawah 48kg wanita, Nur Syaza Irdani meraih gangsa selepas menewaskan Kelantan dalam pusingan repechage sebelum mengatasi Sarawak dalam pusingan penentu pingat tersebut.

Saingan Judo dijangka akan diteruskan esok di gelanggang sama dengan membabitkan tiga kategori lelaki iaitu bawah 66kg, bawah 73kg dan bawah 81kg serta dua kategori wanita bawah 52kg dan bawah 57kg.