lightning-solid
Berita :
SUKMA 2026: Emas Sofbol, Hadiah Buat Coach Amirul
SUKMA 2026: Emas Sofbol, Hadiah Buat Coach Amirul
Ahmad Zaeem Zainudin
3 jam yang lepas
57

BANGI, 21 Ogos - Kejayaan skuad sofbol lelaki Terengganu meraih pingat emas pada SUKMA 2026 didedikasikan kepada mantan ketua jurulatih, Allahyarham coach Amirul, yang meninggal dunia ketika kejohanan sedang berlangsung.

Pengurus pasukan sofbol Terengganu, Mohd Ayub Aizat Aman Shah berkata, kejayaan itu disambut dengan perasaan bercampur baur kerana kegembiraan meraih emas diselubungi kesedihan apabila tidak dapat meraikannya bersama Allahyarham.

"Saya sangat gembira dan sedih tak dapat meraikan bersama-sama arwah tapi semua (pencapaian) ini untuk arwah.

"Pasukan bermain hanya untuk coach Amirul, apa ilmu yang diajar semua mereka guna," katanya kepada pemberita ketika dihubungi selepas perlawanan.

Menurutnya, pemergian Allahyarham selepas perlawanan pertama menyebabkan moral pemain pada awalnya terjejas.

"Selepas mendapat tahu arwah pergi meninggalkan team, moral atlet down tapi moral mereka naik balik selepas mahu tunaikan impian coach Amirul - sampai ke final.

"Saya selalu ingatkan mereka arwah bersama kita, gunakan ilmu apa yang diajar, selagi umpire tidak time game, kita lawan," katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih, Rohisham Mat berkata, kejayaan tersebut amat bermakna kerana ia dicapai ketika pasukan berdepan kehilangan seorang jurulatih yang sangat komited.

Katanya, beliau pernah bersama Allahyarham sebagai jurulatih pasukan sofbol lelaki Terengganu pada SUKMA 2011 dan 2013, selain pernah bekerjasama sejak 2003 menerusi MSSM.

"Alhamdulillah, rasa sangat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi kemenangan oleh-Nya.

"Namun sangat hiba dan sedih kerana kita juga kehilangan seorang jurulatih yang sangat komited dalam mengharungi 20 minit dalam game yang pertama (sebelum Allahyarham dibawa ke hospital).

"Namun kami juga bersyukur semua pemain sangat tekad untuk menghadiahkan emas untuk coach Mirul," katanya.Rohisham berkata, Terengganu sebelum ini meraih perak pada SUKMA 2011 dan 2024 di Sarawak, manakala pada 2013 pasukan menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan.

"Bagi SUKMA 2026 saya terpaksa mengambil alih tugas beliau," katanya.

Beliau berkata, perancangan berkaitan barisan kejurulatihan bagi menghadapi SUKMA 2028 dan kejohanan seterusnya akan dibincangkan bersama pengurusan Terengganu Softball Association (TSA).

Terdahulu, Terengganu menewaskan Perak 12-7 dalam perlawanan pingat emas sofbol lelaki di Padang Sofbol UKM, hari ini.

Terengganu menguasai perlawanan dengan mengumpul empat larian pada inning kedua dan keempat, tiga pada inning kelima serta satu pada inning ketujuh untuk melengkapkan kemenangan dengan 12 mata.


Artikel Berkaitan