lightning-solid
Berita :
RM2.4 Juta Perkukuh Pengurusan Rumah Bot, Tasik Kenyir Kekal Khazanah Terengganu
RM2.4 Juta Perkukuh Pengurusan Rumah Bot, Tasik Kenyir Kekal Khazanah Terengganu
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
15 jam yang lepas
36

KEMAMAN, 30 Julai – Kerajaan Negeri terus komited memperkukuh pembangunan industri pelancongan Tasik Kenyir melalui pendekatan yang seimbang antara pertumbuhan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar, khususnya dalam aspek pengoperasian rumah bot serta pengurusan sisa kumbahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, Tasik Kenyir sebagai khazanah berharga negeri perlu dipelihara secara mampan agar terus menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia tanpa menjejaskan kualiti sumber air dan ekosistemnya.

“Pembangunan dan pemuliharaan bukanlah dua perkara yang bertentangan, sebaliknya perlu bergerak seiring demi manfaat semua pihak. 

“Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.4 juta bagi pelaksanaan projek pengurusan sistem kumbahan rumah bot di Tasik Kenyir sebagai pelaburan jangka panjang untuk memelihara kualiti air tasik,” katanya.

Beliau ditemui media ketika merasmikan Sesi Libat Urus Bersama Pengusaha Rumah Bot dan Agensi Berkaitan: Pemakluman, Pemerkasaan Pengoperasian dan Pengurusan Sisa Kumbahan Rumah Bot di Hotel by The Lake, Tasik Kenyir, hari ini.

Program tersebut menghimpunkan pengusaha rumah bot bersama wakil pelbagai agensi kerajaan sebagai platform perkongsian maklumat, sesi dialog serta perbincangan berkaitan penambahbaikan pengoperasian rumah bot, pengurusan sistem kumbahan dan usaha memperkukuh tadbir urus industri pelancongan di Tasik Kenyir.

Selain memperkenalkan pelaksanaan projek pengurusan sistem kumbahan, kerajaan negeri turut meneruskan pelbagai inisiatif termasuk memperkukuh Peraturan-Peraturan Sumber Air Terengganu (Caj Pendaftaran Vesel) 2025, menaik taraf infrastruktur pelancongan, memperkemaskan pengurusan navigasi serta memelihara kawasan Kenyir Geopark. 

Langkah ini diyakini mampu memastikan industri rumah bot terus berkembang secara mampan, memberi manfaat kepada pengusaha dan masyarakat setempat, di samping mengekalkan Tasik Kenyir sebagai kebanggaan Negeri Terengganu.



Tag :

Artikel Berkaitan