Berita :
Ragbi Terengganu Sasar Emas SUKMA 2026
Ragbi Terengganu Sasar Emas SUKMA 2026
Arifuddin Alias
6 jam yang lepas
51

KUALA TERENGGANU, 24 Jun – Pasukan ragbi Terengganu meletakkan sasaran tinggi untuk meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang bakal berlangsung Ogos depan.

Keyakinan itu disandarkan kepada prestasi memberangsangkan skuad ragbi negeri yang menunjukkan peningkatan ketara dalam beberapa kejohanan kebangsaan termasuk saingan Piala Agong 2026, apabila berjaya menamatkan peringkat kumpulan tanpa kalah dan muncul antara pencabar utama kejuaraan.

Menurut Naib Ketua Pasukan, Muhammad Afiq Bahaiqi Roslan berkata, persiapan rapi telah dilaksanakan sejak awal tahun dengan memberi fokus dan meminta pemain yang  berada di luar Terengganu berbakti buat negeri.

“Kita minta pemain-pemain kita yang berada atau sedang belajar di luar untuk beri komitmen yang baik," ujarnya.

Mengulas mengenai persiapan pula Afiq berkata, pasukannya giat mengadakan perlawanan persahabatan dan pra SUKMA untuk uji pemain-pemain baru.

“Taktikal serta ujian pemain baru bagi memastikan skuad berada pada tahap terbaik menjelang temasya nanti.

“Memang perasaan sekarang ni sedikit berdebar dan saya harap rakan sepasukan boleh bagi komitmen 100 peratus bahkan lebih lagi. Kami juga memohon doa daripada rakyat Terengganu agar beroleh kejayaan nanti," katanya.

Sementara itu, bapa angkat pasukan ragbi, Khazan Che Ma berkata, beliau  mengharapkan pasukan ragbi Terengganu mendapat pingat yang lebih baik.

“Kalau dulu kita dapat perak, kali ini kita pastikan kedua-dua pasukan lelaki dan perempuan mendapat emas, insya-Allah," ujarnya.

Dengan semangat 'Terengganu Nelang' yang menjadi slogan rasmi kontinjen negeri, skuad ragbi Terengganu berazam untuk menghadiahkan kejayaan gemilang kepada rakyat negeri itu dan menjadi antara penyumbang utama pingat emas pada SUKMA Selangor 2026. 

Sasaran emas ragbi juga dilihat selari dengan misi keseluruhan kontinjen Terengganu yang mensasarkan kedudukan tiga terbaik pada SUKMA Selangor 2026. 

Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu turut menyediakan peruntukan dan program latihan berterusan bagi memperkukuhkan peluang atlet negeri meraih kejayaan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan