SHAH ALAM, 25 Ogos - Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Ahmad Shahrizal Yahaya menegaskan, pihaknya akan meneliti semula insiden yang menimpa skuad ragbi wanita Terengganu pada saingan di SUKMA baru-baru ini.
Dalam insiden selepas perlawanan separuh akhir yang menyaksikan Terengganu menang 22-5 ke atas Sarawak, pasukan Sang Penyu akhirnya terpaksa berputih mata apabila terpaksa memberi laluan kepada Sarawak ke perlawanan akhir.

"Kami di pihak MSNT pun terkilan dengan apa yang berlaku kepada atlet-atlet ragbi wanita Terengganu.
"Kami lihat di situ berlaku kesilapan atau kelalaian pada peringkat pengurusan pasukan, yang mana mereka mungkin tidak 'double check' ataupun tidak cakna berkaitan dengan syarat-syarat pertandingan.
"Sepatutnya perkara ini tidak berlaku memandangkan mereka yang berada di dalam pengurusan pasukan adalah orang-orang lama dalam sukan ragbi," katanya.
Shahrizal menambah, hak atlet yang bertanding ketika itu dinafikan oleh dengan kelalaian atau kecuaian daripada pihak pengurusan pasukan.
"Kami di MSNT akan buat 'post mortem' berkenaan perkara ini dan akan mengambil tindakan kepada mereka berkaitan," jelasnya.