KEMAMAN, 25 Ogos – Kerja-kerja pembersihan sisa arang batu yang terdampar di Pantai Peranginan Teluk Kalong, Kijal, akan dimulakan hari ini bagi memastikan kawasan pesisir pantai berkenaan kembali bersih dan selamat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerja pembersihan akan dilaksanakan oleh syarikat insurans yang dilantik dan dijangka mengambil masa kira-kira seminggu.
Menurut beliau, usaha berkenaan melibatkan kawasan sepanjang kira-kira 300 meter yang terjejas akibat sisa arang batu daripada tongkang terbabit.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan dan perbincangan bersama agensi berkaitan di Pantai Teluk Kalong, semalam.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerja pemotongan dan pelupusan tongkang akan dihentikan sementara bagi membolehkan kaedah serta prosedur operasi standard (SOP) yang lebih sesuai diselaraskan bersama pihak berkaitan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan proses pelupusan tongkang dapat dilaksanakan secara teratur selain mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.
Razali turut memaklumkan terdapat kaedah menggunakan bahan penstabil yang dicampurkan dengan arang batu bagi menyahaktifkan sisa tersebut, sekali gus mengurangkan risiko arang batu terbakar.
“Maklumat berkaitan kaedah ini akan dibincangkan bersama pihak Majlis Perbandaran Kemaman bagi melihat kesesuaian pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata, kerja pelupusan sisa arang batu akan dilaksanakan oleh pihak berkaitan dengan mengambil kira aspek kebersihan serta kelestarian kawasan pantai.
Dalam pada itu, Razali berkata tiada tindakan undang-undang diambil setakat ini kerana hasil pemeriksaan mendapati sisa arang batu berkenaan tidak menyebabkan kerosakan atau pencemaran terhadap ekosistem laut.