SETIU, 8 Julai -Kelangit Campground muncul sebagai destinasi rekreasi baharu yang menawarkan keunikan pengalaman berkhemah di tengah hutan dengan suasana alam semula jadi yang tenang, mudah diakses serta dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjung.
Tapak perkhemahan di Kampung Merbau Menyusut, Setiu yang mula dibangunkan pada Oktober tahun lepas itu dibuka secara rasmi pada Januari sebelum beroperasi sepenuhnya selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini.


"Kami mampu menampung sehingga 80 tapak khemah pada satu-satu masa, manakala bagi aktiviti lawatan harian atau day trip, kapasiti boleh mencecah 200 orang. Lokasi ini sesuai untuk keluarga, institusi pendidikan, pertubuhan dan program korporat kerana mempunyai kawasan yang luas serta kemudahan lengkap," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.
Selain berkhemah dan mandi sungai, pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti rekreasi seperti water tubing, berkayak, memancing, zipline percuma untuk kanak-kanak serta Kelangit Web, iaitu kawasan berjaring untuk bersantai sambil menikmati keindahan alam.


Beliau berkata pihak pengurusan juga merancang membangunkan beberapa unit tiny house sebagai pilihan penginapan tambahan serta menganjurkan Outdoor Fest selepas sambutan Hari Kebangsaan dengan kerjasama beberapa jenama peralatan luar seperti Decathlon dan Blackdog.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata pembangunan Kelangit Campground mampu memperkenalkan keindahan alam semula jadi di DUN Langkap kepada lebih ramai pelancong.
Beliau berkata projek berkenaan selari dengan usaha memperkukuh sektor pelancongan di Setiu dengan menarik peminat perkhemahan dan pencinta alam dari dalam serta luar negeri.
"Saya berharap kewujudan Kelangit Campground akan memberi limpahan manfaat kepada penduduk setempat melalui pertambahan peluang perniagaan, penyediaan perkhidmatan dan peningkatan pendapatan hasil perkembangan sektor pelancongan," katanya.
Orang ramai yang berminat untuk merasai pengalaman berkhemah di Kelangit Campground atau mendapatkan maklumat lanjut serta membuat tempahan boleh menghubungi talian 010-7917261. Mereka juga boleh mengikuti perkembangan terkini, promosi dan aktiviti yang dianjurkan menerusi akaun TikTok Kelangit.