Jalur Gemilang
Berita :
Ribut Pabuk Jejas Terumbu Karang Redang, TDM Gerak Usaha Pemulihan
Ribut Pabuk Jejas Terumbu Karang Redang, TDM Gerak Usaha Pemulihan
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
43

KUALA NERUS, 11 September – Keindahan terumbu karang di Pulau Redang pernah terjejas teruk akibat Tropical Storm Pabuk yang melanda kawasan berkenaan pada 2018 sehingga menyebabkan kerosakan fizikal terhadap terumbu cetek, termasuk banyak karang patah dan mati.

Kerosakan itu menjadi antara cabaran utama terhadap kelestarian ekosistem marin Pulau Redang yang menjadi tumpuan pelancong, khususnya bagi aktiviti snorkeling.

Sehubungan itu, usaha pemulihan terumbu karang terus digerakkan bagi mengembalikan semula kehidupan marin di kawasan yang terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, faktor cuaca memainkan peranan besar terhadap kerosakan terumbu karang di pulau berkenaan.

“Dalam konteks Pulau Redang, faktor cuaca memainkan peranan besar. Pada 2018 berlaku ribut Pabuk di kawasan hadapan Taman Laut Pulau Redang yang menyebabkan kerosakan infrastruktur serta banyak karang patah dan mati.

“Faktor terbesar kerosakan karang yang kita lihat ialah cuaca, sama ada ribut atau pemanasan global. Tetapi atas apa alasan sekalipun, apabila karang ini mati, maka kita perlu memulihkannya semula.

“Jadi, inisiatif yang diambil oleh TDM adalah satu langkah terpuji untuk kita sama-sama berkolaborasi dalam usaha mengekalkan kelestarian sumber marin, bukan sahaja untuk kita tetapi juga generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Konservasi Karang di Taman Laut Pulau Redang anjuran TDM Berhad dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, hari ini.

Menurut Dr Azman, kawasan Taman Laut Pulau Redang khususnya di bahagian hadapan menjadi antara lokasi tumpuan pelancong untuk aktiviti snorkeling, namun keadaan terumbu karang di kawasan berkenaan kini semakin terancam dan terganggu.

“Semalam kakitangan Jabatan Perikanan telah mengutip karang-karang yang patah dan menghimpunkannya. Sekarang kita hanya perlu menyelam dan mengikatnya pada rangka yang dibawa,” katanya.

Beliau berkata, meskipun usaha konservasi seperti itu mungkin dilihat kecil, kesannya terhadap pemulihan dan kelestarian sumber marin adalah besar.

Katanya, pendekatan sama dapat dilihat menerusi usaha kerajaan negeri melabuhkan tukun tiruan bagi memperkayakan sumber marin di perairan Terengganu.

“Di hadapan sana ada tukun yang kita labuhkan, dinamakan ‘Cheese Block’ kerana bentuknya seperti keju.

“Kita sudah melabuhkannya beberapa tahun lalu dan sekarang sudah ada beberapa jenis ikan di kawasan itu, termasuk kerapu besar dan belut laut bersaiz besar,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan