Berita :
Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar 2026 Labuh Tirai Hari Ini
Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar 2026 Labuh Tirai Hari Ini
Ahmad Zaeem Zainudin
1 hari yang lepas
300

SETIU, 5 April – Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar Terengganu 2026 secara rasmi melabuhkan tirai hari ini selepas berlangsung selama empat hari bermula 2 April lalu di Lembah Bidong.

Kejohanan yang membuka tirai kalendar sukan berkuda negeri itu menyaksikan penyertaan seramai 105 pelumba dari dalam dan luar negara termasuk Thailand, Singapura, Indonesia dan Jepun, sekali gus menyerlahkan statusnya sebagai acara berprestij bertaraf antarabangsa.

Penganjuran edisi kali ini turut dimeriahkan dengan tiga kategori peringkat cabaran serta pelbagai aktiviti sampingan, sekali gus memberi peluang kepada bakat baharu untuk mendekati sukan kuda lasak.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah.

Acara kemuncak yang bermula lewat petang semalam dan berakhir pada awal pagi itu tadi menampilkan saingan sengit dalam beberapa kategori utama termasuk CEI 1*, CEIYJ1* serta kategori berpasukan.

Bagi kategori CEI 1* individu, kejayaan milik Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Sa’Ari bersama kuda S C H Y Va El Tercero yang muncul juara dengan membawa pulang wang tunai RM3,500 berserta sijil dan pingat.

Tempat kedua dimenangi Faizal Ismail bersama Lm Cobra, diikuti Muhammad Izhar Hamzah (Kaet Tariq) di tempat ketiga. Sementara itu, Ahmad Mustaqim Hassaim dan Shahanudeen Jalil Kamarul Jaman masing-masing melengkapkan kedudukan lima terbaik.

Dalam kategori CEIYJ1* (100KM) Junior, Abdullah Faqih Muhamad muncul juara dengan catatan masa keseluruhan 1:59:57, diikuti rapat oleh Jelita Aziz di tempat kedua.

Dalam masa sama, saingan kategori CEI 1* (100KM) berpasukan pula menyaksikan pasukan STET muncul juara dengan jumlah masa keseluruhan 16:58:25.

Tempat kedua menjadi milik pasukan RTES-HKRC, manakala gabungan pasukan Thailand-Singapura menamatkan saingan di tempat ketiga.

Dalam kategori Best Condition CEN 80KM, Arisya Dania Mohd Azam bersama kuda Osaka dari TNT Arabian Stable dinobatkan sebagai pemenang.

Muhammad Asyraf Othman (Azaad) dari SPEET menduduki tempat kedua, manakala Muhammad Irwan Izani (HB Ballerina) dari ACR Arabian Stable di tempat ketiga.


Ketupat

Artikel Berkaitan