Artikel "Pendidikan" Terkini
RM2 Juta Bantu Anak Asnaf Terengganu Ceburi Industri Minyak dan Gas
KUALA NERUS, 18 Mei – Sebanyak RM2 juta dana zakat wakalah dimanfaatkan bagi membiayai latihan teknikal dan penempatan industri selama enam bulan kepada 47 anak asnaf Terengganu, sekali gus membuka peluang kerjaya dalam sektor minyak dan gas.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, program Oil and Gas Wakalah Technical and Vocational Education Training Programme (OGWTP) itu khusus untuk membantu golongan asnaf keluar daripada belenggu kemiskinan.
"Pelatih yang mengikuti program ini sebahagian besarnya adalah dari kalangan anak asnaf yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan menerima bantuan zakat,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup OGWTP Kumpulan 2/2024 di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, Pegawai Eksekutif Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM), Norhana Yaakub, dan Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli.
Beliau turut menjelaskan, peruntukan besar hasil sumbangan zakat kakitangan PETRONAS dan kerjasama strategik bersama kerajaan negeri menjadi pemangkin kepada kejayaan program tersebut.
"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak PETRONAS, khususnya INSTEP, dan juga kepada MAIDAM.
"Memang kita ada satu bajet zakat daripada MAIDAM, yang sebahagiannya zakat dari para pekerja PETRONAS, juga dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC)," jelasnya.
OGWTP Kumpulan 2/2024 yang berlangsung di INSTEP menyaksikan 47 peserta menerima sijil tamat latihan dalam satu majlis penuh penghargaan.
"Program ini kali kedua, program pertama selesai tahun lepas.
"Seramai 47 orang menerima sijil, berkolaborasi dengan 20 syarikat untuk menawarkan peluang kerja kepada pelatih," ujarnya.
Antara nilai tambah program ini ialah pensijilan industri seperti Sijil Kemahiran Pendawaian Kabel, Ujian Tanpa Musnah Tahap 2 (NDT), serta latihan Keselamatan Bekerja di Tempat Terkurung (AESP), Pengetahuan Bantuan Cemas, Latihan Keselamatan dan Kesihatan (OGSP), dan Induksi Asas Keselamatan Luar Pesisir dan Latihan Kecemasan (BOSIET), yang diperlukan oleh syarikat industri minyak dan gas.
Selain itu, tempoh penempatan industri turut dilanjutkan kepada enam bulan bagi memberikan pelatih pengalaman sebenar bekerja, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam sektor yang sangat kompetitif.
Program ini merupakan hasil kolaborasi INSTEP, YPM, Dana Asy-Syakirin, THRDC dan lebih 20 rakan industri, dan dijangka terus diperluas demi memberi manfaat lebih besar kepada anak-anak asnaf di seluruh Terengganu.
19 May 25
967
Kuala Terengganu Saji 'Hutan Bandar' di Bidong Flora Fest 2025
SETIU, 16 Mei - Pokok-pokok sayuran seperti kobis merah dan Lemon Balm yang dijadikan tanaman pertanian dalam bandar menjadi pilihan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu sebagai salah satu tarikan 'Hutan Bandar' untuk bersaing dalam Bidong Flora Fest (BFF) 2025.
Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal), Mohd Amirul Awang berkata, konsep pertanian bandar ditonjolkan menjadi salah satu dari tiga konsep flora di daerah Kuala Terengganu yang terkenal sebagai ibu negeri dan bandar raya di negeri berkenaan.
"Mengetengahkan konsep taman semula jadi bertemakan Hutan Bandar ini, kita tunjukkan spesies flora yang ada di Kuala Terengganu.
"Antaranya ialah kategori pokok-pokok hutan sebagaimana yang terdapat di Taman Botani Bukit Panorama, seterusnya pokok-pokok bunga yang menghiasi landskap di bandar raya ini," katanya ketika ditemui di BFF yang merupakan tarikan utama Karnival Terengganu International Endurance Park(TIEP) di Lembah Bidong, hari ini.
Karnival selama empat hari bermula semalam itu diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu.
Karnival tersebut turut menampilkan pelbagai aktiviti seperti pertunjukan kuda, kereta kuda berhias, pertunjukan payung terjun, perlumbaan motosikal lasak dan Fun Run.
Dalam pada itu, Pegawai daerah dan pentadbir tanah Kuala Terengganu, Azran Amin Mazlan yang hadir sama dalam program berkenaan betul-betul teruja dengan persiapan dilakukan pasukannya.
"Sejujurnya pejabat daerah belum didedahkan dengan program seperti ini, ini satu keunikan baru yang perlu ditonjolkan setiap daerah dan kita perlu fikir untuk ketengahkan.
"Bidong Flora Fest (BFF) merupakan satu anjakan baru dengan konsep yang perlu ditonjolkan.
"Ia mengubah paradigma kita bahawa dalam membangunkan sesuatu daerah kita tidak boleh tinggalkan lanskap kerana ia paru-paru bagi bandar," katanya.
Menurutnya, taman Kuala Terengganu turut mempamerkan sistem penuaian air hujan ringkas serta tanda nama setiap pokoknya, selain menampilkan kumpulan penghibur jalanan sebagai tarikan.
16 May 25
2165
Bangun Awal Pagi Resepi Cemerlang SPM
KUALA NERUS, 15 Mei – Sentiasa bangun awal pagi bagi menunaikan Solat Sunat Tahajud dan bermunajat kepada Allah menjadi rahsia Amirul Bukhari Aminuddin memperolehi Keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat 9A.
Katanya, itu yang menjadi amalannya selain banyak melakukan ulang kaji secara berkala seperti melakukan latihan berdasarkan semua soalan percubaan tahun-tahun lepada bagi setiap negeri dan juga menyertai kelas tambahan di sekolah.
“Saya juga mengikuti kelas tuisyen ‘brick and mortar’ bagi Bahasa Inggeris yang diajar oleh tutuor saya yang pernah mengajar di Terengganu FM melalui rancangan ‘Yes No Alright Thank You’ dan menyertai kelas atas talian bagi subjek Matematik Tambahan dan Prinsip Perakaunan,” ujarnya.
Mengulas lebih lanjut, Amirul berkata sebaik menerima Keputusan itu dia sangat terharu dan bersyukur dan sangat menghargai jasa ibu bapanya serta guru-guru yang sentiasa membimbing dan mendoakan kejayaanya selama ini.
“Saya merancang untuk menyambung pelajaran dalam bidang Sains Aktuari kerana saya ingin menjadi seorang aktuari sesuai dengan minat saya yang mendalam terhadap Matematik.
“Sekarang saya sedang memohon biasiswa dan mencari peluang terbaik untuk meneruskan pengajian,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia menitipkan pesan kepada pelajar yang masih belum berjaya agar tidak berputus asa.
“Kepada yang Berjaya jangan terlalu selesa teruskan usaha kerana ini baru permulaan dan untuk mereka yang belum mencapai Keputusan yang diharapkan, ingatlah bahawa ini bukan penamat.
“Kejayaan datang dalam pelbagai bentuk, yang penting bangkit semula, belajar daripada kesilapan dan teruskan berusaha, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,” ujarnya.
Dalam pada itu, ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat akan mengadakan satu majlis khusus bagi meraikan pelajar yang cemerlang dalam SPM dalam DUN Seberang Takir.
15 May 25
200
Yayasan Terengganu Agih Lebih RM5 Juta Hargai Pelajar Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 7 Mei - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) telah memperuntukkan lebih RM5 juta sebagai anugerah dan hadiah kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sejak tahun 1979 sehingga tahun 2023.
Nilai tersebut melibatkan seramai 17,439 pelajar cemerlang SPM, 1,532 pelajar STPM dan 693 pelajar STAM dengan jumlah keseluruhan sebanyak 19,664.
Bagi penyampaian Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu kali ke-44 yang berlangsung semalam, seramai 758 penerima diberikan anugerah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM416,800.
Anugerah tersebut disampaikan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melibatkan 527 penerima peringkat SPM dengan empat pelajar cemerlang dianugerahkan Pingat Emas yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM4,000 seorang.
Manakala, seramai 212 pelajar menerima anugerah bagi peringkat STPM dan 12 pelajar bagi peringkat STAM.
Bagi peringkat ijazah pula melibatkan tujuh orang mahasiswa.
07 May 25
764
Pelajar Imtiaz Raih Anugerah Emas di Universiti Vietnam
KUALA TERENGGANU, 5 Mei - Pelajar sekolah menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut berjaya meraih pingat emas kategori Anugerah Inovasi sempena Anugerah Kreativiti dan Inovasi Antarabangsa (ICIA) 2025 yang berlangsung di University of Economics Ho Chi Minh City, Vietnam, baru-baru ini.
Kemenangan tersebut diperoleh menerusi inovasi platform pembelajaran interaktif i-Tasheel Arabic Innovation (i-TAR), hasil usaha pelajar Muhammad Hafizin Fahmi Mohd Hamdan, Ahmad Wajdan Mohd Shafiee dan Nik Muhammad Aqil Syauqi Nik Abdul Halim.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berbangga atas kejayaan mereka yang secara tidak langsung membawa nama Terengganu ke peringkat antarabangsa.
"Pencapaian cemerlang yang membanggakan ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna terhadap keupayaan intelektual dan daya inovasi generasi muda Terengganu.
"Semoga menjadi inspirasi buat anak-anak pelajar yang lain serta kebanggaan seluruh warga Negeri Terengganu.
"Teruskan mengorak kejayaan dan pencapaian yang lebih gemilang pada masa akan datang. Syabas," ucapnya dalam satu hantaran yang telah dimuatnaik melalui laman sosial media rasminya, sebentar tadi.
Guru pembimbing pelajar-pelajar tersebut, Muhammad Badruzzaman Hassan berkata,
i-TAR merupakan projek perintis yang bertujuan untuk melahirkan pelajar yang menguasai bahasa al-Quran, iaitu bahasa Arab (Quranik).
"Melalui i-TAR, pelajar dapat memperoleh pengetahuan yang mendalam (Ensiklopedik) dalam mengenal pasti tanda-tanda i'rab dan seterusnya menganalisis (Ijtihadik) baris akhir perkataan dalam al-Quran.
"persembahan i-TAR yang menyusun kandungan utama daripada buku teks ke dalam bentuk jadual dan animasi membantu meningkatkan kefahaman serta minat pelajar dalam mempelajari tatabahasa Arab (nahu)," katanya kepada sebuah akhbar tempatan, dua hari yang lepas.
Tambah Badruzzaman, pasukan di bawah bimbingannya itu turut telah tersenarai dalam 'Top 10 Quality Education Challenge' anjuran Southeast Asian Ministers of Education Organization (SEAMEO).
05 May 25
3662
Generasi Pertama SMIDI Dungun Catat GPS 2.50 SPM 2024
DUNGUN, 25 April - 'Anak sulung' Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) iaitu Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) Dungun, mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.50 dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2024.
Daripada 49 pelajar, tiga daripadanya memperoleh 10A, empat pelajar 9A, enam (8A), lima memperoleh 7A dan lapan orang meraih 6A.
Lebih menarik lagi, SMIDI itu turut meraih kedudukan pertama di daerah Dungun dalam subjek Prinsip Perakaunan dengan 0.33 pointer.
Timbalan Pengarah Akademik JPINT yang juga merupakan mantan pengetua SMIDI, Rosdi Mat Rani berkata, pencapaian diraih oleh kelompok pertama SPM itu merupakan penanda aras yang baik yang ditetapkan di sekolah berkenaan.
"Alhamdulillah, saya sasarkan GPD 3.0 pada asalnya dan penilaian yang telah dibuat menyasarkan GPS 1.8.
"Mungkin ada kekurangan sana sini yang akan disemak semula, tetapi dengan GPS 2.5 ini untuk pertama kali, Alhamdulillah ia akan menjadi penanda aras bagi kelompok pelajar seterusnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Slip Peperiksaan SPM kepada pelajar terlibat di SMIDI Dungun, semalam.
Dalam pada itu, Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Hanafiah Mat yang turut hadir dalam majlis berkenaan, amat berpuas hati dengan keputusan tersebut.
"Hari ini, cerita-cerita kejayaan sangat banyak. Saya ucapkan syabas kepada semua yang terlibat iaitu guru-guru dan PIBG yang menjadikan sekolah ini terbaik.
"Inilah yang sangat menggembirakan saya, saya sangat berpuas hati dengan 'benchmark' yang dihasilkan dan berharap pada tahun hadapan akan lebih baik lagi.
"Peranan ibu bapa sangat baik, mereka setiap malam membaca Yassin sewaktu musim peperiksaan dan apabila kita minta bantuan, mereka sangat 'sporting'," katanya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai menyifatkan, kerjasama yang dibina antara PIBG dan guru-guru merupakan kunci dalam memastikan harapan kerajaan Terengganu untuk melihat sebuah sekolah agama kendalian kerajaan negeri mencapai kejayaan memberangsangkan walaupun masih diperingkat awal.
25 Apr 25
1971
Tiada Lagi Majlis Keraian Khas Untuk Pelajar Cemerlang SPM 2024
KUALA TERENGGANU, 24 April – Buat pertama kali dalam sejarah, tiada majlis keraian khas dianjurkan untuk meraikan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mahu semua calon diraikan secara menyeluruh tanpa mengangkat hanya segelintir individu.
Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Rosli Chik menjelaskan, pendekatan ini diambil bagi mengelakkan diskriminasi terhadap calon yang tidak memperoleh keputusan cemerlang namun menunjukkan peningkatan ketara atau pencapaian peribadi yang membanggakan.
“Pihak sekolah perlu meraikan kesemua calon, jadi kita tidak ‘highlight’ kan pelajar cemerlang.
“Sekolah terbaik pun kita tidak isytihar di majlis ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Menurut beliau, budaya memfokuskan kepada kelompok pelajar elit semata-mata tidak lagi relevan dengan landskap pendidikan masa kini yang lebih mementingkan nilai usaha, semangat juang dan peningkatan berterusan setiap individu.
“Mungkin pelajar itu tidak cemerlang dalam bidang akademik, mungkin masa peperiksaan percubaan dia banyak gagal, tiba peperiksaan sebenar berlaku banyak lonjakan,” jelasnya, memberi contoh pelajar yang sering terpinggir daripada radar kecemerlangan konvensional.
Beliau turut menjelaskan, KPM tidak melarang sekolah mengadakan majlis penghargaan, namun ia mestilah merangkumi semua calon tanpa pengecualian, sebagai lambang pengiktirafan kepada pelbagai bentuk kejayaan.
“Boleh sebenarnya, tapi sekolah mesti buat merangkumi kesemua kategori calon,” tegasnya.
24 Apr 25
10462
SPM 2024: 11 Calon Raih Gred A+ Semua Subjek
KUALA TERENGGANU, 24 April – Seramai 11 calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Terengganu berjaya meraih keputusan tertinggi, Gred A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil, peningkatan cemerlang berbanding hanya 8 orang pada tahun sebelumnya.
Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Rosli Chik berkata pencapaian ini menggambarkan keupayaan luar biasa calon tahun ini.
“Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang tertinggi (Gred A+) dalam semua mata pelajaran meningkat dari 8 calon pada tahun 2023 kepada 11 calon pada tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Beliau turut menyatakan prestasi calon secara keseluruhan turut menunjukkan peningkatan.
“Nilai Gred Purata Negeri (GPN) pada tahun 2024 adalah 4.31 mata berbanding 4.41 mata pada tahun 2023,” katanya, merujuk kepada pengurangan sebanyak 0.10 mata yang menunjukkan pencapaian lebih baik.
Menurut beliau, pencapaian Terengganu juga melepasi purata nasional.
“Gred Purata Negeri juga mengatasi Gred Purata Nasional dengan nilai 4.31 berbanding 4.49,” ujar beliau.
Tambah Rosli, jumlah calon cemerlang yang meraih A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran juga bertambah.
“Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang meningkat dari 464 calon kepada 532 calon.
“Peningkatan sebanyak 68 calon,” jelas Rosli
Tambah beliau lagi, pencapaian calon di kawasan bandar dan luar bandar masing-masing menunjukkan peningkatan, namun jurang antara kedua-duanya turut melebar.
“Pencapaian calon di bandar meningkat sebanyak 0.10 mata manakala luar bandar meningkat sebanyak 0.08 mata.
“Jurang pencapaian melebar kepada 0.70 mata,” katanya.
Rosli turut menyatakan sebahagian besar calon berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred lulus dalam semua mata pelajaran.
“Seramai 11,087 calon (66.41%) memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran
“Peningkatan berbanding 64.03 peratus tahun lalu," ujarnya.
24 Apr 25
1078
Pensijilan SPM Bertaraf Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 24 April – Pensijilan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini setanding dengan sistem pendidikan antarabangsa apabila ia turut mendapat pengiktirafan dan kerjasama daripada institusi penilaian terkemuka luar negara seperti Cambridge dan IAB United Kingdom.
Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Rosli Chik berkata, langkah ini bertujuan memastikan mutu dan standard SPM berada pada tahap global.
“Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa bagi tujuan penandaarasan dan penjaminan kualiti di peringkat antarabangsa, pakar pentaksiran dari luar negara terlibat sama untuk memberikan khidmat kepakaran dalam pembinaan item dan penetapan standard pensijilan SPM Tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Menurut beliau, kerjasama melibatkan dua institusi profesional dari United Kingdom.
“Pakar-pakar pentaksiran luar negara yang terlibat dalam peperiksaan SPM Tahun 2024 adalah dari Cambridge University Press and Assessment, United Kingdom dan Institute of Accountant and Bookkeepers (IAB), United Kingdom,” tambah beliau.
Rosli turut memaklumkan bahawa calon mata pelajaran Prinsip Perakaunan turut menerima manfaat tambahan berbentuk pensijilan profesional.
“Calon yang menduduki mata pelajaran Prinsip Perakaunan peperiksaan SPM Tahun 2024 juga berpeluang memperoleh sijil IAB LCCI Level 2 Certificate In Book-keeping and Accounts daripada London Chamber of Commerce and Industry,” katanya.
Beliau menambah, pencapaian tersebut turut membuka laluan kepada pengiktirafan dalam bidang profesional antarabangsa.
“Calon-calon juga layak mendapat pengecualian ACCA-FIA-FA1 oleh The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) sekiranya memenuhi syarat yang telah ditetapkan,” jelasnya.
Di samping itu, pelajar tahfiz turut diberi perhatian dengan peluang memperoleh sijil khas sekiranya memenuhi kriteria hafazan.
“Lembaga Peperiksaan juga bekerjasama dengan Darul Quran, JAKIM bagi penganugerahan Sijil Tahfiz KPM kepada calon yang khatam hafazan 30 juzuk al-Quran,” katanya.
24 Apr 25
166
Keputusan SPM 2024 Kini Boleh Disemak
KUALA TERENGGANU, 24 April – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 kini boleh menyemak keputusan peperiksaan masing-masing bermula pukul 10.00 pagi hari ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Rosli Chik berkata, calon sekolah boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing manakala calon persendirian boleh berbuat demikian di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Sukacita dimaklumkan bahawa calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan SPM Tahun 2024 mulai pukul 10.00 pagi hari ini di sekolah masing-masing.
“Bagi calon persendirian pula, mereka boleh menyemak dan mendapatkan keputusan peperiksaan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Menurut Rosli, calon juga diberi pilihan untuk menyemak keputusan secara dalam talian melalui pautan rasmi myresultspm.moe.gov.my atau menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS).
“Calon juga boleh menyemak keputusan secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my.
“Semakan melalui sistem SMS juga boleh dibuat untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2024,” jelas beliau.
Tambah beliau, kemudahan semakan keputusan SPM 2024 disediakan sehingga 30 April 2025 bagi memastikan semua calon mempunyai tempoh yang mencukupi untuk mendapatkan maklumat keputusan mereka.
“Calon boleh menyemak keputusan sehingga 30 April 2025, jam 6.00 petang.
“Bagi calon yang tidak mempunyai capaian internet, mereka boleh mendapatkan keputusan secara fizikal di sekolah atau hadir ke JPN,” jelasnya.
24 Apr 25
154