lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

Kerjasama YT-UniSZA Bawa Pelajar Cemerlang Terengganu Ke Al-Azhar
Kerjasama YT-UniSZA Bawa Pelajar Cemerlang Terengganu Ke Al-Azhar
KUALA NERUS, 7 Ogos – Enam pelajar cemerlang Terengganu terpilih sebagai kumpulan pertama mengikuti program persediaan perubatan di Pusat Asasi Ulul Albab Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebelum menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato’ Satiful Bahri Mamat memaklumkan, program kerjasama Yayasan Terengganu dan UniSZA itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa modal insan melalui akses pendidikan berkualiti. "Setinggi-tinggi tahniah serta syabas saya ucapkan kepada batch pertama iaitu seramai enam orang pelajar cemerlang kerana telah terpilih untuk menerima tajaan biasiswa Yayasan Terengganu (bagi program tersebut). "Memorandum Persefahaman yang dimeterai pada hari ini membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik antara Yayasan Terengganu dan UniSZA dalam peluang pengajian serta pembangunan pendidikan," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Terengganu (YT) dan UniSZA yang berlangsung di kampus Gong Badak, baru-baru ini. Tambahnya, pelajar-pelajar berkenaan akan menjalani program asasi selama setahun di Pusat Asasi Ulul Albab UniSZA. Menurut Satiful lagi, pemilihan UniSZA sebagai rakan strategik berikutan Pusat Asasi Ulul Albab merupakan pusat pertama seumpamanya di Malaysia yang menggabungkan hafazan Al-Quran, penguasaan bahasa Arab dan pengajian Sains Tulen (Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik). "MoU ini menandakan bermulanya kerjasama strategik antara dua institusi tersebut dalam membuka laluan pengajian lebih sistematik bagi pelajar-pelajar cemerlang negeri Terengganu, khususnya dalam bidang perubatan. "Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga membuka peluang pengajian perubatan dan pergigian di negara-negara lain termasuk Afrika Selatan dan China," ujarnya. Justeru, beliau berharap agar kerjasama sebegini dapat diperluaskan ke bidang-bidang lain demi manfaat lebih ramai pelajar Terengganu. Dalam perkembangan lain, enam orang pelajar dari Sekolah Menengah IMTIAZ Marang aliran Tahfiz Mandarin dikhabarkan akan melanjutkan pengajian ke Beijing Foreign Studies University pada akhir Ogos ini. Satiful menyatakan bahawa beberapa universiti di China yang memiliki kepakaran dalam bidang Kejuruteraan, Sains serta Perniagaan juga telah disenarai pendek bagi tujuan jalinan kerjasama berkenaan.  
06 Aug 25
910
UC TATI Sasar Kerjasama Strategik Dengan FOZ One Tingkat Kemahiran Pelajar
UC TATI Sasar Kerjasama Strategik Dengan FOZ One Tingkat Kemahiran Pelajar
SENAI, 5 Ogos – Peluang menjalani latihan industri di syarikat berteknologi tinggi, FOZ One, diyakini mampu memperkukuh kemahiran dan meningkatkan daya saing graduan Universiti Kolej TATI (UC TATI), khususnya dalam bidang reka bentuk dan pembuatan acuan (tool and die). Rektor UC TATI, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, lawatan ke syarikat tersebut baru-baru ini memberikan gambaran jelas bahawa FOZ One memiliki fasiliti serta teknologi moden yang amat sejajar dengan program teknikal yang ditawarkan di institusi berkenaan. Menurut beliau, perbincangan telah diadakan bagi membuka peluang kepada pelajar UC TATI untuk menjalani latihan industri di FOZ One, dengan harapan ia juga dapat membuka laluan kepada penempatan pekerjaan selepas tamat pengajian. “Saya melihat ini sebagai peluang yang sangat baik kerana pelajar UC TATI telah dibekalkan dengan kemahiran dalam bidang tool and die design serta tool and die making. “Selain latihan industri, saya turut berbincang mengenai peluang untuk pelajar menjalankan projek penyelidikan di syarikat ini, sama ada di peringkat projek tahun akhir atau pascasiswazah,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika menyertai lawatan kerja delegasi kerajaan negeri ke FOZ One, baru-baru ini. Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu itu diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dato’ Ariffin Deraman. Dalam pada itu, Dr. Hairul Azhar turut menyeru anak-anak Terengganu untuk melanjutkan pengajian di UC TATI yang menawarkan program berteraskan kemahiran tinggi serta relevan dengan keperluan industri masa kini.    
05 Aug 25
104
Jemaah Paka 'Banjiri' Kuliah Dhuha Ustaz Abdul Somad
Jemaah Paka 'Banjiri' Kuliah Dhuha Ustaz Abdul Somad
DUNGUN, 2 Julai - Ratusan jemaah membanjiri Masjid Taman Hadhari, Paka sempena Kuliah Dhuha istimewa bersama pendakwah tersohor Nusantara, Ustaz Abdul Somad (UAS), yang singgah ke bumi Terengganu dalam rangka siri jelajah dakwahnya baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat melahirkan rasa syukur dan kagumnya atas sambutan luar biasa dari masyarakat setempat terhadap kuliah tersebut. "Alhamdulillah pagi ini Paka dibanjiri dengan limpahan jemaah. "Kehadiran Ustaz Abdul Somad bukan sahaja menggamit ramai orang, bahkan membuka hati-hati kita untuk kembali menghayati erti kehidupan beragama dengan lebih mendalam,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menghadiri Kuliah Dhuha Khas Ustaz Abdul Somad di Masjid Taman Hadhari Paka. Menurutnya lagi, majlis ilmu sebegini bukan sekadar medan untuk mendengar ceramah, tetapi adalah suntikan semangat bagi umat Islam agar terus memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah. “Cahaya ilmu itu penyembuh hati umat. Dalam dunia yang penuh cabaran ini, tazkirah seperti ini amat diperlukan agar kita tidak hanyut dalam arus duniawi. “Terima kasih kepada Ustaz Abdul Somad kerana sudi singgah dan menyirami bumi Paka dengan cahaya ilmu. Moga Allah panjangkan usia dan keberkatan untuk beliau agar terus menyebar dakwah dan cahaya Islam ke serata pelusuk dunia,” katanya lagi. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak masjid, jawatankuasa penganjur serta semua yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, termasuk para petugas Jabatan Amal Paka dan Keselamatan yang memastikan kelancaran majlis.  
02 Jul 25
111
163 Pelajar Cemerlang SPM, STAM 2024 Terima Pengiktirafan
163 Pelajar Cemerlang SPM, STAM 2024 Terima Pengiktirafan
KUALA NERUS, 25 Jun - Seramai 163 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Peringkat DUN Tepoh 2024 yang diadakan di Dewan Utama, Ar-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu semalam.  Majlis anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh ini bertujuan meraikan dan memberi penghargaan atas kejayaan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan STAM.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim menyempurnakan majlis dengan menyampaikan sijil penghargaan, wang tunai, plak dan hadiah iringan kepada semua pelajar yang diraikan. Beliau turut merakamkan penghargaan atas usaha gigih para pelajar, sokongan ibu bapa serta dedikasi para pendidik dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak mulia. “Kejayaan ini bukan noktah terakhir, tetapi permulaan kepada perjalanan yang lebih mencabar. Insya-Allah, mereka akan melangkah ke peringkat lebih tinggi, sama ada dalam bidang akademik, teknikal mahupun pengajian agama. “DUN Tepoh akan terus menyokong usaha untuk melahirkan modal insan berkualiti yang menjadi aset penting negeri dan negara,” ujarnya ketika berucap dalam majlis tersebut. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Faridah Yahya yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus serta Penghulu Mukim Wakaf Tembesu, Muhammad Naim Jasmi. Salah seorang pelajar cemerlang, Mohd Hafizuddin Mohd Madhan dari Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas penghargaan yang diberikan oleh pihak DUN Tepoh. Pelajar yang memperoleh 10 Mumtaz dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 itu berkata, inisiatif seumpama ini menjadi pembakar semangat buat dirinya dan rakan-rakan untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang ilmu. “Saya amat berterima kasih kepada semua pihak terutamanya YB ADUN, guru-guru dan ibu bapa atas sokongan berterusan. Ini bukan sahaja satu pengiktirafan, tetapi satu motivasi untuk saya terus berjaya,” ujarnya.  
26 Jun 25
71
Peluang Emas Untuk Mahasiswa Terengganu - Akses Percuma Ke Forum Antarabangsa
Peluang Emas Untuk Mahasiswa Terengganu - Akses Percuma Ke Forum Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 16 Jun - Pelajar dari universiti tempatan di Terengganu bakal menikmati peluang eksklusif menyertai Young Leaders Program sempena East Coast Energy (ECE) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 23 dan 24 Jun ini di Taman Tamadun Islam (TTI), tanpa sebarang bayaran penyertaan. Menurut Ahli Jawatankuasa Pemandu ECE 2025, Mohd Zamri Abdul Ghani, langkah menaja penyertaan pelajar ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada golongan muda terhadap topik-topik semasa berkaitan tenaga boleh baharu, industri masa hadapan serta cabaran kerjaya profesional. "Akademik adalah satu hal, kerjaya pula satu hal yang lain. Kita mahu bantu pelajar bersedia menempuh dunia luar. Mereka akan diberi ‘coaching’ tentang penulisan CV dan pendedahan peluang pekerjaan yang sepadan dengan bidang mereka. "Jadi, ini adalah satu peluang yang baik untuk pelajar-pelajar yang berada di universiti di Terengganu. "Setakat hari ini, kita sudah berjaya mendapatkan pengesahan penyertaan 50 orang pelajar-pelajar daripada universiti-universiti sekitar Terengganu seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu," katanya. Ahli Jawatankuasa Pemandu ECE 2025, Mohd Zamri Abdul Ghani Pelajar yang terlibat juga bakal digabungkan dalam kumpulan tertentu bersama penceramah, moderator dan wakil industri sepanjang dua hari persidangan, menjadikan program ini platform rangkaian profesional yang berharga. Program anjuran bersama kerajaan negeri dan Terengganu Petroleum Council (TPC) itu sekali gus menzahirkan komitmen penganjur untuk mendidik dan mencungkil potensi kepimpinan dalam kalangan belia negeri, seiring matlamat jangka panjang pembangunan tenaga mampan dan pembangunan sumber manusia tempatan. Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili juga memaklumkan penglibatan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) bagi mempromosikan kebudayaan yang boleh didapati di negeri tersebut. "Sempena dengan ECE 2025 ini, Tourism Terengganu (JPNT) juga akan menganjurkan program yang dinamakan 'Beautiful Terengganu' yang akan dijalankan di dua tempat, iaitu di Pasar Payang dan juga di Taman Tamadun Islam sendiri akan ada program persembahan kebudayaan yang akan dilaksanakan oleh Tourism Terengganu. "Bagi orang luar daripada Terengganu (peserta ECE 2025), yang datang ke negeri Terengganu boleh datang melihat sendiri budaya masyarakat negeri Terengganu melalui persembahan kebudayaan yang akan diadakan ketika majlis pembukaan, majlis penutupan dan juga semasa selingan antara program. "Antaranya ialah seperti persembahan gamelan, persembahan tarian, kebudayaan dan lain-lain yang dianjurkan bagi memberi nilai tambah kepada persidangan ECE 2025," jelasnya. Persidangan julung kali diadakan itu telah berjaya meraih melebihi 700 penyertaan delegasi dari dalam serta luar negara dan akan berlangsung secara keluruhannya selama tiga hari iaitu pada 22 Jun, hari pra-persidangan dan hari persidangan penuh yang akan dijalankan pada 23 sehingga 24 Jun 2025. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili  
16 Jun 25
643
47 Pelajar 'Straight' A SPM DUN Sura Dirai
47 Pelajar 'Straight' A SPM DUN Sura Dirai
DUNGUN, 11 Jun - Seramai 47 pelajar cemerlang dari DUN Sura yang memperoleh semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 telah diraikan dalam satu majlis penghargaan khas yang berlangsung di Rumbia Villa Resorts, hari ini. Majlis yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura itu diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada para pelajar yang menunjukkan prestasi luar biasa, selain menghargai usaha, pengorbanan dan sokongan daripada ibu bapa serta para pendidik di sebalik kejayaan tersebut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, kejayaan pelajar yang mendapat semua A ini adalah bukti bahawa usaha yang bersungguh-sungguh tidak akan sia-sia. “Kita raikan mereka bukan hanya kerana huruf A di atas kertas, tetapi kerana di sebalik A itu ada air mata, ada keletihan, kurang tidur, dan ada doa ibu bapa serta sokongan masyarakat sekeliling,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut. Menurut beliau, program ini bukan sahaja untuk meraikan kecemerlangan, malah menjadi satu dorongan kepada generasi muda DUN Sura agar terus berusaha dan menanam cita-cita tinggi dalam pendidikan. “Kita mahu semua anak DUN Sura rasa dihargai, tidak kira latar belakang mereka. Hari ini kita sambut yang dapat semua A, insya-Allah 25 Jun nanti kita akan raikan pula pelajar yang memperoleh keputusan 6A ke atas,” tambah beliau. Beliau turut berpesan agar pelajar yang berjaya terus melangkah dengan hati yang rendah, kerana kejayaan bukan tiket untuk bermegah, tetapi amanah untuk dimanfaatkan kepada masyarakat dan agama. Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata kepada semua pelajar yang diraikan, serta kehadiran ibu bapa sebagai tanda sokongan.    
12 Jun 25
84
Kebajikan, Pendidikan Agenda Utama Kerajaan
Kebajikan, Pendidikan Agenda Utama Kerajaan
KEMAMAN, 1 Jun – Kebajikan rakyat dan pendidikan generasi muda menjadi dua agenda paling utama dalam dasar pentadbiran negeri. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dasar yang memberi kesan terus kepada rakyat sentiasa menyentuh jiwanya, terutamanya dalam perkara yang mampu meringankan beban hidup rakyat. "Daripada keseluruhan dasar yang kita rancang, antara perkara terpenting ialah melibatkan inisiatif kebajikan kepada rakyat. "Untuk meringankan bebanan kepada rakyat, itu ada nilai sentimental kepada saya," katanya dalam Majlis Bicara Santai Pimpinan semasa program Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) di Padang Astaka, Cukai, di sini, baru-baru ini. Menurut beliau, selain kebajikan, inisiatif Pendidikan menjadi perkara kedua untuk membina kehidupan berdikari dan bukan sekadar pemberian sementara. "Saya lihat, manusia ini kalau kita beri ikan, maka dia bolehlah makan ikan tersebut. "Tapi kalau kita beri joran kepada dia, maka dia boleh berdikari, kita ajar pula cara nak guna joran itu, akhirnya dia mampu untuk cari ikan sendiri," jelasnya. Ahmad Samsuri yakin, pendidikan ialah pelaburan jangka panjang yang akan mencorakkan masa depan rakyat dan negeri. "Inilah konsep pendidikan kepada rakyat, saya percaya kalau buat begitu, kita menyediakan kehidupan mereka di masa akan datang. "Mungkin 10 hingga 20 tahun akan datang, anak muda inilah yang akan meneruskan agenda kita di masa kita sudah tiada," ujarnya.
01 Jun 25
163
ADUN Bukit Besi Taja SSPN-i Buat Pelajar Cemerlang SPM
ADUN Bukit Besi Taja SSPN-i Buat Pelajar Cemerlang SPM
DUNGUN, 1 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menyediakan inisiatif istimewa berupa pembukaan akaun SSPN-i (Skim Simpanan Pendidikan Nasional) sebanyak RM200, buat pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di DUN berkenaan baru-baru ini. Dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Apreasiasi SPM 2024 bagi DUN Bukit Besi yang berlangsung pada Rabu, seramai 20 pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 7A dan ke atas menerima tajaan tersebut. Selain tajaan itu, sumbangan wang tunai serta cenderahati turut disampaikan kepada setiap pelajar yang hadir. "Sumbangan ini merupakan salah satu usaha meringankan beban kewangan pelajar dan ibu bapa dalam persediaan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. "Saya berpendapat bahawa seharusnya diwujudkan satu tabung pendidikan yang dimulakan sejak usia kecil lagi. Ia sedikit sebanyak dapat membantu pelajar dan keluarga mereka dalam perancangan pendidikan jangka panjang," katanya. Beliau berkata demikian sewaktu berucap semasa majlis berlangsung. Beliau turut menyatakan harapan besar agar para pelajar terus berusaha mencapai kejayaan ke menara gading dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan DUN Bukit Besi khususnya, yang terletak di kawasan pedalaman Hulu Dungun sebuah lokasi yang dikenali dengan potensi pelancongan dan sumber mineralnya. Tambahnya, pihaknya akan cuba untuk terus mengadakan program penghargaan kepada pelajar apabila mereka menamatkan pengajian di universiti kelak. Majlis juga berkesempatan memberikan penghargaan kepada para guru dan ibu bapa yang menjadi tonggak kejayaan pelajar-pelajar berkenaan melalui sokongan dan dorongan berterusan.
29 May 25
107
42 Pelajar Cemerlang SPM Diraikan
42 Pelajar Cemerlang SPM Diraikan
HULU BESUT, 27 Mei – Seramai 42 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diraikan dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Hulu Besut yang berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna. Majlis yang diadakan bagi menghargai pencapaian pelajar yang memperoleh keputusan 7A hingga 12A ini turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan dan wang saguhati sebagai tanda pengiktirafan atas kecemerlangan mereka. Ahli Dewam Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar cemerlang yang selama ini telah berusaha gigih, menunjukkan ketekunan serta semangat juang yang tinggi sehingga mencapai kejayaan yang membanggakan. "Saya amat berbangga dengan pencapaian adik-adik kita ini, kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara pelajar, ibu bapa, guru dan seluruh warga sekolah yang tidak pernah berputus asa memberikan sokongan,"katanya ketika berucap di majlis tersebut yang diadakan di Dewan Warung Ramai, Alor Keladi, di sini. Dalam pada itu,penghargaan khas turut diberikan kepada pelajar istimewa, Surya Aidil Zawawi dari kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Putra, yang mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya memperoleh 4A dalam peperiksaan tersebut. "Pencapaian adik Surya Aidil adalah luar biasa dan wajar dijadikan inspirasi kepada kita semua,"ujar beliau. Dalam pada itu, Husaimi turut menyeru para pelajar agar terus berusaha dan berdoa untuk mencapai kejayaan lebih besar di masa hadapan, sambil menekankan pentingnya menjadi insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berakhlak mulia serta memberi manfaat kepada masyarakat.    
27 May 25
2437
Dari Rumah Asnaf ke Sektor Minyak dan Gas
Dari Rumah Asnaf ke Sektor Minyak dan Gas
KUALA NERUS, 20 Mei – Tatkala sebahagian anak muda masih tercari-cari arah hidup, seramai 47 anak asnaf berjaya menamatkan latihan teknikal dan industri dalam Program Oil and Gas Wakalah TVET (OGWTP) di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), sekali gus membuka jalan keluar dari belenggu kemiskinan menuju masa depan yang lebih terjamin. Program selama enam bulan itu bukan sahaja membekalkan mereka dengan kemahiran dalam bidang mekanikal serta elektrikal dan instrumentasi, malah menyediakan pensijilan industri bernilai tinggi yang laku keras dalam sektor minyak dan gas, satu peluang yang sebelum ini hanya menjadi angan-angan bagi mereka yang datang dari rumah-rumah serba sederhana. Mohammad Nasrul Nafie Mohd Nasran, salah seorang graduan program, meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang menyertai program latihan yang disifatkannya sebagai luar biasa.  "Sepanjang enam bulan ini, kami menempuh pengalaman yang tak pernah kami bayangkan, dan amat bermakna," katanya penuh terharu. Bagi Iman Hakim Mohd Firuz, 24, dari Kampung Pelandan, Kuala Berang, keputusan menyertai OGWTP adalah satu anjakan besar dalam hidupnya.  "Saya mula berminat dalam bidang ini semasa kerja dulu. "Bila tahu sijil INSTEP sangat bernilai, saya terus mohon," katanya, sambil berkongsi bahawa minatnya disemai oleh pengalaman kerja serta sokongan ayahnya. Kisah Amer Mustaqim Kamaruddin, 22, dari Kampung Raja, Besut, pula mencerminkan kecekalan seorang anak buruh yang menjadikan minat terhadap kerja tangan sebagai motivasi untuk keluar dari kepompong kemiskinan.  "Saya minat baiki motor sejak sekolah.  "OGWTP ini bagi saya peluang belajar betul-betul," ujarnya. Program OGWTP adalah hasil kolaborasi INSTEP bersama Yayasan Pendidikan MAIDAM, Dana Asy-Syakirin, THRDC dan lebih 20 rakan industri, dibiayai sepenuhnya melalui dana zakat wakalah berjumlah RM2 juta.  
20 May 25
369