lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

Pensijilan SPM Bertaraf Antarabangsa
Pensijilan SPM Bertaraf Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 24 April – Pensijilan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini setanding dengan sistem pendidikan antarabangsa apabila ia turut mendapat pengiktirafan dan kerjasama daripada institusi penilaian terkemuka luar negara seperti Cambridge dan IAB United Kingdom. Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Rosli Chik berkata, langkah ini bertujuan memastikan mutu dan standard SPM berada pada tahap global.  “Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa bagi tujuan penandaarasan dan penjaminan kualiti di peringkat antarabangsa, pakar pentaksiran dari luar negara terlibat sama untuk memberikan khidmat kepakaran dalam pembinaan item dan penetapan standard pensijilan SPM Tahun 2024,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini. Menurut beliau, kerjasama melibatkan dua institusi profesional dari United Kingdom.  “Pakar-pakar pentaksiran luar negara yang terlibat dalam peperiksaan SPM Tahun 2024 adalah dari Cambridge University Press and Assessment, United Kingdom dan Institute of Accountant and Bookkeepers (IAB), United Kingdom,” tambah beliau. Rosli turut memaklumkan bahawa calon mata pelajaran Prinsip Perakaunan turut menerima manfaat tambahan berbentuk pensijilan profesional.  “Calon yang menduduki mata pelajaran Prinsip Perakaunan peperiksaan SPM Tahun 2024 juga berpeluang memperoleh sijil IAB LCCI Level 2 Certificate In Book-keeping and Accounts daripada London Chamber of Commerce and Industry,” katanya. Beliau menambah, pencapaian tersebut turut membuka laluan kepada pengiktirafan dalam bidang profesional antarabangsa.  “Calon-calon juga layak mendapat pengecualian ACCA-FIA-FA1 oleh The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) sekiranya memenuhi syarat yang telah ditetapkan,” jelasnya. Di samping itu, pelajar tahfiz turut diberi perhatian dengan peluang memperoleh sijil khas sekiranya memenuhi kriteria hafazan.  “Lembaga Peperiksaan juga bekerjasama dengan Darul Quran, JAKIM bagi penganugerahan Sijil Tahfiz KPM kepada calon yang khatam hafazan 30 juzuk al-Quran,” katanya.
24 Apr 25
173
Keputusan SPM 2024 Kini Boleh Disemak
Keputusan SPM 2024 Kini Boleh Disemak
KUALA TERENGGANU, 24 April – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 kini boleh menyemak keputusan peperiksaan masing-masing bermula pukul 10.00 pagi hari ini. Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Rosli Chik berkata, calon sekolah boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing manakala calon persendirian boleh berbuat demikian di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). “Sukacita dimaklumkan bahawa calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan SPM Tahun 2024 mulai pukul 10.00 pagi hari ini di sekolah masing-masing. “Bagi calon persendirian pula, mereka boleh menyemak dan mendapatkan keputusan peperiksaan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” kata beliau. Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini. Menurut Rosli, calon juga diberi pilihan untuk menyemak keputusan secara dalam talian melalui pautan rasmi myresultspm.moe.gov.my atau menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS). “Calon juga boleh menyemak keputusan secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my. “Semakan melalui sistem SMS juga boleh dibuat untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2024,” jelas beliau. Tambah beliau, kemudahan semakan keputusan SPM 2024 disediakan sehingga 30 April 2025 bagi memastikan semua calon mempunyai tempoh yang mencukupi untuk mendapatkan maklumat keputusan mereka. “Calon boleh menyemak keputusan sehingga 30 April 2025, jam 6.00 petang. “Bagi calon yang tidak mempunyai capaian internet, mereka boleh mendapatkan keputusan secara fizikal di sekolah atau hadir ke JPN,” jelasnya.
24 Apr 25
161
UCTATI, KYT dan KQT: Terengganu Sedia Laluan Pendidikan Lanjutan
UCTATI, KYT dan KQT: Terengganu Sedia Laluan Pendidikan Lanjutan
KUALA NERUS, 24 April – Kerajaan negeri terus memperluas akses pendidikan tinggi kepada anak-anak negeri dengan membuka peluang melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri seperti Universiti Kolej TATI (UCTATI), Kolej Yayasan Terengganu (KYT), Kolej Yayasan Islam Terengganu (KYIT) dan Kolej al-Quran Terengganu (KQT). Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, institusi-institusi ini diwujudkan bagi memastikan pelajar mempunyai pilihan lanjutan pendidikan yang berkualiti tanpa perlu keluar dari negeri sendiri. "Kita buka ruang seluas-luasnya untuk pelajar menyambung pengajian dan kerjaya mereka, sama ada dalam bidang Islamik, kemahiran, atau teknologi," katanya dalam ucapannya di Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Imtiaz ke-15, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini baru-baru ini. Beliau menekankan bahawa institusi milik kerajaan negeri bukan sahaja menawarkan yuran yang berpatutan, malah turut menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif dan berteraskan nilai-nilai Islam. "Pelajar boleh memilih untuk menyambung pelajaran di mana-mana institusi ini sebelum melangkah ke peringkat yang lebih tinggi, sama ada dalam negara atau luar negara," ujarnya. Tambah beliau, usaha ini adalah kesinambungan kepada dasar pendidikan negeri yang komited membina generasi berilmu, beriman dan berdaya saing. "Kita tak mahu ada pelajar cemerlang yang tercicir hanya kerana tiada tempat atau kos terlalu tinggi di luar," jelasnya. Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri akan terus menambah baik kemudahan serta memperluas kerjasama dengan institusi-institusi pendidikan tinggi lain bagi meningkatkan kapasiti penerimaan pelajar. "Hasrat kita adalah supaya setiap anak Terengganu, tanpa mengira latar belakang, mampu memperoleh pendidikan terbaik dan menyumbang kembali kepada negeri serta negara," ujarnya.
24 Apr 25
456
100 Pelajar Diraikan Wisma Darul Iman
100 Pelajar Diraikan Wisma Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 23 April - Seramai 100 pelajar-pelajar fakir miskin dan anak yatim diraikan dalam majlis Sambutan Hari Raya anjuran Kelab Wisma Darul Iman (KWDI), hari ini. Pada sambutan yang berlangsung di Dewan Besar Wisma Darul Iman itu, pelajar terpilih dari lima sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Cabang Tiga, SK Losong, SK Bukit Losong, SK Kompleks Seberang Takir dan SK Seberang Takir menikmati sajian disediakan ahli-ahli kelab gabungan, selain turut menerima sumbangan duit raya. Sumbangan disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman pada sesi majlis perhimpunan bulanan Wisma Darul Iman. Pemberian sumbangan itu disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga merupakan Yang di-Pertua KWDI, Dato' Nara Setia dan isteri, To' Puan Wan Radziah Wan Mokhtar. Majlis yang berlangsung sehingga jam 2.00 petang itu dihadiri sekitar 1,000 warga Wisma Darul Iman dan kakitangan anak-anak syarikat kerajaan negeri.              
23 Apr 25
114
Terengganu Sedia RM19 Juta Biasiswa kepada Pelajar Cemerlang
Terengganu Sedia RM19 Juta Biasiswa kepada Pelajar Cemerlang
KUALA NERUS, 22 April – Kesungguhan kerajaan negeri dalam menyediakan laluan pendidikan terbaik kepada pelajar cemerlang terus dizahirkan apabila sejumlah RM19 juta diperuntukkan tahun ini menerusi skim biasiswa dan pinjaman pendidikan termasuk bidang pengajian Islam, sains serta kemahiran. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, skim pelajar cemerlang (SPC) yang dimulakan sejak tahun 2018 kekal menyediakan RM5 juta setahun untuk biasiswa penuh dalam dan luar negara. "Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM13 juta untuk skim pinjaman pendidikan kepada pelajar yang layak termasuk yang memilih bidang kemahiran,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Imtiaz ke-15, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini semalam. Beliau turut memaklumkan bahawa satu lagi inisiatif baharu tahun ini ialah pemberian biasiswa tambahan sebanyak RM1 juta melalui kerjasama Yayasan Terengganu dan Terengganu Incorporated (TI) khusus bagi bidang pengajian terpilih. "Kita dalam perbincangan untuk menambah lagi jumlah biasiswa sedia ada kerana bilangan pelajar cemerlang semakin meningkat dan kita tidak mahu bakat mereka terbiar begitu sahaja," ujar beliau. Dalam majlis itu, beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri kekal menghantar pelajar ke luar negara termasuk 20 orang ke Algeria, 20 ke Tunisia (Universiti Zaituna), dan beberapa lagi ke Cape Town, Jordan, Mesir, serta negara-negara Arab lain. "Tahun ini kita juga buka peluang baharu ke Iraq, dengan 5 tempat dalam bidang pergigian dan 20 tempat untuk pengajian Islam di Universiti Baghdad dan Universiti Mosul," katanya lagi. Satiful turut menyeru agar pelajar bersiap sedia dari segi kemahiran bahasa dan sahsiah kerana sesetengah universiti luar melakukan temu duga terus sebelum menerima kemasukan. "Kemampuan berbahasa Arab dan Inggeris sangat penting, kerana Cape Town contohnya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar," jelasnya.
22 Apr 25
680
Khatam 30 Juzuk, 130 Huffaz Terima RM1,000 Seorang
Khatam 30 Juzuk, 130 Huffaz Terima RM1,000 Seorang
KUALA TERENGGANU, 22 April – Kejayaan seramai 130 pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran pada tahun ini diiktiraf sebagai satu pencapaian luar biasa yang membuktikan ketekunan, disiplin dan kekuatan rohani generasi Ulul Albab. Pencapaian tersebut melayakkan setiap pelajar menerima insentif khas berjumlah RM1,000 seorang daripada Kerajaan Negeri Terengganu sebagai tanda penghargaan terhadap usaha murni mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, insentif tersebut merupakan pengiktirafan kepada pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah istiqamah dalam penghafalan al-Quran sepanjang tempoh lima tahun pembelajaran mereka di Imtiaz. "Sebagai penghargaan atas usaha murni ini, setiap pelajar yang berjaya mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran akan menerima insentif Anugerah Hafazan daripada kerajaan negeri sebanyak RM1,000 seorang," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu kali ke-15 bagi tahun 2025, yang berlangsung di Dewan Arena, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini semalam. Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab. Menurut beliau, gelaran hafiz dan hafizah adalah amanah besar yang wajib dijaga, bukan hanya untuk diumumkan dan dilupakan, tetapi perlu dipelihara sepanjang hayat sebagai warisan ilmu dan tanggungjawab terhadap umat. "Ingatlah, ia merupakan satu amanah, bebanan yang ditinggalkan oleh Allah dan Rasulullah dan menjadi kebanggaan kita semua," ujar beliau. Tambah Satiful, seramai 384 pelajar Tingkatan Lima dan 16 pelajar Tingkatan Enam bergraduasi pada majlis tersebut, termasuk 70 pelajar yang menerima pelbagai anugerah khas atas kecemerlangan akademik dan sahsiah, antaranya Tokoh Ulul Albab dan Anugerah Pelajar Terbaik. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para guru yang menjadi tulang belakang kejayaan ini, serta ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan sokongan. "Tanpa keikhlasan para pendidik, mustahil pencapaian ini dapat dikecapi dan sesungguhnya Allah mengangkat darjat orang yang berilmu beberapa tingkat lebih tinggi," ujarnya.
22 Apr 25
1445
Universiti Antarabangsa Buka Pintu, Pelajar Terengganu Perlu Lebih Bersedia
Universiti Antarabangsa Buka Pintu, Pelajar Terengganu Perlu Lebih Bersedia
KUALA NERUS, 22 April – Kerajaan Terengganu komited melahirkan lebih ramai cendekiawan bertaraf antarabangsa dengan membuka peluang pengajian ke luar negara, namun keupayaan berbahasa dan kematangan sahsiah kini menjadi prasyarat utama untuk merebut peluang tersebut dalam persekitaran global yang semakin kompetitif. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat menegaskan bahawa para pelajar perlu melengkapkan diri dengan persediaan akademik dan peribadi kerana banyak universiti memerlukan sesi temuduga secara langsung sebelum kemasukan. "Kadang-kadang universiti akan temuduga pelajar secara terus. "Jadi pelajar mesti bersedia dari segi penguasaan bahasa, khususnya bahasa Arab dan Inggeris," katanya ketika berucap di Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu kali ke-15 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab. Menurut beliau, beberapa universiti di destinasi tumpuan seperti Cape Town menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya sebagai bahasa pengantar, manakala institusi di negara-negara Arab menuntut penguasaan tinggi dalam bahasa Arab sebagai syarat kemasukan. "Tahun ini kita kekalkan penghantaran 20 pelajar ke Algeria, dan kita baru terima berita gembira Tunisia tawarkan 10 tempat di Universiti Zaituna di ibu negara Tunis dan 10 lagi di kampus cawangan mereka," tambah beliau. Beliau turut memaklumkan peluang pengajian turut dibuka di Jordan, Mesir, Oman, Cape Town dan Kuwait, namun peningkatan kos sara hidup di sesetengah negara seperti Jordan kini sedang diteliti bagi menjamin kebajikan pelajar. "Tahun ini kita juga buka laluan baharu ke Iraq, lima tempat untuk pengajian pergigian dan 20 tempat untuk pengajian Islam di Universiti Baghdad dan Universiti Mosul," jelasnya lagi. Dalam masa sama, beliau mengumumkan penempatan pelajar dalam bidang dakwah di universiti di Libya sebagai satu strategi untuk melahirkan pendakwah yang mampu menyebarkan kefahaman Islam secara global. "Selain itu, kuliah dakwah di universiti di Libya, di samping ada beberapa pelajar yang kita hantar ke Oman dan Kuwait," ujarnya.
22 Apr 25
986
Kerajaan Salur RM3.58 Juta Untuk Pelajar Cemerlang Terengganu
Kerajaan Salur RM3.58 Juta Untuk Pelajar Cemerlang Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu menyalurkan sebanyak RM3,581,400 kepada 268 pelajar cemerlang di negeri ini sebagai persediaan melanjutkan pelajaran ke universiti dalam dan luar negara pada tahun 2024. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, agihan biasiswa menerusi Skim Pelajar Cemerlang (SPC) itu melibatkan 239 pelajar dalam negara dan 29 pelajar luar negara. “Tajaan ini merangkumi pelbagai bidang dengan penekanan utama dalam Perubatan, Pergigian, Kejuruteraan, Teknologi Maklumat, Sains Kesihatan, Pengajian Islam & Perbankan Islam,” ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Sementara itu, beliau memaklumkan, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melalui Yayasan Pendidikan MAIDAM telah memperuntukkan bantuan kewangan bagi agihan kepada 21 pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian bermula pada peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD) pada tahun 2024. Katanya, pelaksanaan agihan tersebut adalah di bawah Bantuan Program Pengajian Islam (Ijazah Sarjana Muda) yang melibatkan 13 pelajar dan Program Memperkasakan Ulama' (Master dan PhD) melibatkan lapan pelajar. “Bantuan Program Pengajian Islam merupakan bantuan biasiswa penuh yang ditawarkan kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia untuk menyambung pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda yang melibatkan keseluruhan penajaan berjumlah RM231,807.60. “Manakala Bantuan Program Memperkasakan Ulama' merupakan tajaan biasiswa penuh kepada pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (Master) manakala tajaan peringkat Doktor Falsafah (PhD) pula adalah tajaan kepada pelajar lepasan Ijazah Sarjana (Master) melibatkan jumlah keseluruhan RM136,832.21,” ujarnya.  
17 Apr 25
308
SRIDI Miliki Premis Sendiri Tak Lama Lagi
SRIDI Miliki Premis Sendiri Tak Lama Lagi
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk memastikan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dapat beroperasi di bangunan sendiri, dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan Islam negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, kebanyakan bangunan yang digunakan untuk pengoperasian SRIDI ketika ini merupakan premis sewaan oleh Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), dan bukan milik kerajaan negeri. “Justeru, JPINT akan memberi penumpuan terhadap pengoperasian SRIDI baharu di bangunan milik Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli dalam Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut, Satiful memaklumkan bahawa JPINT telah merancang untuk menambah satu lagi SRIDI di kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, tertakluk kepada kelulusan serta peruntukan daripada Kerajaan Negeri Terengganu. Sementara itu, bagi cadangan penubuhan SRIDI di kawasan DUN Rantau Abang, lokasi di Mukim Kuala Dungun kini sedang menunggu kelulusan Pelan Akui (PA) daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). “Setelah Pelan Akui diperoleh, proses pewartaan tanah yang dicadangkan akan dilaksanakan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu,” katanya lagi. Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Terengganu untuk menyediakan prasarana pendidikan Islam yang lebih kukuh dan lestari di seluruh negeri.
17 Apr 25
1109
Rebut Peluang Pendidikan untuk Anak Asnaf
Rebut Peluang Pendidikan untuk Anak Asnaf
KUALA TERENGGANU,26 Mac - Pendidikan adalah kunci keluar dari kepompong kemiskinan dan inilah matlamat utama ‘Program Tunas Scholar’ yang diperkenalkan oleh Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMIKT). Program yang menyediakan tajaan penuh dalam bidang kejururawatan kepada anak-anak asnaf ini bukan sekadar membuka peluang akademik, tetapi juga menjanjikan masa depan yang lebih cerah dengan jaminan kerjaya. Pengurus Besar KMIKT, Salina Long, berkata program dilaksanakan memberi peluang kepada anak-anak asnaf untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejururawatan serta menjamin mereka pekerjaan di rangkaian hospital KMI Healthcare. "Kami bukan sekadar menyalurkan zakat dalam bentuk bantuan kewangan, tetapi juga memastikan asnaf mendapat pendidikan dan masa depan yang lebih cerah.  "Sejak dilancarkan, program ini telah menaja seramai 20 pelajar dengan kos pembelajaran sekitar RM65,000 seorang," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perkongsian Dalam Keberkatan, di KMIKT, di sini semalam. Turut bersama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TDM Berhad; Najman Kamaruddin. Beliau menegaskan bahawa program itu bukan hanya satu sumbangan, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang dalam membina generasi yang lebih berdikari dan berdaya saing.  "Kami berharap lebih ramai dapat menyertai dan menerima manfaat program ini.  "Ini adalah komitmen kami dalam memastikan masyarakat setempat terus dibantu dan dibangunkan," tambahnya. Sementara itu, KMIKT dan TDM Berhad sebelum ini turut menyantuni 150 asnaf menerusi program agihan zakat di Hospital KMI Kuala Terengganu. 
26 Mar 25
143