Artikel "Pendidikan" Terkini
666 Pelajar Dirai Dalam Majlis Graduasi Dan Anugerah Hafazan Imtiaz
KUALA TERENGGANU, 7 Jun - Seramai 666 pelajar diraikan sempena Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2021.
Pengarah Yayasan Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu merupakan majlis tahunan yang diadakan bertujuan memberi penghargaan serta meraikan pelajar Tingkatan 5 yang akan menamatkan pengajian mereka di Imtiaz.
Katanya, majlis tersebut juga bertujuan menzahirkan pengiktirafan Kerajaan Negeri dan Yayasan Terengganu kepada para pelajar yang telah berjaya menghafaz kesemua 30 juzuk al-Quran, selaras dengan prinsip Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 iaitu Pembentukan Modal Insan Berkualiti.
"Alhamdulillah, hari ini kita meraikan 529 orang pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu yang telah berjaya menamatkan pengajian setelah lima tahun di Imtiaz serta 453 merupakan pelajar yang terdiri daripada Tingkatan 2, 4 dan 5 yang telah khatam 30 juzuk al-Quran.
"Buat julung-julung kali juga, majlis ini diadakan untuk meraikan pelajar Tingkatan 6 Tahfiz yang turut sama bergraduasi," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2021 yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Taman Tamadun Islam, hari ini.
Katanya, diantara anugerah yang disampaikan pada majlis tersebut adalah Anugerah Quranik, Anugerah Ibnu Sina, Anugerah Al Fateh, Anugerah Al Farabi, Anugerah As Syafie dan Anugerah Tokoh Ulul Albab.
"Jadikan segala ilmu serta pengalaman di Imtiaz sebagai panduan hidup bagi menempuh perjalanan dalam meneroka ilmu pengetahuan ke peringkat yang lebih tinggi selepas daripada ini.
"Tahniah dan syabas saya ucapkan, juga kepada Hafiz dan Hafizah yang telah khatam 30 juzuk al-Quran dimana meraka juga menerima sijil hafazan berserta wang tunai berjumlah RM1,000 bagi setiap seorang," ujarnya.
07 Jun 22
1251
PT3 Dimansuhkan Mulai Tahun Ini
PUTRAJAYA, 2 Jun - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memutuskan bermula tahun ini Ujian Pentaksiran Tigkatan Tiga (PT3) dimansuhkan.
Perkara berkenaan telah diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr.Radzi Jidin pada sidang akhbar khasnya hari ini.
Sebelum ini ia ditangguhkan selama dua tahun sejeka 2020 akibat pandemik Covid-19.
02 Jun 22
582
Inovasi Tempatan Tembusi Peringkat Global
KUALA NERUS, 2 Jun- Banyak produk Inovasi tempatan berjaya menembusi pasaran di peringkat antarabangsa.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ramai pencetus inovasi dari negeri Terengganu mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Kita sentiasa ada wakil dari Terengganu yang memenangi 'award' di peringkat antarabangsa seperti kumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut yang memenangi Pertandingan Pendidikan Sains dan Teknologi Nuklear di Austria.
“Begitu juga, kumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam yang telah memenangi pertandingan Inovasi di peringkat dunia seperti Romania dan lain-lain.
“Dengan ini, menunjukkan bahawa kita tidak lagi ketandusan bakat dengan tanggungjawab yang kita laksanakan di Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI) bukan sekadar membangkitkan minat namun kita juga melihat pencapaian dan kejayaan mereka di peringkat yang lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Malaysia Techlympics Zon Timur Kuala Nerus di sini hari ini.
Ahmad Amzad berkata program seperti itu akan diteruskan lagi supaya mereka yang terlibat dalam bidang ini dapat menjadi pencipta produk inovasi yang berwibawa bukan sahaja ketika masih muda bahkan dapat menyumbangkan kemampuan dan bakat mereka kepada negara pada masa akan datang.
02 Jun 22
235
KQT Lahirkan 'Hamalatul Quran'
KUALA TERENGGANU, 31 Mei- Kolej Al-Qur'an Terengganu (KQT) terus berperanan melahirkan hamalatul (penghafaz) Al-Quran sebagai modal insan yang menjadi harapan kerajaan negeri bagi menjadi penerus kesinambungan kepimpinan dan pembangunan negara pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, seramai 400 pelajar yang berjaya menamatkan pengajian pengajian diploma dalam bidang Tahfiz al-Qur'an dan Bahasa Arab, Tahfiz Al-Qur'an dan Qiraat serta graduan Kuliyyah Al-Furqan, masing-masing adalah menjadi kebanggaan kerajaan negeri.
"Kejayaan menjadi 'hamalatul Quran' pada zaman yang penuh mencabar ini bukan suatu yang mudah, Hanya insan yang nekad dan mampu memikulnya sahaja akan memperolehi nikmat dan kelebihan ini, adalah diharapkan agar kejayaan yang dicapai pada hari ini menjadi titik pencetus semangat buat para graduan untuk kelestarian hidup dan kerjaya.
"Sebagai umat Islam, mempelajari ilmu ini adalah wajib dan perlu diamalkan sepenuhnya dalam kehidupan jika kita bercita-cita mahu kembali mencapai tahap kegemilangan sebagaimana yang pernah dicapai oleh tamadun Islam pada kurun dahulu.
"Kehebatan tamadun dunia sama ada yang berkembang berkurun dahulu ataupun yang wujud mutakhir ini terletak pada kehebatan bangsa dalam mengilmukan budaya dan membudayakan ilmu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Imaratul Ilmi Ke-3 KQT, di Pusat Konvokesyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengelola KQT, Maliaman Kassim dan Ketua Eksekutif KQT. Prof Madya Dr. Mohd Safri Ali
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan pelbagai inisiatif bagi merealisasikan hasrat memacu kejayaan demi kejayaan dalam bidang pendidikan terutamanya untuk mentransformasikan KQT menjadi sebuah Kolej Universiti menjelang tahun 2025.
"Kampus baharu di Durian Mentangau sedang dalam proses untuk dibangunkan demi pembelajaran yang kondusif untuk anak-anak jati Terengganu khususnya dan anak-anak keluarga Malaysia secara amnya untuk menimba ilmu dalam pelbagai lapangan.
"Saya akan memastikan KQT akan terus menjadi perhatian daripada pihak kerajaan kerana peranan besar yang telah dimainkan oleh institusi ini dalam meningkatkan ilmu pengetahuan rakyat daripada kumpulan B40 dan M40 melalui penawaran peluang pendidikan dalam bidang yang berteraskan agama ke arah melahirkan masyarakat yang memenuhi sifat-sifat dan ciri-ciri masyarakat madani," katanya.
30 May 22
452
Bunga Kantan Flakes Ungguli MPI 2022
KUALA NERUS, 23 Mei - Keberanian empat penyelidik mempertaruhkan bunga kantan sebagai bahan penyelidikan utama sempena Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI) 2022 nyata tidak sia-sia apabila diumumkan sebagai penerima anugerah emas sekali gus mengungguli anugerah ‘Grand Award’ pada majlis penutup program tersebut yang diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), semalam.
Diketuai Nor Asiah Muhamad Nor yang merupakan pensyarah Falkulti Sains kesihatan UniSZA, kajian bertajuk Bunga kantan flakes: A potential glucose-lowering herb rich in antioxidants itu merupakan projek kerjasama antara UniSZA dan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian yang turut diwakili penyelidik Prof Madya Wan Amir Nizam Wan Ahmad (USM), Dr Liza Noordin (USM) serta Dr Nor Hidayah Abu Bakar (UniSZA).
Berkongsi kenapa memilih bunga kantan Nor Asiah berkata, disebabkan penggunaannya begitu terhad, mereka sebulat suara untuk membuat penyelidikan terhadap bahan tersebut bagi mempelbagaikan penggunaan serta mewar-warkan kebaikan bunga kantan yang biasanya sinonim dengan masakan semata-mata.
“Kita ingin memperkenalkan bunga kantan flakes ini untuk pelbagai penggunaan selain daripada kita guna untuk masakan kerana ianya berpontensi sebagai agen menurunkan kadar glukos.
“Daripada kajian yang kita lakukan bermula tahun 2017, ada bukti saintifik yang menunjukkan bunga kantan ini baik untuk kesihatan terutamanya kepada pesakit diabetes dimana produk yang kita ada ini boleh hasilkan jus untuk kurangkan gula darah darah, berat badan dan lain-lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Minggu Penyelidikan Dan Inovasi 2022 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Al- Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak, semalam.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr. Zuhairah Ariff Abd Ghadas.
Sementara itu, Zuhairah dalam ucapannya berkata, penganjuran MPI kali ini dilaksanakan dengan jayanya menerusi jaringan kerjasama antara UniSZA, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan University College TATI (UC TATI) dimana UniSZA dipilih sebagai tuan rumah.
Katanya, penganjuran MPI pada tahun 2022 merupakan penganjuran edisi ke-9 bagi mempamerkan hasil inovasi dan penyelidikan para penyelidik serta pelajar Universiti Awam (UA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan Kolej Komuniti serta pelajar Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.
“Pelaksanaan program MPI kali ini dijalankan dengan dua mod iaitu secara maya dan fizikal. Pada peringkat pertama semua penyertaan akan dipertandingkan dan dinilai secara maya/ atas talian, manakala pada peringkat kedua, hanya produk terpilih akan dipamerkan secara fizikal di dewan diikuti dengan majlis perasmian penutup.
“Tujuan penganjuran MPI ini adalah untuk memupuk budaya penyelidikan, rekacipta dan inovasi dalam kalangan warga penyelidik dan pelajar,” ujarnya.
Menurut beliau, penyertaan MPI 2022 dibahagikan kepada sembilan kluster dan jumlah penyertaan yang telah diterima adalah sebanyak 348 terdiri daripada staf akademik dan pelajar daripada UniSZA, UMT, UC TATI, Universiti-universiti Awam, sekolah-sekolah dan lain-lain agensi.
24 May 22
638
Alumni Yayasan Terengganu Disaran Sumbang Kepakaran Pendidikan
KEMAMAN, 23 Mei - Alumni Yayasan Terengganu disaran agar menyumbang kepakaran membangunkan pendidikan negeri Terengganu melalui kongress Pendidikan Rakyat Terengganu (KoPeRat) yang dilaksanakan di Darul Iman Training Centre (DITC) Kemaman semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata ruang perbincangan, pandangan serta penambahbaikan dibuka seluas-luasnya kepada golongan terbabit bagi merancang halatuju pendidikan khususnya buat rakyat dan anak-anak Terengganu.
“Kita sendiri telah melancarkan halatuju dan konsep pendidikan iaitu Pendidikan Terengganu Sejahtera 2030 ianya selari serta seiring dengan hasrat dan tema Terengganu Maju Berkat Sejahtera supaya pelajar-pelajar anak terengganu kita dapat mengekalkan kecemerlangan mengugguli peperiksaan di peringkat SPM, STPM, dan STAM.
“Skim Pelajar Cemerlang (SPC) antara manifesto bermula tahun 2018 atau biasiswa bagi mereka yang cemerlang dalam peringkat SPM dan telah ditunaikan setiap tahun.
"Di samping Kerajaan negeri juga membuka dan menaja meraka yang cemerlang di peringkat yang lebih tinggi iaitu Master dan PHD," ujarnya kepada pemberita.
Beliau juga berkata, halatuju yang lebih baik dan selari dengan teras Islam perlu dirangka bagi menghadapi generasi masa akan datang.
"Kita sedia maklum pendidikan merupakan sesuatu yang sentiasa berhubung suasana tidak mengira masa dan zaman," jelasnya.
Dalam pada itu, Pengarah Yayasan Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham berkata Kongres Pendidikan Rakyat (KoPeRaT) tepat pada masanya dan wajar menjadi pentas untuk Alumni mengumpul maklumat, memahami keperluan dan jangkaan semua pemegang taruh dalam sektor pendidikan terutamanya rakyat teramai.
"Semua maklumat yang diperolehi perlu diolah dan digarap sebaiknya bagi memastikan keterangkuman pandangan semua pihak dan disalurkan kepada pembuat dasar serta pihak-pihak bertanggungjawab untuk memantapkan sistem sedia ada sama ada laluan arus perdana atau selainnya.
"Setiap resolusi atau cadangan yang dikemukakan perlulah disusun dengan teliti dengan mengambil kira semua faktor dan kesan pada masa hadapan.
"Pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang perlu disediakan agar usul penambahbaikan tersebut dapat dilaksanakan dan tidak hanya tinggal sebagai satu impian," kata beliau.
23 May 22
414
Bekas Pengetua SMK Padang Midin Dinobatkan Tokoh Guru Terengganu 2022
KUALA NERUS, 19 Mei - Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin dinobat sebagai Tokoh Guru Negeri Terengganu 2022 sempena Hari Guru Negeri Terengganu, hari ini.
Zah Mohamad, 63, yang bersara selepas 35 tahun bergelar pendidik berkata, beliau sama sekali tidak menyangka terpilih menjadi penerima anugerah itu memandangkan sudah tiga tahun meninggalkan kerjaya itu.
“Anugerah ini saya dedikasikan buat sekolah terakhir saya, SMK Padang Midin, yang banyak meninggalkan kenangan terbaik serta pencapaian tertinggi semasa masih bergelar pengetua di sana.
“Sekolah yang amat bermakna buat saya dan sehingga kini saya masih berhubung dengan guru-guru dan pelajar di sana," katanya.
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dengan penganugerahan itu, Zah yang juga kepada ibu kepada empat anak itu menerima wang tunai RM5,000, kalong, selempang, persalinan songket, jam tangan, plak dan sijil penghargaan.
Tambah beliau lagi, antara resepi utamanya sejak bergelar guru pada tahun 1984, dia mengamalkan prinsip ikhlas mengajar dan mengasihi anak murid seperti seorang ibu mengajar anak sendiri
Selepas bersara, Zah kini menyumbang kepakaran menulis buku dan aktif berpersatuan sebagai Setiausaha Kehormat Majlis Pengakap Terengganu selain Naib Pengerusi, Penglibatan Ibubapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Kuala Terengganu.
19 May 22
3237
ADUN Batu Buruk Belanja Kek Sempena Hari Guru
KUALA TERENGGANU, 18 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi mengagihkan sebanyak 28 biji kek bersempena sambutan Hari Guru yang diadakan pada 16 Mei lalu.
Kek tersebut telah diagihkan kepada setiap sekolah menengah, sekolah rendah, madrasah tahfiz dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk.
Penyelia i-MITS DUN Batu Buruk, Ustaz Nik Rosdi Nik Jusoh menghantar kek ke SMK Dato' Razali
“Agihan kek bersempena hari guru ini merupakan program tahunan yang saban tahun kita akan adakan untuk dihantar kepada sekolah-sekolah yang ada dalam DUN ini.
“Namun, agihan ini telah terhenti selama 2 tahun yang lalu ekoran penularan wabak Covid-19 yang mengakibatkan tiada sebarang penganjuran majlis diadakan.
“Alhamdulillah, walaupun telah 2 tahun tidak diadakan majlis sambutan Hari Guru, pada tahun ini saya lihat sambutan yang diadakan pada tahun ini sangat meriah,” kata Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) DUN Batu Buruk, Ustaz Nik Rosdi Nik Jusoh ketika ditemui pemberita.
Beliau yang mewakili ADUN Batu Buruk dalam agihan kek tersebut berkata pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah terbahagi kepada dua kumpulan bagi memastikan kek tersebut dapat dihantar tepat pada masanya.
Sementara itu, ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil dalam satu hantaran di laman Facebook beliau mengucapkan tahniah kepada semua sekolah yang telah mengadakan majlis sambutan Hari Guru dan berharap agar dapat turut bersama dalam program-program yang akan datang.
“Semoga agihan kek ini sedikit sebanyak dapat terus mengeratkan hubungan antara pihak sekolah dengan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk,” tambahnya.
18 May 22
443
Terengganu Hantar Pelajar Ke Algeria
KUALA TERENGGANU, 17 Mei- Kerajaan Terengganu mengorak langkah untuk menghantar pelajar ke Algeria bermula tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, universiti yang menjadi pilihan adalah Univ Amer Abdul Qader di Constantine yang dikhususkan kepada pengajian Islam.
“Satu episod baru diteroka setelah ruang pendidikan Islam di negara Timur Tengah semakin mengecil akibat peperangan maupun pergolakan politik seperti syria, Libya, Iraq, Yemen.
“Dalam lawatan muhibbah ke universiti tersebut pada 15 Mei lepas, saya telah disambut oleh rektor universiti iaitu Dr Abdullah Bo Khalkhal bersama timbalan dan ketua-ketua jabatan beliau” ujarnya.
Katanya, beliau sempat meninjau kompleks pengajian, asrama dan lain-lain kemudahan.
“Pengajian di sini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Algeria termasuk asrama serta makan minum,” ujarnya.
17 May 22
783
Mahasiswa Timur Tengah Terharu Keprihatinan Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 16 Mei- Rata-rata mahasiswa yang menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Terengganu bersama Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan (PUTRA) yang diadakan di Hotel Opal, Amman baru-baru ini menzahirkan rasa terharu atas keprihatinan kerajaan negeri.
Salah seorang pelajar, Ahmad Amirul Khasyfi Mohd Azam, 22, berkata, kunjungan delegasi kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu cukup bermakna buat mahasiswa Terengganu di luar negara Timur Tengah.
Mahasiswa Tahun Satu Mu’tah University itu merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu yang lain kerana mengadakan lawatan seterusnya menganjurkan majlis ramah mesra tersebut.
"Dengan adanya lawatan dan majlis ini dapat mengubati rindu kami kepada negeri tercinta iaitu Negeri Terengganu Darul Iman.
"Di samping itu, majlis dan lawatan ini juga dapat mengeratkan ukhwah Islamiah di antara pelajar dan kepimpinan kerajaan negeri," ujarnya.
Amirul turut mengharapkan lawatan dan majlis sebegitu akan terus diadakan pada tahun-tahun akan datang.
Sementara itu, Mahasiswi JUST University, Nurul Hanna Sufiyah Zulkilflee, 19, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar bersama delegasi Kerajaan Negeri Terengganu kerana sudi meluangkan masa bersama anak-anak Terengganu yang menuntut di Timur Tengah.
"Bagi saya program tersebut dapat mengeratkan ukhwah antara mahasiswa dan kerajaan negeri.
"Selain membangkitkan semangat mahasiswa dalam menuntut ilmu supaya dapat kembali ke tanah air dengan kejayaan, ianya juga dapat menyuntik hati mereka untuk menabur bakti kepada negeri Terengganu yang tercinta" ujarnya.
Terdahulu, dalam majlis tersebut, kerajaan negeri menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan (PUTRA).
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat, Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham dan Pengarah Education Malaysia Jordan, Dr Radzuan Ab Rashid.
16 May 22
192