Artikel "Pendidikan" Terkini
Mahasiswa Jordan Terima Kunjungan MB
KUALA TERENGGANU, 13 Mei – Delegasi kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar meneruskan kunjungan bersama mahasiswa Terengganu di luar negara Timur Tengah.
Rombongan tersebut diraikan dalam satu Majlis Ramah Mesra bersama Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan (PUTRA) yang diadakan di Hotel Opal, Amman baru-baru ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mahasiswa turut menjadi sebahagian yang melakukan perubahan minda terhadap rakyat.
“Dengan usia mahasiswa hari ini, peranan pembinaan tamadun masyarakat hari ini turut menjadi sebahagian daripada tanggungjawab.
“Mahasiswa dan mahasiswi sebagai kelompok anak muda kini tidak lagi dianggap sebagai pelapis generasi akan datang kerana hakikatnya kalian (mahasiswa) juga berhak memberi idea dalam membangunkan negeri dan negara.
“Antara perubahan minda rakyat yang perlu diperhalusi adalah pembangunan sesebuah negeri atau negara bukan sahaja dengan membina bangunan dan infrastruktur sahaja bahkan pembangunan insan turut perlu menjadi keutamaan,” katanya dalam ucapan bersama mahasiswa Jordan.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat, Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham dan Pengarah Education Malaysia Jordan, Dr Radzuan Ab Rashid.
Dalam majlis itu, kerajaan negeri turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan (PUTRA).
Terdahulu, kerajaan negeri menyempurnakan pemilikan bangunan 10 tingkat bagi penempatan mahasiswa di Mesir di samping meraikan sambutan Aidilfitri bersama mahasiswa Terengganu luar negara di beberapa negara.
13 May 22
291
500 Mahasiswa Mesir Gembira Terima Penempatan Baru
KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Lebih 500 mahasiswa Terengganu di Mesir gembira menerima sebuah bangunan baharu 10 tingkat di Hayyu Sabik selepas beberapa tahun menginap dalam suasana 'suram'.
Ketua Biro Perumahan Keluarga Penuntut Mesir, Muhammad Khairul Anam Ahmad berkata, usaha kerajaan negeri di bawah pimpinan Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri itu merealisasikan impian pelajar Terengganu yang sudah lama memohon kediaman lebih selesa.
"Kami sangat teruja di atas pemberian ini dan sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya kepada Menteri Besar kerana telah hadir sendiri bagi merasmikan bangunan ini.
"Sejujurnya saya sendiri ketika mula-mula datang ke sini pada tahun 2019 ingin menginap di bangunan baharu seperti Wisma Darul Iman ini yang mampu memuatkan lebih ramai pelajar dengan kapasiti 10 tingkat dengan 64 bilik yang mampu menempatkan 256 pelajar dalam satu-satu masa," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi UPDI hari ini.
Sementara itu Ketua pelajar Terengganu di Mesir, Muhammad Munawir Al-Masyhadi M. Shukrimun berkata dengan adanya penempatan baharu itu, ia membantu untuk anak-anak Terengganu menimba ilmu dalam suasana lebih kondusif dan selesa.
"Ia sangat mengembirakan pelajar-pelajar Terengganu di sini yang mana asrama lama sebelum ini tidak mampu lagi menampung jumlah pelajar yang setiap tahun bertambah bilangannya.
"Saya juga mengharapkan agar kalau boleh ditambahkan lagi bangunan baru di masa akan datang untuk memastikan pelajar dari Terengganu ini tidak menghadapi masalah penempatan," katanya.
Seorang lagi pelajar, Muhammad Afifuddin Khalid, turut berterima kasih kepada kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu telah bersusah payah berusaha bagi memastikan masalah yang selama ini dihadapi berkait penempatan dapat diselesaikan.
"Kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Menteri Besar, kerana telah bertungkus lumus bagi memudahkan kami di sini untuk terus menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh," ujarnya.
10 May 22
1433
Kerajaan Sempurnakan Penempatan Baru Mahasiswa Di Mesir
KUALA TERENGGANU, 8 Mei – Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu hari ini menyempurnakan pemilikan sebuah bangunan 10 tingkat sebagai penempatan baru mahasiswa Terengganu di Mesir.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sektor pendidikan akan kekal menjadi salah satu teras keutamaan bagi pembangunan kerajaan Negeri Terengganu.
“Selain menyediakan peluang pendidikan dalam bentuk penajaan dan pembiayaan kepada para pelajar, keperluan prasarana yang lengkap turut menjadi keperluan.
“Justeru, kerajaan negeri komited bagi memastikan mahasiswa Terengganu dapat menimba ilmu dalam persekitaran yang lebih kondusif dan selesa.
“Kita telah membuat keputusan untuk membeli dua buah bangunan baru di Hayyu Sabik, satu daripadanya akan dirasmikan hari ini,” katanya dalam ucapan Perasmian Wisma Darul Iman Terengganu di Kaherah, Mesir.
Bangunan 10 tingkat (Wisma Darul Iman Terengganu) Haiyyu Sabik
Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Mesir, Zamani Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.
Terdahulu, kerajaan negeri mempunyai dua buah bangunan di Hayyu Asyir dan Mansourah namun kerajaan memutuskan untuk menjual bangunan di Mansourah dan membeli bangunan di hayyu Sabik bagi menyediakan penempatan yang lebih selesa.
Wisma Darul Iman Terengganu tersebut mempunyai kapasiti 10 tingkat dengan 64 buah bilik yang mampu menempatkan 256 pelajar dalam satu-satu masa.
Dengan pemilikan bangunan itu, kira-kira 500 mahasiswa Terengganu di Mesir bakal menikmati asrama dan kemudahan yang lebih selesa.
Kerajaan negeri turut menyampaikan wang tunai berjumlah RM20,000 kepada Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir (KPT) dalam majlis tersebut.
08 May 22
1366
'Jom Baca Bersama 10 Minit' Pupuk Minat Membaca Dalam Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 22 April- Program 'Jom Membaca Bersama 10 minit' yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) merupakan usaha untuk menarik dan memupuk minat membaca di kalangan masyarakat di negeri ini agar ia dijadikan amalan yang berterusan.
Program bertemakan 'Bangkit Baca dan Bersyukur' itu juga berupaya mengamit kembali rakyat mengunjungi perpustakan yang selama ini menjadi tempat untuk mengakses pelbagai ilmu.
Pengarah PPAT, Norliza Ismail berkata, kempen itu diadakan serentak di seluruh perpustakaan dalam negara.
"Saya yakin dan pasti semua rakyat di seluruh Malaysia akan mengambil kesempatan untuk menyertai aktiviti ini yang menjadi simbolik ke arah mewujudkan budaya membaca dan kembali aktif mengunjungi perpustakaan bagi mendapatkan bahan bacaan bermanfaat.
"Bila dah ke fasa endemik ini kita sama-sama bersyukur dan bangkit bersama mengamalkan budaya membaca, peringkat perpustakaan juga telah merancang dan mengatur pelbagai aktiviti untuk dimanfaatkan sepanjang tahun ini,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada program yang telah disempurnakan perasmiannya oleh isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman di Dewan Serbaguna Perpustakaan Awam negeri, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut katanya, program yang dihadiri 300 peserta itu juga diadakan bersempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April pada setiap tahun.
"Sempena hari ini juga ia memberi peluang kepada peminjam-peminjam buku perpustakaan untuk memulangkannya semula tanpa dikenakan denda walaupun terlewat, di mana sepanjang tempoh pandemik ramai peminjam gagal menghantar semula buku mengikut tempoh yang telah ditetapkan.
"Hampir RM2 juta diperuntukkan untuk menambahkan jumlah buku. Jadi gunakan peluang untuk kembali aktif mengunjungi perpustakaan,"ujarnya.
Dalam pada itu, Tuan Faizah berpandangan bahawa sambutan yang diadakan itu sangat efektif serta menjadi suatu inisiatif sangat baik dalam memastikan amalan membaca menjadi budaya rakyat di negeri ini.
"Dengan amalan murni ini dijadikan pembudayaan ia akan melahirkan masyarakat yang mempunyai ilmu pengetahuan tinggi dimana mereka akan mempunyai minda yang kreatif dan aktif serta mampu berinovasi selain melahirkan warganegara yang berkebolehan dalam melihat sesuatu perkara daripada pelbagai perspektif yang berbeza.
"Ini kerana melalui pembacaan ia menjadi teras pencarian ilmu dan membangunkan bakat, kebolehan serta berdaya saing dari segi fizikal dan intelektual untuk kemajuan negara, Pak Hamka pernah berpesan membaca buku yang baik beerti memberi makanan yang baik kepada rohani," ujarnya.
22 Apr 22
1206
Terengganu Belanja RM1.78 Juta Taja Pelajar Ke Jepun
KUALA TERENGGANU, 20 April - Kerajaan negeri membelanjakan RM1.78 juta bagi menghantar tiga pelajar cemerlang ke Jepun.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mereka merupakan penerima biasiswa Skim Pelajar Cemerlang peringkat ijazah ke luar negara dan ini adalah penghantaran kali kedua ke Jepun di bawah skim tersebut.
“Ketiga-tiga mereka merupakan pelajar cemerlang lepasan SPM 2020 yang telah pun menamatkan Program Persediaan Japan (Look East Policy (Japan) programme) di Kolej INTEC Shah Alam.
“Anak-anak ini dijadualkan akan berangkat ke Jepun pada 18 Mei depan. Nilai keseluruhan biasiswa bagi ketiga-tiga pelajar tersebut dianggarkan berjumlah RM1.78 juta bagi tempoh pengajian tiga hingga empat tahun,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri dan Bantuan Persedian Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Luar Negara Tahun 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, besar harapan Kerajaan Negeri Terengganu dan Yayasan Terengganu khasnya untuk melihat anak-anak pelajar pulang membawa kejayaan setelah tamat pengajian.
“Sekalung penghargaan dan tahniah kepada para pelajar, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan anak-anak Terengganu yang cemerlang dapat melanjutkan pengajian di dalam bidang yang menjadi idaman dan universiti terkemuka yang menjadi rebutan setiap pelajar untuk menimba ilmu,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu menubuhkan Tabung Biasiswa Pelajar Cemerlang Negeri Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM5 juta setahun untuk membiayai pengajian anak-anak Terengganu yang cemerlang bagi meneruskan pengajian di peringkat ljazah Pertama.
“Sehingga kini seramai 601 orang pelajar cemerlang lepasan SPM, Asasi/Matrikulasi, STPM dan STAM telah menerima skim biasiswa ini bagi mengikuti pengajian peringkat Persediaan dan Ijazah Pertama dalam pelbagai bidang.
“Dari jumlah tersebut 516 orang mengikuti pengajian di universiti awam dalam negara dan 84 orang dari mereka mengikuti program pengajian luar negara dalam bidang- bidang kritikal seperti Perubatan, Pergigian Kejuruteraan Sains, Perakaunan dan Al-Qur'an Wal Qiraat,”ujarnya.
20 Apr 22
631
Madinah Ramadan Kembali, Angkat Pengisian Rohani
KUALA TERENGGANU, 7 April- Terengganu membuka kembali tirai Madinah Ramadan bagi menghidupkan suasana dakwah dan ilmu di kalangan masyarakat sempena bulan mulia ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah menzahirkan kegembiraan apabila program yang penuh pengisian ilmu itu dapat kembali diadakan setelah negara memasuki fasa peralihan ke endemik berikutan Covid-19.
"Alhamdulillah pada tahun ini kita dapat melaksanakan semula program Madinah Ramadan. Walaupun begitu, tahun ini agak kecil sedikit jika dibandingkan dengan penganjuran awal kita buat dahulu.
"Walau demikian, kita laksanakan juga atas asas untuk menghidupkan Ramadan. Insya-Allah, sesiapa sahaja boleh datang berbuka dan juga boleh datang untuk mendengar tazkirah di Madinah Ramadan yang kita sediakan berhampiran dengan bazar-bazar Ramadan di tempat-tempat tumpuan masyarakat setempat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Madinah Ramadan Negeri Terengganu di Dataran Drawbridge, semalam.
Jelasnya, Madinah Ramadan akan diisi dengan tazkirah serta pelbagai program keilmuan seperti pengisian untuk muslimah dan sebagainya sepanjang bulan ini.
"Usaha ini memberi peluang pengunjung di bazar-bazar untuk melihat dan merasai kemeriahan Ramadan disamping memenuhi ibadah puasa mereka dengan perkara bermanfaat," katanya.
Tahun ini, program Madinah Ramadan akan diadakan pada skala kecil dan sederhana berhampiran bazar-bazar Ramadan seluruh negeri bagi menyebar luaskan usaha dakwah dan penyampaian ilmu kepada masyarakat Terengganu.
07 Apr 22
819
Idea ADUN Belia Cermin Pandangan Generasi Muda Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Persidangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu yang berlangsung bermula semalam perlu diberi perhatian kerana mereka merupakan wakil generasi muda negeri.
Timbalan Yang Dipertua Dewan ADUN Belia Terengganu, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, cadangan-cadangan yang dikemukakan harus diambil serius supaya pihak bertanggungjawab dapat melihat pandangan-pandangan daripada kalangan mereka sendiri yang berada dalam kelompok belia.
"Idea-idea yang baik dapat kita implementasikan sebagai satu gerakan untuk menjayakan suatu visi dan misi kerajaan Terengganu ke arah melahirkan belia yang mempunyai sikap proaktif dalam melaksanakan ataupun menzahirkan perkara-perkara yang kita katakan sangat mustahak untuk membentuk generasi yang akan datang.
"Saya fikir, usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan negeri adalah usaha yang terkehadapan.
"Maknanya, kerajaan sendiri cuba untuk melihat ke dalam pemikiran masyarakat belia sendiri. Bukan kita yang mencadangkan, bukan pihak lain yang melangkaui usia belia yang cadangkan tetapi kita mengambil input itu daripada kalangan belia itu sendiri," katanya ketika ditemui selepas mengendalikan Persidangan ADUN Belia Terengganu, hari ini.
Tambahnya, usaha tersebut pasti dapat menghidupkan idealisme yang cuba ditampilkan oleh pelbagai pihak dalam negeri yang sekaligus mampu mencambah idea-idea baru yang lebih baik.
"Saya juga fikir bahawa antara perkara yang aa mereka berjaya tonjolkan ialah kesepakatan dalam melahirkan idea-idea baru. Ini amat menarik.
"Kajian yang mereka buat juga bukan sahaja menyentuh soal dalaman negara tetapi juga melangkaui sejarah-sejarah silam dengan mengambil sisi kegemilangan yang berlaku dalam aspek pemerintahan, aspek pendidikan, kekeluargaan dan seumpamanya," katanya.
29 Mar 22
472
SMK Tengku Mahmud Rangkul Juara Inovasi Peringkat Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 29 Mac – Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud (TMS) berjaya dinobatkan sebagai pemenang utama dalam Asian Youth Innovation Award 2022 anjuran Malaysia Technology Expo (MTE) baru-baru ini.
Lebih menarik, TMS menjadi satu-satunya peserta peringkat sekolah yang bersaing dengan peserta terdiri daripada golongan pelajar universiti tempatan dan luar negara.
Penolong Kanan Kokurikulum TMS, Mohd Syamri Abd Razak berkata, pertandingan berkenaan merupakan penyertaan kali pertama pihak TSM dalam bidang inovasi.
"Kita tidak menyangka berjaya merangkul emas bagi kategori ini walaupun lawan kita daripada institusi-institusi pengajian tinggi yang lebih hebat.
“Seramai lima orang pelajar menjadi wakil dalam acara inovasi tersebut yang diadakan secara atas talian dengan persediaan bagi menyertai acara ini bermula sejak November 2021 antara guru serta pelajar kita," katanya apabila dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, inovasi pilihan dihasilkan TMS adalah pembuatan kertas daripada batang pokok pisang yang mampu meningkatkan penggunaan tanaman tersebut dalam lebih banyak aspek.
29 Mar 22
1130
AKMAL Hasrat Lahirkan 3,000 Hafiz Al-Quran Setahun
KUALA NERUS, 26 Mac – Akademi Al Quran Amalillah (AKMAL) berhasrat untuk melahirkan seramai 3,000 penghafal al-Quran dalam tempoh setahun.
Pengasas AKMAL, Hussin Ismail berkata, visi tersebut merupakan sasaran pihak AKMAL yang bakal dikecapi bermula tahun 2025.
“Melahirkan 3,000 hafiz Quran merupakan misi besar AKMAL yang melibatkan pelajar dari Malaysia serta antarabangsa seperti Turki dan Filipina.
“Dengan kekangan pandemik COVID-19 sedikit menjejaskan proses pembelajaran mereka (pelajar) namun tiada yang mustahil kerana Al Quran merupakan hidayah,” tambahnya kepada pemberita dalam Majlis Graduasi AKMAL kali ketiga.
Majlis graduasi tersebut dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Stadium Tertutup Gong Badak, semalam.
Sehingga hari ini, AKMAL mempunyai enam cawangan di seluruh Malaysia dan menawarkan kaedah menghafal Quran dalam masa kurang setahun.
AKMAL turut menawarkan konsep pengajian tahfiz secara dalam talian dengan membuka penyertaan kepada semua peringkat umur.
27 Mar 22
595
GMTS Bina Kredibiliti Belia Tunai Tanggungjawab Mengundi
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Dalam usaha mempersiap golongan belia agar menjadi warganegara yang bertanggungjawab dengan melibatkan diri di dalam pilihan raya, kerajaan Terengganu melalui Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) memperkenalkan program Generasi Muda Terengganu Sejahtera (GMTS).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, untuk menjayakan program berkenaan, beberapa pembahagian disasarkan dalam pelaksanaannya.
"Yang pertama ialah TUNAS bagi kanak-kanak berumur 11 hingga 12 tahun (School Potential Talent-SPT), DIDIK merangkumi umur 13 hingga 15 tahun (Teens Potential Talent 1-TPT 1) dan BAKAT bagi umur 16 hingga19 tahun (Teens Potential Talent 2-TPT 2).
"Manakala, bagi belia berumur 20 hingga 25 tahun, kita meletakkan mereka dalam pembahagian ELIT ( High Potential Talent-HPT) dan IKON bagi umur 26 hingga 30 tahun ( Ikon Belia Terengganu Sejahtera)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Ucapan Titah Tuanku, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, program berkenaan diharapkan dapat melahirkan anak muda yang berkepimpinan dengan penerapan minda politik matang dan sejahtera.
Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan Program ADUN Belia sejak tahun 2019 serta akan meneruskannya bagi memberi pendedahan dan melatih golongan belia untuk menjadi pemimpin pelapis di masa akan datang.
"Antara program lain yang dirancangan melalui GMTS juga adalah Program Ikon Anak Muda, Motivasi Belia Terengganu, 'School Attack', 'Studio Live' dan 'Hiwar' Belia Manis serta banyak lagi.
"Selain itu, kerajaan negeri berkerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu telah mengadakan Program Rukun Negara@Belia, Program ETOS Anak Muda dan Program Rakan Muda Klik.
"Ia dalam memberi kesedaran kepada belia untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berikutan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, selain meningkatkan pengetahuan literasi politik, ekonomi dan sosial," katanya.
23 Mar 22
271