lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

'Azhari' Perlu Jadi Ejen Pendamai - Dato' Husain Awang
'Azhari' Perlu Jadi Ejen Pendamai - Dato' Husain Awang
KUALA TERENGGANU, 15 Julai- Para alumni Universiti Al-Azhar atau lebih dikenali sebagai Azhari perlu bertindak sebagai pendamai dalam kemelut pertikaian pemikiran antara golongan salafi dan Asya'irah Maturidiyyah. Ahli Dewan Negara, Senator Dato' Husain Awang yang juga alumni Al-Azhar berkata, Al-Azhar As-Syarif, sebuah institusi pendidikan tinggi yang ditubuhkan lebih 1500 tahun lalu telah mencetak generasi demi generasi yang menyumbang kepada kegemilangan Islam itu sendiri. "Dalam konteks Malaysia, Al-Azhar telah menjadi pusat naungan ilmu kepada lebih 15000 pelajar sejak ia ditubuhkan dan telah memberi sumbangan yang amat signifikan ke arah kemajuan tanah air melalui pelbagai bidang, antaranya ialah pendidikan, politik, ekonomi Islam dan lain-lain. "Sistem pendidikan yang bersifat terbuka bersesuaian dengan pendekatan demokrasi pendidikan yang memberi laluan kepada semua golongan untuk menuntut dan mendalami ilmu Islam. "Maka, keberuntungan yang diperolehi oleh para Azhari wajar dimanfaatkan sebaiknya dengan menyumbang mengikut bidang masing-masing sekali gus mengalirnya ilmu yang bermanfaat buat semua," pesannya dalam ucaptama Majlis Makan Malam bersama Alumni Al-Azhar di Primula Beach Hotel, hari ini. YB Arifin Deraman bersama para ahli syura WOAG Malaysia. Majlis anjuran Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG) itu diadakan bagi meraikan lebih 150 alumni Al-Azhar dari negeri Terengganu yang hadir. Jelasnya, hari ini masyarakat melihat timbulnya pelbagai isu yang mencalar kemuliaan Islam serta munculnya golongan yang tidak segan mengaku Muslim tetapi melakukan perkara yang bersalahan dengan tuntutan syariat Islam. "Justeru, para azhariyyun perlu memainkan peranan selaku golongan yang diberi kefahaman agama yang baik agar membimbing masyarakat dari terus dibelenggu dengan kekeliruan dan kesalahfahaman berkenaan Islam," katanya. Dalam pada itu, Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar (WOAG) Malaysia, Prof. Dato' Mohd Fakhrudin Abdul Mukti menyifatkan, pesanan tersebut perlu dipandang serius oleh para alumni. "Menjadi hasrat Al-Azhar sebenarnya untuk menyatupadukan umat Islam di seluruh dunia. "Ramai ulama dari Al-Azhar di seluruh negara sentiasa diseru untuk menyebarkan kefahaman dan konsep wasatiyyah Islam dalam mendamaikan umat Islam." katanya. Jelasnya, WOAG Malaysia yang ditubuhkan sekitar 2011 telah banyak melakukan program berkaitan pemikiran Islam dan menyampaikan konsep wasatiyyah dalam usaha menangani isu-isu ekstremisme dan keganasan dalam negara. "Antara tujuan ia ditubuhkan adalah untuk menjernihkan pemikiran-pemikiran dan ideologi ini dalam dunia Islam selain menyentuh isu-isu global yang berlaku hari ini,: katanya.        
15 Jul 22
769
Bank Susu Disambut Baik Masyarakat
Bank Susu Disambut Baik Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 4 Julai – Masyarakat menyambut baik perancangan kerajaan mewujudkan Bank Susu selari dengan keperluan semasa. Salah seorang peserta, Nur Syazwani Jusoh, 34, berkata, seminar tersebut sangat baik terutamanya dalam memberi pendedahan dan ilmu tentang kepentingan berkaitan penyusuan untuk masyarakat awam. "KIta sedia maklum bahawa masyarakat sekarang tiada pengetahuan berkaitan hal ini selain ada yang terlalu mengambil mudah berkaitan hukum- hakam penyusuan terutamanya apabila melibatkan keturunan ataupun hubungan kekeluargaan dengan ibu susuan," jelasnya. Dia berkata demikian selepas perasmian Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 Bank Susu: Keperluan dan Hukum bertempat di Permata Ballroom, Hotel Permai di sini hari ini. Sementara itu, Wan Zaiton Wan Yahaya, dari Marang berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian kepada masyarakat kerana ada hukum-hakam yang perlu difahami dan diikuti. "Bagi saya, seminar pada hari ini berjaya mencapai matlamatnya walaupun berlangsung separuh hari, banyak ilmu yang dikongsikan oleh panel-panel profesional dari pelbagai bidang seperti kesihatan dan keagamaan. "Insya-Allah, saya sangat menyokong usaha mewujudkan Bank Susu ini dan mendoakan agar perancangan ini dapat dilaksanakan dan memberi kebaikan kepada semua," katanya.  
04 Jul 22
605
Singgah Sains, Pupuk Minat Masyarakat
Singgah Sains, Pupuk Minat Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 26 Jun- Pusat Sains Negara (PSN) dengan kerjasama Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) menganjurkan Program Singgah Sains Terengganu 2022 di PSKT selama dua hari bermula hari ini. Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, program yang diadakan itu bertujuan mendekati masyarakat terutamanya golongan muda dan pelajar bagi memupuk minat dan meningkatkan populariti bidang sains, teknologi dan Inovasi (STI). “Penganjuran program ini juga sejajar dengan matlamat Dasar Sains,Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 (DSTIN) dalam memacu Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih berdaya saing melalui STI yang kukuh. "Program Singgah Sains Terengganu 2022 ini dapat memperkasakan pembudayaan STI tanpa mengira latar belakang dan pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha melahirkan modal insan yang inovatif, berdaya saing, berkemahiran dan berpengetahuan. “Program Singgah Sains sebenarnya telah dilaksanakan sejak 2014 dan memberi manfaat kepada lebih 15,000 rakyat di seluruh negara,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian program tersebut, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi Negeri, Maliaman Kassim. Katanya, Program Singgah Sains Terengganu 2022 disertai oleh Keluarga Malaysia dalam kalangan murid pra-sekolah, sekolah rendah dan menengah, pelajar institut pengajian tinggi, ibu bapa serta warga pendidik. “Ia dilihat mampu menjadi salah satu pemacu ke arah membina bakat STI, selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang memfokuskan kepada kemajuan ekonomi berasaskan pengetahuan. "PSN sentiasa menggalakkan kerjasama pintar dalam bidang STI yang dapat memberikan impak besar kepada masyarakat. Justeru, inisiatif dan kerjasama pintar antara PSN dan PSKT yang telah terjalin sejak sekian lama sehingga kini dilihat sebagai platform terbaik untuk merancakkan pelbagaiprogram pendidikan dan pameran interaktif," ujarnya. Pada majlis perasmian tersebut, pameran Mobile Thematic Exhibition (MTE) bertemakan 'Dunia Galaksi' turut diperkenalkan.  Sebanyak Sembilan set bahan pameran modular berkonsepkan fizik astronomi bernilai RM500,000 ditempatkan di PSKT bagi tempoh dua tahun.  Pameran Dunia Galaksi yang dibangunkan oleh PSN ini berkonsepkan fizik astronomi dengan keluasan 300 meter persegi. Ia dilengkapi dengan persekitaran interaktif, bahan pameran hands-on, teks saintifik dan maklumat berbentuk grafik bagi menarik minat orang ramai mengenai STI.  Melalui aplikasi ini, ilmu astronomi, fizik dan fenomena seperti Fasa Bulan, Peredaran Atmosfera, Hukum Newton, Kuiz Buruj dan banyak lagi dapat dipelajari dengan lebih menarik.
26 Jun 22
495
Kolej Ketengah Berpotensi Jadi Hub Pendidikan TVET
Kolej Ketengah Berpotensi Jadi Hub Pendidikan TVET
KUALA NERUS, 26 Jun - Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) mampu dijadikan sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi atau hub Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke arah inovasi berteknologi tinggi dan pembangunan teknikal saintifik. Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata ia berdasarkan tawaran program diploma dan sijil yang berteraskan kepada elemen TVET kepada pelajar bagi memenuhi kehendak pasaran yang telah bermula pada tahun 2021. “Ini secara tidak langsung Kolej Ketengah mampu melahirkan graduan yang berpotensi tinggi dalam kebolehpasaran graduan yang kompeten dan dilengkapi dengan kemahiran teknoprenuer, kreatif, versatile, hands-on dan inovasi teknikal supaya menjadi pilihan utama majikan pada masa akan datang. "Justeru itu, saya berharap mutu pengajaran dan pembelajaran di Kolej Ketengah dapat dikekal dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa agar kekal releven bagi memenuhi keperluan daripada stakeholder, iaitu sektor awam dan pihak swasta," ujarnya. Beliau berkata demikian di sidang media Majlis Konvokesyen Ke-3 Kolej Ketengah di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini. Pada majlid tersebut seramai 648 graduan masing-masing menerima diploma dan sijil yang terdiri daripada 404 orang penerima diploma dan 244 orang penerima sijil. Dalam perkembangan sama, Mahdzir berharap graduan Diploma ini dapat menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah berikutan mahu melahirkan lebih ramai guru tabika kemas mempunyai ijazah pendidikan awal kanak-kanak.      
26 Jun 22
487
Komited Lengkapkan Kaum Hawa Dengan Ilmu
Komited Lengkapkan Kaum Hawa Dengan Ilmu
KUALA NERUS, 25 Jun - Kerajaan negeri komited melengkapkan diri dalam kalangan kaum wanita Terengganu dengan pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang cukup bagi membolehkan mereka bersaing menghadapi kehidupan. Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Wan Nur Sakinah Din berkata, rakyat perlu peka perkembangan semasa kerana pada zaman era yang serba moden sekarang banyak berlaku  isu-isu berkaitan sosial dalam masyarakat. "Jadi kita bawakan ustazah dan asatizah yang hebat untuk kita dengar kalam-kalam mutiara ilmu  untuk ambil jadikan pedoman dalam kehidupan kita seharian. "Kita juga tak boleh menolak pentingnya peranan wanita yang menjadi tunjang dalam sesebuah keluarga untuk membentuk satu keluarga yang harmoni dan sejahtera," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Suara Hati Wanita di Dataran Pasar Malam, Gong Badak, pada hari ini. Menurutnya, seramai 600 orang kaum hawa hadir dalam program sebegini. Beliau menambah, pihak kerajaan begitu komited  mendekatkan agensi kerajaan  bersama masyarakat setempat.  "Dalam karnival untuk slot wanita ini ubtiuk angkat martabat dan institusi kekeluargaan  yang berprinsipkan keluarga Islam," ujar Sakinah.  Justeru itu, beliau berharap setiap program yang dilaksanakan dapat kaum Hawa mengambil peluang dan manfaat serta fokus apa yang dikongsi.
25 Jun 22
134
'Terengganu Turtle Camp 2022' Didik Pelajar Kepentingan Ekosistem
'Terengganu Turtle Camp 2022' Didik Pelajar Kepentingan Ekosistem
KEMAMAN, 17 Jun- Program 'Turtle Camp 2022' mampu memupuk kesedaran kalangan pelajar tentang kepentingan menjaga ekosistem marin yang akan memberi manfaat kepada seluruh kehidupan. Ketua Pegawai Eksekutif WWF, Sophia Lim berkata, di Terengganu acara terbabit melibatkan seramai 30 mahasiswa membabitkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Universiti TATI, Institut Latihan Pendidikan (RANACO) dan Universiti Zainal Abidin (UniSZA). "Ia telah diadakan sejak tahun 2015 untuk mendidik para pelajar ini bahawa penyu bukan sahaja merupakan warisan semula jadi dan ikon negeri Terengganu tetapi juga mempunyai peranan penting dalam ekosistem marin. Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara penutup program berkenaan. Kem itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar neger, Dr Azman Ibrahim, di Santuari Penyu Ma'daerah sini, pada semalam  Ujar Sophia, pewartaan pantai Ma'daerah sepanjang 1.7 kilometer dan tanah pamah bersebelahan sebagai santuari penyu adalah penting. "Keunikan yang ada di sini seharusnya dipelihara dan dilindungi, dan kepelbagaian biodiversitinya dihayati melalui program-program strategik seperti 'Terengganu Turtle Camp' ini," katanya. Dalam pada itu WWF turut mengiktiraf Geng Plastik Ija (GPI) sebagai pejuang baru komuniti di Terengganu dalam kempen mengutamakan kebersihan pantai.  
17 Jun 22
686
Cabaran PdPR Tak Patahkan Semangat Raih Keputusan Cemerlang Dalam SPM
Cabaran PdPR Tak Patahkan Semangat Raih Keputusan Cemerlang Dalam SPM
HULU TERENGGANU, 16 Jun – Wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia, dan mengubah segalanya termasuk kaedah pembelajaran dan pendidikan tidak pernah melemahkan semangat Muhammad Khairul Faiz Othman, 18 sehingga berjaya memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Mlaysia (SPM) 2021. Menurutnya, dia tidak pernah  terbayang akan  berada dalam sesi pembelajaran tanpa bersua muka dengan rakan sekelas seperti kebiasaan dan akhirnya pada penghujung tahun perlu menduduki peperiksaan yang terbesar dalam hidup.  “Sepanjang dua tahun yang mencabar menempuhi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), habis segala usaha dilakukan dan tawakkal sahaja dengan segala apa jua keputusan.  “Alhamdulillah berkat kesabaran dan kesungguhan  dalam menempuhi cabaran tersebut, membuahkan  hasil pada hari ini dengan memperolehi keputusan 11A,"ujarnya ketika ditemui pemberita. Terdahulu Pengetua SM Imtiaz YT Kuala Berang, Suzaiki Ali mengumumkan keputusan peperiksaan SPM Pelajar SM Imtiyaz YT Kuala Berang yang memperolehi Gred Purata Sekolah (GPS) 2.19 dengan seramai 63 orang calon SPM yang menduduki peperiksaan tersebut.  Turut hadir Bersama, YDP PIBG SM Imtiyaz YT Kuala Berang, Muhyidin Abdul Rashid merangkap Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu. Bagi Abdul Muiz Mohd Hashim yang turut memperolehi 11A, dia menzahirkan kesyukuran kepada Allah S.W.T dan berterima kasih kepada ibubapa dan guru-guru yang banyak membantu dan menyokongnya selama ini.  “Berkat saya menjaga adab dengan guru selain tidak meninggalkan bacaan Al-Quran, amalan sunat, banyakkan membuat latihan soalan peperiksaan tahun lepas, memohon doa dan memohon restu dari ibu ayah serta guru,"ujarnya. Dalam pada itu, salah seorang calon SPM yang mendapat 12 A, Nur Syamimi Mohd Nizak berkata kejayaan yang dikurniakan oleh Allah ini adalah hadiah teristimewa buat kedua ibubapa dan guru-guru.  “Pelbagai ujian terpaksa dihadapi sepanjang tempoh pandemik dan disaat sekolah mengalami banjir yang luar biasa dua hari sebelum peperiksaan SPM sebenar berlangsung sehingga terpaksa berpindah ke pusat alternatif untuk menduduki peperiksaan sangat menguji fizikal dan mental saya serta kawan-kawan. "Saya sangat bersyukur atas keputusan luar jangka dan ingin melanjutkankan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini,"katanya lagi.   
16 Jun 22
387
Tak Lokek Kongsi Ilmu Kunci Kejayaan Nadhirah
Tak Lokek Kongsi Ilmu Kunci Kejayaan Nadhirah
KUALA TERENGGANU, 16 Jun – Tidak lokek berkongsi ilmu dengan rakan-rakan menjadi kunci pelajar Sekolah Menengah Agama (A) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) mendapat 10 A+ dalam SPM 2021. Nurul Nadhirah Husna Shahmuzir, 18, bersyukur dan berterima kasih kepada ibu bapa dan guru kerana sentiasa memberi sokongan serta dorongan. "Antara kunci kejayaan saya adalah sentiasa berkongsi ilmu dengan rakan-rakan seperti mengajar mereka dalam pelajaran, kerana melalui kaedah itu kita akan menguasai lebih lagi sesuatu ilmu. "Setiap hari walaupun cuti jangan tinggalkan membaca al-Quran kerana ia penting untuk membentuk rohani kita ke arah yang lebih baik dan memudahkan lagi untuk ilmu masuk ke dalam diri kita," jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengisytiharan Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertempat di SMAASZA Batu Buruk di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat. Sementara itu, Muhammad Hanif Hishamuddin, 18, turut melahirkan rasa syukur kerana penat lelah sepanjang belajar pada musim pandemik Covid-19 berhasil memberi kejayaan dalam hidupnya. "Sentiasa mengulangkaji dan menyiapkan kerja sekolah kerana melalui itu kita akan mendapat keberkatan seterusnya berjaya dalam peperiksaan. "Kunci kejayaan saya ialah menghormati ibubapa dan guru kerana itu adalah sangat penting untuk mendapat restu daripada mereka," katanya.  
16 Jun 22
2081
Terengganu Bina Pusat Tafaqquh Tok Syeikh Duyong
Terengganu Bina Pusat Tafaqquh Tok Syeikh Duyong
KUALA TERENGGANU, 12 Jun- Pembinaan Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyong bernilai RM7 juta di Taman Tamadun Islam bakal memartabatkan ilmu turath dalam usaha melahirkan lebih ramai ilmuan dan ulama di Terengganu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penubuhan kampung ilmu itu juga adalah manifestasi kerajaan negeri bagi memperkasakan dan mengembangkan bidang pengajian Islam di negeri ini sama ada dalam pengajian secara moden atau tradisional. "Terengganu mempunyai susur galur ulama yang berperanan bukan saja di peringkat negeri Terengganu, bahkan di peringkat antarabangsa. Peranan mereka dalam masyarakat begitu banyak sejak sebelum kita merdeka lagi. "Oleh itu, kerajaan negeri memikirkan inilah masanya untuk kita mengangkat kembali nama-nama besar seperti Tok Syeikh Duyong umpamanya sepertimana hari ini, kita buat seminar mengenai peranan mereka dalam negeri Terengganu. "Ini salah satu cara yang kita laksanakan untuk mengembangkannya ke dalam masyarakat kita. Jika tidak anak-anak kita yang ada, generasi sekarang ini mereka akan lebih mengenali penyanyi-penyanyi moden, penyanyi daripada barat, Jepun tetapi tidak mengenali ulama-ulama tersohor ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Ulama Terengganu : Sumbangan Tok Syeikh Duyong kepada Negeri Terengganu dan Majlis Pecah Tanah Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyong di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini semalam. Ahmad Samsuri berkata, fasa pertama iaitu pembinaan yang bermula hari ini dijangka siap dalam tempoh kira-kira setahun enam bulan. Beliau berkata, pembinaan kampung ilmu itu akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan tiga fasa melibatkan kawasan seluas 19 ekar. Pusat pengajian itu juga bakal memuatkan bangunan kediaman dan pengajian bagi 100 pelajar selain bangunan komersial seperti chalet, restoran serta kompleks warga emas.  
12 Jun 22
952
Tahajud Kunci Kejayaan Tokoh Pelajar Cemerlang
Tahajud Kunci Kejayaan Tokoh Pelajar Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 7 Jun – Istiqamah mendirikan solat tahajud menjadi kunci kejayaan dua pelajar yang mendapat Anugerah Tokoh Ulul Albab dan cemerlang menghafaz 30 juzuk al-Quran. Muhammad Hidayatuliman Che Mohamad Zulkifly,18, bersyukur di atas kejayaan yang diperolehi dan berterima kasih kepada ibu bapa serta rakan-rakan kerana membantunya mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran. “Kita mestilah pandai membahagikan masa belajar dengan aktiviti lain dan hendaklah ‘work smart’ ketika belajar supaya memperolehi hasil yang memberangsangkan. “Di samping itu, semua perkara yang kita lakukan hendaklah secara istiqamah dan amalan istiqamah yang saya lakukan adalah solat sunat tahajud, hajat dan istikharah kerana hidup ini setiap perkara adalah pilihan yang baik mahupun buruk,” katanya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Yayasan Terengganu bertempat di Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu semalam. Bagi Anis Nafesa Alias,18, beliau bersyukur serta gembira kerana dapat membawa ibu dan kakaknya untuk naik ke atas pentas menerima Anugerah Tokoh Kecemerlangan Ulul Albab tersebut. “Sistem belajar saya bermula daripada tingkatan satu iaitu sentiasa mempelajari dan membiasakan diri untuk mempelajari sesuatu yang baru. “Amalan istiqamah yang saya lakukan melalui tunjuk ajar daripada guru-guru saya iaitu setiap pagi sebelum mempelajari sesuatu yang baru mesti memperbetulkan niat. "Selain itu, dengan mengamalkan solat sunat dhuha, tahajud dan hajat secara istiqamah," katanya. Ibunya, Nor Haslida Mohamad, 54, turut melahirkan rasa syukur di atas kejayaan anaknya dan merasakan berbaloi dengan usaha anaknya selama ini yang sentiasa mengutamakan pelajaran berbanding dengan perkara lain.    
08 Jun 22
1827