lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

12 Pasangan Ditahan Dalam Ops Bonceng
12 Pasangan Ditahan Dalam Ops Bonceng
MARANG,  21 Ogos - Seramai 12 pasangan ditahan penguatkuasa agama dalam operasi bersepadu sekatan jalan raya di Kampung Rhu Renggeh semalam kerana membonceng motosikal dan menaiki kereta bersama bukan mahram. Ketua Skuad AMAR Marang, Nasaruddin Samsudeng berkata, operasi itu disertai pihaknya dalam membantu dan memberi tenaga tambahan kepada pasukan trafik dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pejabat Agama Daerah Marang (Unit Penguatkuasaan). Ulas Nasaruddin, individu berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan seawal jam 8.30 hingga 11.30 malam. "Operasi diketuai Pejabat Agama Daerah Marang dibantu SKUAD AMAR dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dijalankan di bawah Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (2001) berkait perbuatan tidak sopan di tempat awam. "Jika sabit kesalahan individu tersebut boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi di sini, pada sabtu. Hadir sama dalam operasi, Setiausaha PAS Kawasan Marang Merangkap ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Penasihat Skuad AMAR Negeri Terengganu, Ustaz Fadhli Rahmi Zulkifli dan Pengarah Skuad AMAR Negeri Terengganu Ustaz Yusuf Abdul Hadi. Menurut Nasaruddin, kesemua pasangan turut diberi notis ini supaya hadir ke Pejabat Agama Daerah Marang untuk sesi khidmat nasihat. "Jadi, kesemua pasangan penunggang, pembonceng motosikal dan menaiki kereta yang ditahan dalam operasi itu telah diberi notis arahan hadir ke pejabat Agama Daerah bagi sesi khidmat nasihat. "Kita mengharapkan ibu bapa agar memantau pergaulan anak-anak terutama melibatkan keluar pada lewat malam," jelasnya. Menurut Nasaruddin, Skuad AMAR akan terus memberi komitmen dalam membantu Pejabat Agama Daerah Marang dalam operasi-operasi mendatang dari masa ke masa di daerah bagi membendung perlakuan dan aktiviti tidak bermoral daripada berleluasa.  
21 Aug 22
2395
Sultan Terengganu Sempurnakan Penutup Mahrajan Mualaf
Sultan Terengganu Sempurnakan Penutup Mahrajan Mualaf
BESUT, 19 Ogos- Sultan Terengganu, DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli menyempurnakan perasmian Penutupan Mahrajan Amal Islami Mualaf peringkat kebangsaan 2022 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Besut, hari ini. Keberangkatan tiba baginda turut diiringi Sultanah Terengganu, DYMM Sultanah Nur Zahirah bersama-sama DYTM Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu; Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja. Turut hadir menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman. Dalam majlis berkenaan, baginda turut mencemar duli menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang melalui acara-acara dipertandingkan iaitu Tilawah al-Quran, Hafazan al-Quran, Syarahan, Azan & Iqamah serta Nasyid.  Program yang dianjurkan secara dwi tahunan itu disertai semua negeri bertujuan mencungkil bakat saudara Muslim daripada pelbagai etnik dan kaum di negara kita. Bersempena dengan majlis penutup pada malam itu juga, Sultan Mizan turut berkenan menyempurnakan pemasyhuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Wilayah Timur (ILTIM) sebagai Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Besut. Pemasyhuran itu akan menjadi titik sejarah kerjasama strategik JAKIM selaku agensi penyelaras hal ehwal Islam bersama pihak berkuasa agama Islam Negeri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) khususnya dalam aspek pembangunan modal insan.               
19 Aug 22
650
Terengganu Kekal Rekod Cemerlang STPM
Terengganu Kekal Rekod Cemerlang STPM
KEMAMAN, 18 Ogos- Terengganu meneruskan rekod cemerlang dalam pencapaian Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) setelah mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.03, memperbaiki catatan PNGK 3.02 pada tahun lalu. Keputusan itu menyaksikan negeri Terengganu turut mengatasi PNGK kebangsaan, 2.96.  Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Jabtan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Azman Othman berkata, seramai 64 daripada 2,098 pelajar memperolehi semua A dengan PNGK 4.00. "Sebanyak 39 daripada 45 buah sekolah mengatasi PNGK kebangsaan, berbanding 40 buah sekolah tahun lalu. "Namun, 43 buah sekolah lulus penuh 100 peratus berbanding 41 buah sekolah tahun lalu," katanya ketika mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah mengumumkan keputusan STPM Terengganu 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan Suktan Ismail, di sini hari ini. Tambahnya, keputusan tahun ini juga menyaksikan calon luar bandar merekodkan kecemerlangan dengan PNGK 3.09, berbanding calon bandar pada PNGK 2.96. Dalam majlis tersebut, Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin dinobatkan sekolah terbaik dalam STPM dengan PNGK 3.52 selain mencapai 27.03 peratus bagi keputusan semua A penuh dan semua A tertinggi. Manakala, daerah Besut menjadi daerah terbaik dengan catatan PNGK 3.19 mengatasi PNGK kebangsaan pada 2.79.
18 Aug 22
2950
Saguhati Cemerlang SPM Motivasi Timba Ilmu
Saguhati Cemerlang SPM Motivasi Timba Ilmu
MARANG, 11 Ogos - Saguhati kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diagihkan oleh Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman baru-baru ini mampu memberi motivasi untuk menimba ilmu kepada pelajar pada masa akan datang. Tuan Faizah berkata, kejayaan pelajar SPM seramai 60 orang bagi tahun 2021 menjadi satu batu loncatan untuk terus bergerak ke hadapan dan seterusnya melangkah membina kejayaan demi kejayaan. "Jangan lupa, dalam mencipta kejayaan dalam bidang akademik, pasakkan juga pada diri anak-anak untuk menjadi insan yang hidupnya mencari redha Allah SWT. "Majlis ini juga bertujuan untuk meraikan anak-anak pelajar supaya terus terinspirasi untuk sentiasa menjadi muslim yang cemerlang. Disamping itu, kerajaan negeri juga sentiasa mencari inisiatif lebih-lebih lagi melibatkan isu pendidikan anak-anak Terengganu," jelasnya. Beliau berkata selepas menyerahkan sendiri anugerah saguhati kecemerlangan itu kepada pelajar SPM di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang baru-baru ini. Saguhati kecemerlangan itu diserahkan kepada pelajar di sekitar DUN Rhu Rendang yang mendapat keputusan cemerlang, 6A dan ke atas pada sesi tahun 2021 yang lalu. Menurutnya lagi, anak-anak yang sudah berjaya dengan cemerlang di peringkat seterusnya agar dapat pulang semula ke negeri ini, menaabur bakti kepada ibu bapa dan Negeri Terengganu yang dicintai ini. "Tahniah buat para ibu bapa dan guru yang tanpa jemu bersama anak-anak dalam perjuangan mereka menimba ilmu," katanya.
11 Aug 22
403
530 Murid Dapat Manfaat Menerusi 'Adopt A School Programme'
530 Murid Dapat Manfaat Menerusi 'Adopt A School Programme'
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Seramai 530 murid Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam (SKTAM) di sini, mendapat manfaat sebagai sekolah angkat Terengganu Inc menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 'Adopt A School Programme' bagi merealisasikan hasrat pembelajaran secara menyeluruh. Menerusi CSR tersebut, tiga projek iaitu Rapid English Programme, 'Karate Do Training 'dan 'Go Green Activity' disediakan khas buat murid darjah satu sehingga enam sekolah itu. Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, salah satu inisiatif di bawah 'Adopt A School Programme' adalah 'Go Green Activity' iaitu pembangunan dan penceriaan semula taman botani sedia ada di SKTAM dengan kerjasama penanaman dan sumbangan pokok oleh lebih 50 kakitangan Terengganu Inc. "Kami berharap dengan berlangsungnya 'Go Green Activity' di SKTAM, kami dapat memupuk kesedaran cinta akan alam sekitar dalam kalangan anak murid dan menggalakkan persekitaran yang kondusif buat keseluruhan warga sekolah," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran 'Adopt A School Programme' di sekolah tersebut, hari ini.  Turut hadir, Guru Besar SKTAM, Jalani Mat Desa. Dalam masa yang sama katanya, kakitangan Terengganu Inc turut mengambil bahagian dalam menderma dan membaca buku Bahasa Inggeris kepada para pelajar SKTAM bagi mengalakkan penguasaan bahasa tersebut, selaras dengan matlamat 'Rapid English Programme'. "Program pertama di bawah 'Adopt A School Programme' di sekolah ini iaitu 'Rapid English Programme' telah dilancarkan pada 20 Jun lalu oleh Pesuruhjaya Tinggi British Ke Malaysia, TYT Charles Hay yang bertujuan untuk pemerkasaan Bahasa Inggeris," ujarnya. Selain itu, menurut Burhanuddin kelas mingguan 'Karate Do Training' pula, hasil kerjasama bersama Persekutuan Karate Terengganu ditaja oleh Terengganu Inc bagi memupuk seni pertahankan diri di kalangan pelajar. "Menerusi tiga projek ini, kami berharap 'Adopt A School Programme' akan terus berkembang untuk memperkasakan anak-anak kita bukan sahaja dalam tema tertentu, tetapi merangkumi pembelajaran yang lebih holistik melalui ilmu pengetahuan yang relevan," katanya.
04 Aug 22
518
UniSZA Anjur Kempen Generasi Muda Bebas Rokok & Vape
UniSZA Anjur Kempen Generasi Muda Bebas Rokok & Vape
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menganjurkan program ‘Generasi Muda Bebas Rokok & Vape’ bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat sekitar tentang bahaya rokok dan rokok elektronik di Fakulti Perubatan UniSZA., baru-baru ini. Menurut pengarah program berkenaan, Amira Fayiza Abdul Rashid, antara objektif yang ditekankan ialah kesedaran untuk berhenti merokok di samping mempromosikan polisi ‘Generasi Penamat’.   “Pihak kami telah menjalankan kajian di sekitar Kampung Pantai Batu Buruk dan Kampung Ladang untuk memperkenalkan dan mendapatkan maklum balas daripada penduduk di situ berkenaan polisi ini.  “Laporan hasil daripada kajian tersebut telah dipamerkan dan dibentangkan dalam program ini serta akan menjadi asas kepada pelajar yang lain untuk menyambung kajian ini dengan lebih mendalam pada masa akan datang,” katanya. Pameran hasil kajian sokongan komuniti terhadap polisi 'Generasi Penamat' Beliau yang merupakan salah seorang penuntut di UniSZA turut berharap agar kempen ini dapat dipergiatkan lagi agar polisi ‘Generasi Penamat’ dapat menjadi perhatian masyarakat dalam negara dengan lebih meluas. Selain kempen, program yang diadakan turut diisi dengan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma, derma darah, pameran informasi kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), forum bersama pakar dan aktiviti serta pertandingan untuk kanak-kanak. Penutup program tersebut telah disempurnakan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Farhaana Husainy Hasbullah.  
31 Jul 22
670
Algeria Tawar Pengajian Percuma Buat Pelajar Terengganu
Algeria Tawar Pengajian Percuma Buat Pelajar Terengganu
KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Kerajaan Algeria melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menawarkan 10 tempat untuk pelajar Terengganu mengikuti program Pengajian Islam secara percuma. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan, dan Pendidikan Tinggi Negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, sebanyak lima tempat ditawarkan di Universiti Amer Abdul Qader, Constantine melalui surat yang diutuskan KPT, Algeria kepada Duta Besar Algeria dan dipanjangkan kepada Kementerian Luar Negeri Malaysia.  Katanya, berita gembira itu diperoleh susulan usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri membina hubungan dengan negara berkenaan. "Baki lima tempat lagi ialah di Universiti Algiers 1, Algiers iaitu hasil kunjungan kerja yang dilakukan oleh rombongan Kerajaan Negeri Terengganu ke Algeria, Mei lalu," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd. Rahman dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman, semalam. Jelasnya, proses bagi mendapatkan pengiktirafan MQA secara penaja diuruskan oleh Yayasan Terengganu (YT). Pengurusan penghantaran pelajar melalui Pusat Bahasa Arab Terengganu (PBAT), Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT). "Surat tawaran pengajian dijangka akan dikeluarkan pada pertengahan Julai 2022 bersesuaian dengan taqwim kemasukan pelajar tempatan Algeria iaitu pada September nanti," katanya. Tambahnya, semua pelajar akan menikmati pembelajaran percuma kerana semua ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Algeria.  
28 Jul 22
997
KSTREM22 Platform Kongsi Maklumat Inovasi Dan Penyelidikan
KSTREM22 Platform Kongsi Maklumat Inovasi Dan Penyelidikan
BESUT, 27 Julai- Jabatan Kecemerlangan Akademik dan Sektor Kecemerlangan Pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan (IPGKSM) menganjurkan Kolokium Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Peringkat Kebangsaan 2022 (KSTREM22) dengan kerjasama kerajaan negeri. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi Negeri, Maliaman Kassim berkata, KSTREM22 yang berlangsung selama tiga hari di IPGKSM dan berakhir hari ini merupakan platform terbaik bagi berkongsi idea, ilmu dan produk yang dihasilkan oleh warga pendidik dan pelajar seluruh Malaysia.  “Walaupun kita masih lagi berada dalam era endemik COVID-19, namun kolokium ini berjaya dilaksanakan. “Apa yang saya harapkan, resolusi daripada kolokium ini dapat diaplikasikan dalam proses PdPc STEM dalam kelas-kelas pengajaran dan pembelajaran di sekolah mahupun pusat pengajian tinggi,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Perasmian Penutup Kolokium PdPc STEM Peringkat Kebangsaan 2022 di Dewan Bendahara, IPGKSM, di sini, hari ini. Katanya, selari dengan hasrat untuk memperkasakan amalan dan penyelidikan dan inovasi dalam bidang pendidikan STEM dan robotik khususnya di kalangan pensyarah, guru dan pelajar, kerajaan negeri akan sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha dalam penghasilan inovasi dan penyelidikan pendidikan bukan sahaja di peringkat rendah malah sehingga ke peringkat tertinggi.  
27 Jul 22
343
Konvokesyen ILKBS Ke-17 Rai 216 Pelajar
Konvokesyen ILKBS Ke-17 Rai 216 Pelajar
MARANG, 17 Julai- Seramai 216 graduan Institut Latihan Kemahiran Belia Dan Sukan (ILKBS) diraikan dalam Majlis Konvokesyen ILKBS Zon Pantai Timur Ke-17 dalam suasana norma baharu, hari ini. Majlis konvokesyen yang berlangsung di Dewan Besar  Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai itu melibatkan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh, IKTBN Bachok, IKBN Kemasik, IKBN Pekan, IKBN Tanah Merah selain IKBN Wakaf Tapai sendiri. Graduan yang diraikan merupakan pelajar yang telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat sijil dan diploma masing-masing daripada bidang Teknologi Elektrik, Teknologi Awam, Teknologi Mekanikal, Teknologi Automotif serta Teknologi Tekstil Hospitaliti. Hadir menyempurnakan penyampaian sijil dan diploma tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia Dan Sukan, Ramona Mohd Razali. Ramona dalam ucapannya berkata, majlis konvokesyen ini amat bermakna kepada Kementerian Belia Dan Sukan kerana telah berjaya menyempurnakan amanah untuk memberikan peluang pendidikan dan latihan kemahiran (TVET) dalam pelbagai bidang kepada generasi belia. “Ia juga merupakan hari kemenangan istimewa kepada seluruh graduan yang telah membuktikan kegigihan dan usaha keras sepanjang mengikuti pengajian di ILKBS telah membuahkan hasil,” ujarnya. Dalam perkembangan sama katanya, kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih TVET menjelang tahun 2025 yang disediakan oleh 1,295 buah institusi dan penyedia TVET di Malaysia. “Ini merangkumi 640 institusi TVET awam di bawah seliaan sebelas kementerian, 22 institusi TVET kerajaan negeri dan 633 penyedia TVET swasta,” jelasnya. Tambah Ramona, keprihatinan kerajaan terhadap TVET diserlahkan dengan pembiayaan yang tinggi, di mana 80 peratus penyedia TVET awam menawarkan program TVET secara percuma. “Dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan, tidak mustahil TVET bakal menjadi pilihan utama pendidikan belia Malaysia,” jelasnya. Menurut beliau, TVET kini mejadi satu agenda penting negara untuk melengkapkan para belia ke dalam pasaran kerja termasuklah untuk mencipta pekerjaan sendiri. ILKBS yang merangkumi IKTBN, IKBN dan Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG) adalah pusat latihan kemahiran di bawah Kementerian Belia Dan Sukan yang diwujudkan bagi pembangunan modal insan negara khususnya dalam memenuhi keperluan dan kehendak tenaga kerja mahir industri di Malaysia.  
17 Jul 22
1165
'Azhari' Perlu Jadi Ejen Pendamai - Dato' Husain Awang
'Azhari' Perlu Jadi Ejen Pendamai - Dato' Husain Awang
KUALA TERENGGANU, 15 Julai- Para alumni Universiti Al-Azhar atau lebih dikenali sebagai Azhari perlu bertindak sebagai pendamai dalam kemelut pertikaian pemikiran antara golongan salafi dan Asya'irah Maturidiyyah. Ahli Dewan Negara, Senator Dato' Husain Awang yang juga alumni Al-Azhar berkata, Al-Azhar As-Syarif, sebuah institusi pendidikan tinggi yang ditubuhkan lebih 1500 tahun lalu telah mencetak generasi demi generasi yang menyumbang kepada kegemilangan Islam itu sendiri. "Dalam konteks Malaysia, Al-Azhar telah menjadi pusat naungan ilmu kepada lebih 15000 pelajar sejak ia ditubuhkan dan telah memberi sumbangan yang amat signifikan ke arah kemajuan tanah air melalui pelbagai bidang, antaranya ialah pendidikan, politik, ekonomi Islam dan lain-lain. "Sistem pendidikan yang bersifat terbuka bersesuaian dengan pendekatan demokrasi pendidikan yang memberi laluan kepada semua golongan untuk menuntut dan mendalami ilmu Islam. "Maka, keberuntungan yang diperolehi oleh para Azhari wajar dimanfaatkan sebaiknya dengan menyumbang mengikut bidang masing-masing sekali gus mengalirnya ilmu yang bermanfaat buat semua," pesannya dalam ucaptama Majlis Makan Malam bersama Alumni Al-Azhar di Primula Beach Hotel, hari ini. YB Arifin Deraman bersama para ahli syura WOAG Malaysia. Majlis anjuran Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG) itu diadakan bagi meraikan lebih 150 alumni Al-Azhar dari negeri Terengganu yang hadir. Jelasnya, hari ini masyarakat melihat timbulnya pelbagai isu yang mencalar kemuliaan Islam serta munculnya golongan yang tidak segan mengaku Muslim tetapi melakukan perkara yang bersalahan dengan tuntutan syariat Islam. "Justeru, para azhariyyun perlu memainkan peranan selaku golongan yang diberi kefahaman agama yang baik agar membimbing masyarakat dari terus dibelenggu dengan kekeliruan dan kesalahfahaman berkenaan Islam," katanya. Dalam pada itu, Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar (WOAG) Malaysia, Prof. Dato' Mohd Fakhrudin Abdul Mukti menyifatkan, pesanan tersebut perlu dipandang serius oleh para alumni. "Menjadi hasrat Al-Azhar sebenarnya untuk menyatupadukan umat Islam di seluruh dunia. "Ramai ulama dari Al-Azhar di seluruh negara sentiasa diseru untuk menyebarkan kefahaman dan konsep wasatiyyah Islam dalam mendamaikan umat Islam." katanya. Jelasnya, WOAG Malaysia yang ditubuhkan sekitar 2011 telah banyak melakukan program berkaitan pemikiran Islam dan menyampaikan konsep wasatiyyah dalam usaha menangani isu-isu ekstremisme dan keganasan dalam negara. "Antara tujuan ia ditubuhkan adalah untuk menjernihkan pemikiran-pemikiran dan ideologi ini dalam dunia Islam selain menyentuh isu-isu global yang berlaku hari ini,: katanya.        
15 Jul 22
768