Artikel "Pendidikan" Terkini
PETRONAS Taja 103 Pelajar Cemerlang Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober – Seramai 103 pelajar di negeri ini yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menerima penajaan pendidikan PETRONAS melalui Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) 2022.
Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, mereka adalah sebahagian 600 pelajar terpilih daripada 9,000 calon seluruh negara yang memohon penajaan tersebut pada tahun ini.
"Petronas kekal komited untuk terus menyumbang kepada pembinaan negara dan pembangunan bakat tenaga kerja kami melalui pelbagai program dan inisiatif selama lebih empat dekad.
“Kami percaya bahawa pendidikan berkualiti akan memperkasakan komuniti, seterusnya menyokong pembangunan sosio-ekonomi negara ke arah masa depan yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambahnya, sejak 1975, lebih 37,000 pelajar cemerlang Malaysia, termasuk 1,720 yang sedang mengikuti program PESP mendapat manfaat daripada tajaan bernilai lebih RM3.5 bilion.
“PESP 2022 menyaksikan jumlah tajaan tahunan tertinggi oleh PETRONAS dengan nilai pelaburan melebihi RM340 juta dalam pengajian asasi sehingga ijazah sarjana muda pertama dalam bidang kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, geosains, ekonomi, undang-undang serta kursus lain berkaitan industri.
“Mereka ditempatkan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan universiti-universiti tempatan dan luar negara seperti di Australia, China, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat,” katanya.
10 Oct 22
313
Pembudayaan Kehidupan Bersyariat Angkat Identiti Sebenar Terengganu
KUALA NERUS, 8 Oktober- Program Pembudayaan Kehidupan Bersyariat yang dilaksanakan Terengganu merupakan satu kesinambungan usaha kerajaan negeri untuk merealisasikan negeri itu sebagai sebuah negeri Maju, Berkat dan Sejahtera.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, membudayakan kembali kehidupan bersyariat merupakan satu jati diri dan identiti kepada kerajaan negeri Terengganu dan seluruh rakyatnya.
“Negeri Terengganu kita terkenal dengan negeri yang mengamalkan kehidupan bersyariat sejak sekian lama.
“Ini dibuktikan daripada catatan sejarah yang semua kita sedia maklum dengan penemuan Batu Bersurat di Kampung Buluh, Kuala Berang yang bertarikh pada 702 Hijrah bersamaan 1303 Masihi.
“Peraturan dan undang-undang berasaskan syariat yang terukir pada batu tersebut menggambarkan bahawa rakyat Terengganu telah pun hidup secara bersyariat Islam sejak lebih dari 700 tahun yang lalu,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Dataran Masjid Seberang Takir, kelmarin.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi, Dato’ Satiful Bahari bin Mamat dan ADUN Seberang Takir, Dato' Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Tambahnya, untuk mencapai sebuah negeri yang berkat maka seluruh komponen yang ada dalam negeri iaitu kerajaan, pentadbiran, jentera-jentera, agensi-agensi dan seluruh rakyat mestilah membudayakan syariat Allah SWT.
“Semoga Allah SWT memberikan rahmat dan berkat-Nya kepada kita semua dan kekuatan pada kita semua dalam usaha berterusan kita untuk memperjuangkan syariat Allah.
“Bukan sahaja di bumi Terengganu kita yang tercinta ini, bukan sahaja untuk negara yang kita kasihi ini, bahkan ke serata dunia. Insya-Allah,” katanya.
08 Oct 22
432
Terengganu Perkenal Biasiswa Khusus Buat Pelajar B40
PUTRAJAYA, 21 September – Kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu (YT) dan Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) memperkenalkan biasiswa khusus untuk pelajar cemerlang keluarga B40 bagi membolehkan golongan terbabit melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa bebanan kewangan.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship Programme tersebut direalisasikan menerusi anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
Katanya, program itu dijangka akan bermula dengan permohonan atas talian pada 26 September ini buat lepasan STPM, STAM, Matrikulasi dan Asasi mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.
"Kerajaan Negeri menyedari cabaran dihadapi ibu bapa bagi melanjutkan pelajaran anak-anak mereka iaitu kos pendidikan pengajian yang tinggi. Oleh itu, biasiswa ini dibentuk dan merangkumi pelbagai kos pendidikan seperti yuran pengajian, elaun sara hidup, elaun peralatan dan buku serta pemberian peranti IPad.
“Bagi manfaat jangka panjang, tajaan tersebut berperanan untuk pembangunan modal insan dengan bakal melahirkan golongan professional dan mengisi jurang pekerjaan di Terengganu, pada masa akan datang.
"Ini adalah kali pertama anak syarikat kerajaan negeri dan YT bekerjasama memberi biasiswa buat pelajar cemerlang, peruntukan ini adalah untuk permulaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Terengganu Inc memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan YT di Le Meridien, Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, biasiswa peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda (Ijazah pertama) berkenaan dibentuk bagi memastikan anak Terengganu yang berkelayakan dapat melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara.
"Biasiswa khas tersebut juga mampu mengurangkan beban kewangan bagi para pelajar yang mengambil jurusan releven seperti bidang Kepintaran Buatan (AI), Sains Data (Big Data), Undang-undang, Muamalat, Sains Kesihatan (Fisioterapi), Pengurusan Korporat dan Perladangan.
"Langkah ini direalisasikan dengan komitmen anak-anak syarikat Kumpulan antaranya TDM Berhad, Golden Pharos Berhad, GPQ Sdn Bhd, Tl Properties Sdn Bhd, Chicken Cottage Limited serta Permodalan Terengganu Berhad," katanya.
MoA itu ditandatangani oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanudin Hilmi Mohamed @ Harun; Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos Berhad, Dr. Mohd Zaki Hamzah; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn Bhd, Azmi Mat Ali; Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties, Khalilzan Mahmud dan Pengarah Permodalan Terengganu Berhad, Muhammad Ramizu Mustafa yang mewakili Terengganu Inc.
Manakala, Yayasan Terengganu diwakili oleh Pengarahnya, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham sambil disaksikan oleh Ahmad Samsuri, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.
21 Sep 22
2427
Dua Sekolah dari Kemaman Terima Anugerah Sekolah Lestari
KUALA NERUS, 21 September - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Baru Kerteh dan Sekolah Kebangsaan (SK) Mak Lagam menerima persijilan Sekolah Lestari sempena Anugerah Alam Sekitar (SLAAS).
Kejayaan itu menyaksikan kedua-dua sekolah terbabit menerima wang insentif sebanyak RM2,000.
Wakil Guru SMK Kampung Baru Kerteh, Rusliza Mohd Arsad berkata, penyertaan itu secara tidak langsung memberikan kesedaran kepada pihak sekolah dan generasi baru tentang kepentingan penjagaan alam sekitar.
"Antara idea yang kita ketengahkan ialah mengenai sistem tadahan air hujan, baja kompos, mewujudkan lorong Program Pencegahan Dadah (PPDa) dan juga mengadakan laman sejahtera.
"Kita telah memulakannya pada tahun lepas, selepas ini akan banyak lagi aktiviti yang akan dibuat, antaranya akan melabelkan pokok-pokok tanaman dan sebagainya dalam usaha untuk melestarikan sekolah serta menjaga alam sekitar.
"Sewajarnya program ini diadakan secara berterusan supaya nilai-nilai murni dapat dipupuk dalam kalangan diri pelajar agar sebati, apa yang dapat di sekolah tidak berakhir begitu sahaja sebaliknya menjadikan mereka lebih bertanggungjawab apabila berada di luar dari sekolah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika Program Sambutan Hari Ozon Sedunia 2022 dan Majlis Penganugerahan Sekolah Lestari Peringkat negeri, di Dewan Cenderawasih, Pejabat Daerah Kuala Nerus, di sini, semalam.
Perasmian program berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak.
Sementara itu, Guru Besar Sk Mak Lagam, Siti Mariam Mat Zain sangat berterima kasih kepada Jabatan Alam Sekitar kerana menganjurkan program demikian dan turut menyatakan perasaan teruja kerana telah diberikan anugerah tersebut.
"Ini merupakan satu penghormatan, ivovasi yang telah kami lakukan ialah mewujudkan ruang-ruang pemimpin-pemimpin Islam, karyawan Islam yang boleh diakses melalui kad khas dan lampu-lampu yang telah dicipta melalui sistem yang kita ada dan setiap murid yang berjaya menghasilkan sesuatu akan dapat bermain satu permainan iaitu membawa treler secara maya.
"Program ini kita libatkan semua murid, guru dan seluruh komuniti dengan mengadakan pembelian barang-barang kitar semula seperti botol plastik, pakaian terpakai, minyak terpakai, barang e-waste yang kemduiannya kita jual balik dan gunakan untuk membantu menjayakan setiap program ini dalam masa yang sama menanamkan semangat mencintai alam sekitar.
"Untuk peringkat kebangsaan nanti kami akan buat yang terbaik untuk berjaya menjadi johan pula di peringkat tertinggi itu nanti,"ujarnya.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Unit Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Hashimi Ismail yang juga telah bertindak selaku ahli panel penilai menyatakan beberapa kriteria telah ditepati oleh dua sekolah berkenaan yang melayakkannya menerima anugerah lestari itu.
"Iaitu dinilai dari sudut aktiviti kurikulum dan Kokurikulum yang melibatkan guru, murid dan semua pihak sekolah iaitu melibatkan kegiatan di dalam kelas serta di luar bilik darjah, usaha penghijauan yang dilakukan serta terdapat beberapa elemen khas yang ditampilkan,"ujarnya.
21 Sep 22
2541
KIAM Cungkil Bakat Pelapis Kepimpinan
KEMAMAN, 6 September - Kem Impak Belia Darul Iman (KIAM) bagi peringkat Dewan Undangan Negeri Permaisuri telah selesai diadakabaru-baru ini dengan penyertaan seramai 77 orang peserta.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, KIAM merupakan kem yang sangat baik dalam membentuk bakat pelapis kepimpinan melalui pelbagai modul dan latihan yang diikuti oleh para peserta.
"Tahniah diucapkan kepada peserta yang terpilih menyertai kem ini, dalam ribuan anak muda adik-adik terpilih sebahagian daripada mereka bermakna inilah peluang yang terbaik yang mesti direbut.
"Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada Akademi Kepimpinan Al-Fateh yang telah mengendalikan kem ini dengan sebaik mungkin bermula dari awal sehingga akhir,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup di Darul Iman Training Centre (DITC), Teluk Kalong, Kemaman.
Terdahulu kem yang bermula Sabtu lepas menghimpunkan peserta berumur antara 18 sehingga 22 tahun.
Hadir sama, Sulaiman Sulong, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan yang menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah.
KIAM yang mensasarkan penyertaan anak-anak remaja merupakan platform terbaik dalam membentuk pembangunan Belia Terengganu yang sejahtera dan bakal memberi impak terbaik dalam aspek agama, masyarakat dan negara.
07 Sep 22
391
SMK Tengku Mahmud Cipta Kertas Daripada Batang Pisang
BESUT, 1 September - Lima orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud yang mencipta kertas daripada batang pokok pisang mendapat pengiktirafan dunia apabila memenangi Pertandingan Inovasi T'the 7Th International Invention Inovation Competition In Canada (ICAN 2022).
Guru Pembimbing pelajar terbabit, Taksiah Yaakun berkata, dua anugerah telah diperolehi melalui inovasi itu iaitu International Special Award World Invention Intellectual Property Associations (WIIPA) dan Best Young Inventors ICAN 2022.
Katanya, cetusan idea itu terhasil selepas melihat hutan dan kawasan tadahan hujan perlu diselamatkan daripada terus mengalami kemusnahan begitu sahaja.
"Setelah melihat pokok pisang yang selama ini ditebang untuk diambil buahnya sedangkan batangnya dibuang begitu sahaja, maka kami terfikir cara untuk hasilkan produk yang baru dan mendatangkan kehunaan kepada manusia serta dapat menyelamatkan dunia daripada pencemaran.
"Saya dimaklumkan 200 negara telah mengambil bahagian, dan alhamdulillah kami merasa bangga dengan kejayaan yang telah kami capai di peringkat antarabangsa ini yang mana ini merupakan kali ketiga kami menyertai pertandingan seumpama ini di peringkat tertinggi seperti ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Mohd Nur Khuzaini A.Rahman, di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut katanya, sejak idea itu tercetus bermula tahun 2019 pihaknya sentiasa melakukan penambahbaikkan.
"Kami sentiasa berfikir bagaimana untuk meningkatkan inovasi ini sehingga dapat menghasilkan produk yang sangat bagus, kami mencipta pelbagai produk seperti patung wayang kulit, menghasilkan kotak, bunga kertas, kertas warna dan sebagainya.
"Pelajar ini kami pilih dari kalangan mereka yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Englis dengan baik serta mempunyai kreativiti yang boleh kami ketengahkan," ujarnya.
Sementara itu, Nurkhuzaini mengakui teruja dan tertarik dengan hasil inovasi yang dicipta oleh pelajar terbabit dan pihak kerajaan negeri berbangga atas pencapaian tersebut.
"Kalau selama ini jika kita hendak hasilkan kertas terpaksa tebang pokok hutan, jadi kita akan melihat sejauh mana perkara ini boleh dikembangkan dan jika sekiranya ada ruang dan peluang untuk ia dikomersialkan, pihak kerajaan akan mejadi pemudahcara.
"Saya tengok apa yang dipamerkan tadi banyak perkara boleh dbuat seperti 'key chain', dapat buat bendera, ia merupakan suatu perkembangan yang baik hutan pun selamat, kerana pokok pisang ini bukan kategori pokok hutan," ujarnya lagi.
30 Aug 22
989
Dr Sam Sumbang RM 50,000 Anugerah Kecemerlangan Pelajar UKM
PUTRAJAYA, 30 Ogos - Menteri Besar Terengganu menyumbang sebanyak RM 50,000 kepada Pusat Alumni Universiti Kebangsaan (UKM) untuk anugerah kecemerlangan pelajar Universiti tersebut.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sumbangan yang diberikan itu merupakan sumbangan peribadi daripada seorang bekas alumni.
“Perlu bagi saya untuk menyumbangkan sesuatu buat pembentukan anak-anak pelajar hari ini kerana ikatan saya sebagai bekas pelajar UKM.
“Saya pernah menjadi tenaga pengajar di sesebuah universiti dan tahu akan suasana dan cabaran dalam mendidik pelajar-pelajar,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Untuk Anugerah Kecemerlangan Pelajar UKM bertempat di Gallery 4, Le Meridien, Putrajaya, semalam.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar.
Tambah Dr Samsuri, cabaran pembelajaran setiap generasi berbeza serta berubah mengikut peredaran zaman meliputi segalanya bagi membentuk meraka yang berjaya.
"Suasana dan hubungan kita di peringkat universiti sangat penting dalam menentukan siapa kita sekarang.
"Namun begitu, setiap alumni memiliki cara yang berbeza untuk menyumbang kepada Pusat Alumni untuk pembangunan pelajar melalui kewangan,nasihat dan sebagainya," katanya.
29 Aug 22
332
Terengganu Peruntuk RM7.16 Juta Taja Pelajar Belajar Di UK, Jordan
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos- Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM7.16 juta bagi tajaan biasiswa kepada 16 anak Terengganu yang cemerlang untuk menyambung pengajian peringkat ijazah pertama ke United Kingdom (UK) dan Jordan bagi tempoh pengajian antara tiga hingga lima tahun.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada jumlah itu seramai empat pelajar adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 yang baru sahaja menamatkan pengajian A-Level dan akan menyambung pengajian ke UK.
“Manakala 12 pelajar lepasan SPM 2021 pula akan ke Jordan dimana kesemua mereka yang juga penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang (SPC) dijadualkan berangkat ke UK dan Jordan pada pertengahan September ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri Dan Bantuan Persediaan Penerima Biasiswa SPC Luar Negara Tahun 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, sejak Tabung Biasiswa SPC Negeri Terengganu dilancarkan pada 2019, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta setahun untuk membiayai pengajian anak-anak Terengganu yang cemerlang bagi meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Pertama sama ada dalam dan luar negara.
“Pemberian biasiswa ini banyak membantu pelajar cemerlang khususnya di kalangan B40 serta M40 dan sekaligus merangsang semangat anak-anak pelajar untuk terus cemerlang dalam peperiksaan SPM, STPM dan STAM.
“Sehingga kini, seramai 601 pelajar cemerlang lepasan SPM, asasi/matrikulasi, STPM dan STAM telah menerima skim biasiswa ini bagi mengikuti pengajian peringkat persediaan dan ijazah pertama dalam pelbagai bidang.
“Daripada jumlah itu, seramai 516 pelajar mengikuti pengajian di universiti awam dalam negara manakala selebihnya mengikuti program pengajian luar negara dalam bidang-bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, kejuruteraan, sains, perakaunan dan al-Quran Wal Qiraat,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan negeri melalui kolaborasi antara YT dan Terengganu Inc (TI) juga bersetuju menubuhkan Tabung Biasiswa YT-TI bagi menaja pelajar cemerlang lepasan SPM/STPM serta lepasan asasi/matrikulasi dalam pelbagai bidang peringkat Ijazah Pertama.
Katanya, sebagai permulaan pada tahun ini, TI bersama anak-anak syarikat akan menyumbang sebanyak RM500,000 kepada tabung berkenaan dengan tajaan akan diberikan kepada bidang-bidang tertentu.
24 Aug 22
564
UMT Mahu Muncul IPT Pertama Terengganu Jadi Pusat APEL
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mahu muncul sebagai universiti pertama di Terengganu yang menjadi Pusat Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata, agenda UMT itu bakal memperluas akses dalam kalangan masyarakat di sekitar negeri berkenaan untuk meningkatkan kelayakan akademik masing-masing.
Beliau berkata, usaha UMT itu selaras dengan inisiatif pendidikan fleksibel yang diuar-uarkan dan diusahakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), selain menyemarakkan lagi agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.
“MQA akan sentiasa memberi sokongan, khidmat rundingan dan panduan kepada IPT untuk melaksanakan APEL yang mana pasaran APEL ini sangat besar kerana kira-kira 60 peratus tenaga kerja di Malaysia layak untuk mengikutinya,” katanya selepas sesi perkongsian pada Sesi Jelajah MQA @ Zon Timur yang dihadiri lebih 100 peserta dari 70 IPT dari sekitar Pahang, Kelantan dan Terengganu di UMT, semalam.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Prof. ChM. Dr. Marinah Mohd Ariffin; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa; Pengarah Kanan (Akreditasi) MQA, Mohd Khairul Nizam Ibrahim; Pengarah Pusat Pengurusan dan Penjamin Kualiti UMT, Mohd Nor Shokri Abd. Rahman dan Pengarah Bahagian Akreditasi (Sains dan Perubatan) MQA, Abdul Saman Taip.
Sesi jelajah itu menjadi antara program berfokus MQA untuk bertukar pandangan secara terus dengan pihak IPT dalam konteks jaminan kualiti pengajian tinggi di samping mempromosi inisiatif PSH seperti APEL.A, APEL.C, APEL.Q dan Micro-Credentials serta menggalakkan lebih banyak IPT menjadi Pusat Penilaian APEL.
Mengulas lanjut, Khairul Salleh berkata, buat julung kalinya MQA telah mengadakan Hari Mesra Pelanggan (HMP) di lokasi luar bagi memberi ruang dan peluang kepada institusi pengajian tinggi (IPT), institusi pendidikan dan pihak berkepentingan yang berhampiran yang ingin memperoleh maklumat berkaitan perkhidmatan yang disediakan oleh MQA.
Beliau berkata, selalunya Hari Mesra Pelanggan MQA diadakan melalui kaedah perjumpaan secara bersemuka bersama-sama IPT tempatan di Mercu MQA, namun kemudiannya ditukar kepada mod secara dalam talian semasa penularan wabak Covid-19 sebelum kembali secara bersemuka pada tahun 2022.
“Penganjuran HMP buat julung-julung kali di lokasi luar di UMT ini menunjukkan tahap komitmen tinggi MQA dalam usaha memacu pembangunan dan kecemerlangan pengajian tinggi di negara ini,” katanya. – UTUSAN
24 Aug 22
260
SMK Guntong Terima Insentif Kebitaraan Projek Nanas Terengganu
BESUT, 24 Ogos - Sekolah Menengah Kebangsaan Guntong dari daerah Setiu menerima insentif Projek Kebitaraan daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Negeri Terengganu atas pelaksanaan program tanaman nanasnya.
Sekolah tersebut bakal menerima bantuan berupa bahan tanaman (sulur) serta input pertanian berupa 1,000 polibeg, peralatan pertanian, media tanaman (Top Soil) dan khidmat nasihat kaedah tanaman secara polibeg.
Selain itu, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Hulu Terengganu serta Balai Bomba dan Penyelamat (BOMBA) Setiu turut menerima bantuan 1,500 polibeg di bawah projek berkenaan dalam gimik penyerahan pada majlis penutup Kursus Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas dan Agropreneur Muda 2022 di Bukit Keluang Beach Resort, hari ini.
Pengarah LPNM Terengganu, Nor Hidayah Ab Halim berkata, insentif berkenaan adalah program transformasi teknologi bagi melaksanakan program tanaman nanas yang melibatkan komuniti setempat seperti Sekolah/Taman Perumahan/Jabatan/Institusi Awam dan Swasta.
"Kebitaraan ini untuk menggalakkan agensi, sekolah dan lain-lain menanam nanas, bukan secara komersial sebaliknya, bagi tujuan modul pembelajaran, promosi, landskap serta pengenalan kepada umum berkenaan pengurusan tanaman nanas.
"LPNM Terengganu menerima peruntukan sebanyak RM10,000 pada tahun untuk kebitaraan yang mana kita berikan berdasarkan permohonan kelulusan daripada setelah pemantauan dilaksanakan," katanya.
Jelasnya, LPNM juga sentiasa mengadakan kursus dalam usaha mendidik penanam-penanam baru bagi mencapai matlamat melahirkan lebih ramai usahawan nanas.
"Objektif kursus hari ini, kita hendak melahirkan lebih ramai pengusaha dan memberi ilmu kepada penanam nanas, terutama peserta baru yang mendapat kelulusan daripada kita.
"Setakat ini, kita merekodkan sebanyak 300 hektar tanaman nanas di seluruh Terengganu yang mana majoritinya di Setiu.
"Kita dalam proses tambah peserta dan keluasan tanaman dalam sekitar 110 ekar bagi tahun hadapan dalam usaha memenuhi keperluan dan permintaan dalam negeri," katanya.
Tambahnya, setakat ini tidak berlaku lambakan buah nanas dalam Terengganu walaupun ketika berlakunya sekatan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.
Dalam kursus yang berlangsung selama tiga hari itu, seramai 60 penanam nanas dari seluruh Terengganu hadir menyertainya.
24 Aug 22
488