Artikel "Pendidikan" Terkini
 
                                            
                            Kerajaan Negeri Utamakan Pendidikan Selari Teras Induk PITAS 2030
                        
                        
                            KUALA NERUS, 13 November - Bidang pendidikan sentiasa menjadi fokus utama kerajaan negeri dan ia selari dengan salah satu teras Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) yang memfokus pembangunan insan melalui pemantapan pendidikan.
Pengerusi Jawatankuasa pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, ia terbukti dengan penubuhan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Darul Iman (SMIDI).
Katanya, pembangunan islam berteraskan prinsip Islam akan melahirkan masyarakat yang intelek dan berdaya saing perlu diyakini.
"Saya juga berharap agar seluruh warga Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu termasuk Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, pengurusan sekolah dan guru-guru akan dapat terus memanfaatkan segala peluang yang ada bagi bekerjasama dan berusaha dengan lebih tekad.
"Dengan tekad yang bulat dan semangat yang teguh, kita mampu memastikan sekolah di negeri ini akan terus melakar kejayaan dalam pelbagai bidang, sama ada akademik, ko-kurikulum mahupun bidang lain yang akan mengangkat nama Terengganu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hafl Al-Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM Tahun 2023 di Dewan Utama, Al-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), di sini, semalam.
Menurut Satiful, majlis yang diadakan itu merupakan satu penghargaan yang amat bermakna meraikan kejayaan 120 orang pelajar yang mencatat keputusan paling cemerlang di dalam peperiksaan terbabit.
"Kita mengiktiraf kejayaan dan kecemerlangan anak-anak pelajar yang telah berusaha gigih dalam pelajaran mereka.
"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang menerima penghargaan pada hari ini.
"Kejayaan ini bukan sahaja hasil usaha pelajar yang tidak pernah putus asa tetapi juga berkat doa ibu bapa serta bimbingan guru-guru yang tidak pernah jemu mendidik dan membimbing," ujarnya.
                        
                        
                                13 Nov 24
            
                    
                                518
            
             
                                            
                            Norimrana, Nesalata Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UniSZA
                        
                        
                            KUALA NERUS, 11 November- Norimrana Mujahid Ali, 24, dipilih sebagai penerima  Anugerah Pelajaran Diraja dalam Majlis Idul Ilmi (Istiadat Konvokesyen) Ke-16 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian itu berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.82.
Selain Norimrana, turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah Nesalata A/P Gunasekaran,24, iaitu graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan dengan Kepujian bersama pencapaian PNGK 3.71.
Norimrana berkata, beliau menanam tekad dari awal untuk merebut angerah tertinggi universiti itu untuk dihadiahkan kepada kedua ibu bapanya.
Katanya, bapa, Mujahid Ali Mohd Shafi, 58, seorang penjaja kecil manakala ibunya, Siti Noor Omar, 48, hanya suri rumah dan pengiktirafan yang diterimanya pada hari ini bukti kesungguhannya untuk mengubah nasib keluarga.
"Disebabkan kedua ibu bapa saya bukan orang yang berpendidikan (buta huruf), nak baca tulis pun tidak pandai, ia menjadi pembakar semangat kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh.
"Dengan kejayaan ini, ia merupakan hadiah terindah buat ibu bapa saya sekali gus membuktikan bahawa walaupun dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan namun ia bukan penghalang untuk seseorang itu meraih kecemerlangan dalam pendidikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang pertama Majlis Idul Ilmi (Istiadat Konvokesyen) Ke-16 UniSZA di sini, semalam.
Norimrana berkata, untuk mencapai kejayaan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan banyak pengorbanan.
“Antara cabaran yang saya lalui adalah terpaksa memulakan pengajian semester pertama dan kedua secara dalam talian kerana kekangan pandemik Covid-19 ketika itu yang menghalang pembelajaran secara bersemuka.
“Sepanjang empat tahun belajar di UniSZA, saya juga jarang balik ke kampung di Tumpat ketika cuti semesta sebab mahu memberi tumpuan terhadap pelbagai aktiviti kokurikulum dan sukan di universiti,” ujar anak ketiga dari lima beradik itu yang kini bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat terkemuka di ibu negara.
Sementara itu, Nesalata A/P Gunasekaran pula berkata, berbekalkan kecemerlangan yang diraihnya itu, beliau berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sehingga Doktor Falsafah (PhD).
 
                        
                        
                                11 Nov 24
            
                    
                                298
            
             
                                            
                            225 Pelajar Terima Sumbangan Ke IPT
                        
                        
                            BESUT,10 November - Seramai 225 pelajar telah menerima sumbangan bagi membantu meringankan beban mereka yang berjaya melanjutkan pengajian tinggi ke Institut Pengajian Tinggi Awam atau swasta (IPTA/IPTS).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, berkata inisiatif diberikan itu sebagai peransang agar kesemua mereka yang akan menyambung pengajian tinggi itu bersungguh-sungguh menimba ilmu di menara gading.
"Pendidikan adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah. Saya berharap agar semua pelajar dapat menggunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya dan terus berusaha mencapai kejayaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada para penerima sumbangan tersebut di Dewan Sivik Kampung Baharu, di sini, baru-baru ini.
Ujarnya, walaupun ada pelajar yang tidak hadir kerana telah memulakan pengajian namun bantuan itu tetap diberikan melalui ibu bapa mereka.
"Saya memohon maaf diatas kelewatan sumbangan ini dan juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima atas pencapaian cemerlang dan berharap agar sumbangan ini akan dapat meringkan beban kewangan.
"Serta menjadi pendorong untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang," ujarnya.
Dalam pada itu Salah seorang penerima sumbangan, Ahmad Ikram Zulkefli, yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Islam di University Sains Islam Malaysia (USIM) berkata sangat menghargai sumbangan yang diberikan itu.
"Saya amat berterima kasih kepada Azbi Salleh atas sumbangan ini. Ia benar-benar membantu saya dan keluarga dalam persediaan melanjutkan pengajian. Saya akan berusaha untuk mencapai kejayaan demi membanggakan keluarga dan masyarakat,"katanya.
 
                        
                        
                                11 Nov 24
            
                    
                                188
            
             
                                            
                            Festival Kaligrafi Islam Kebangsaan Kembali Martabatkan Seni Khat
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 4 November – Festival kaligrafi Islam yang diadakan di Terengganu mampu mengembalikan martabatkan seni khat di negara ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), Lothman Awang berkata, program ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk melihat  warisan khat terus diperkasakan di Terengganu.
Katanya, ia juga memberi ruang kepada orang ramai menonjolkan bakat serta menyemarakkan minat generasi muda terhadap seni tulisan Islam yang kian dilupakan.
“Objektif utama festival ini ialah memberi ruang dan peluang kepada murid-murid sekolah untuk menyerlahkan bakat serta kemampuan mereka melalui pertandingan yang dianjurkan.
“Di samping menghargai kesenian Islam iaitu tulisan khat supaya tidak luput ditinggal zaman dan mengenalpasti pelapis yang setaraf dengan penulis-penulis antarabangsa,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di Festival Kaligrafi Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan 2024 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, pada hari ini.
Menurutnya program tersebut merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) dengan kerjasama Persatuan Seni Khat Terengganu (PIKAT).
Katanya, seramai 245 orang penyertaan dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak menyertai festival itu.
Ujarnya, pertandingan berkenaan membabitkan tiga kategori iaitu penulisan khat spontan terbuka dewasa, penulisan khat spontan rendah dan menengah serta penulisan karya siap khat kanvas dan khat batik.
“Cetusan idea festival ini pada tahun ini adalah dicetuskan oleh Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat sendiri supaya diadakan bagi kita menghidupkan kembali aktiviti ataupun penghayatan seni khat terutama di kalangan masyarakat di seluruh Malaysia.
“Pengisian program kali ini ialah kita jemput pakar dari Arab Saudi dalam slot Bengkel Khat Thuluth yang disampaikan oleh Al Mukarram Tn. Abd. Abd Al-Majid Muhammad Abdullah Al-Ahdal dan sebelah petang kita ada bengkel iaitu kaligrafi khat Arab-China,” ujarnya.
Beliau menambah, karnival ini merupakan kali ketiga diadakan di peringkat kebangsaan dan selepas 2012 dan pada tahun 2014.
Negeri Terengganu juga jelasnya pernah menjadi tuan rumah di peringkat antarabangsa. 
Lothman menambah, bagi menarik minat generasi muda terhadap seni khat, JPINT dalam usaha menubuhkan kelab kaligrafi di Sekolah Rendah dan Menengah di bawah pentadbiran mereka, termasuk di 12 buah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI). 
“Sekarang ini kita ada lebih kurang 12 buah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) akan memperkenalkan di kalangan  anak-anak pelajar  yang masih di sekolah rendah untuk tanam  minat mereka dari segi khat," katanya.
Tambah Lothman lagi, JPINT akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Muzium Negeri Terengganu, SUK, dan jabatan-jabatan berkaitan untuk memperkenalkan seni khat kepada masyarakat umum.
“Mungkin selepas daripada ini perancangan JPINT akan mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi luar terutama dengan pihak sekolah melalui pejabat Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan juga melalui agensi-agensi yang melibatkan masyarakat luar," katanya.
                        
                        
                                04 Nov 24
            
                    
                                427
            
             
                                            
                            MTT Perkenal Kursus Untuk OKU Penglihatan Bina Kemahiran
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 3 November – Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah (MTT) Darul Iman memperkenalkan kursus khas bagi Orang Kelainan Upaya (OKU)  melalui Markaz Tahfiz OKU Masalah Penghilatan (MTOKUMP-MTT) demi memberi peluang kemahiran buat golongan terbabit.
Seorang tenaga pengajar, Mohammad Ifram Abdul Rahman, 24 berkata, program tahfiz khusus OKU penglihatan itu mengfokuskan potensi mereka dalam bidang agama dan kemahiran vokasional, sekali gus membuka ruang interaksi lebih dekat dengan masyarakat.
“Kita nak orang yang buktikan orang yang bermasalah penglihatan ini bukan tak boleh buat apa-apa. Kita nak mereka keluar ke dalam masyarakat sekali gus membuktikan mereka boleh berbakti kepada masyarakat.
"Kita mahu melahirkan pelajar yang bukan sahaja cekap dalam ilmu al-Quran, tetapi juga mampu memberi manfaat kepada masyarakat sebagai imam atau bilal,” jelasnya.
Beliau yang telah menjadi tenaga pengajar selama tiga tahun berkata demikian ketika ditemui pihak media di perkarangan MTT baru-baru ini.
Menurutnya, program itu turut memberikan peluang kepada golongan cacat penglihatan berumur antara 18 hingga 23 tahun untuk mendalami al-Quran, termasuklah menghafal kesemua 30 juzuk.
Katanya, setakat ini terdapat tujuh orang  pelajar yang belajar dari 9 pagi sampai pukul lima petang.  
“Di samping mereka belajar Braille selepas pandai kita bagi hafal Al-Quran pula, dari juzuk satu sampai 30.  Memang target kita nak suruh mereka jadi hafiz," ujarnya.
Selain aspek pengajian agama katanya, pelajar tahfiz ini juga dilatih dalam bidang refleksologi sebagai salah satu cara untuk berdikari.
 
Beliau menambah, kebolehan refleksologi ini diperoleh melalui latihan di kolej vokasional di Johor, dan pada bulan November ini, satu pusat refleksologi akan dibuka di premis tahfiz tersebut.
“Kami akan membuka perkhidmatan urutan setiap hujung minggu bagi memanfaatkan kemahiran yang mereka miliki, sambil memberi mereka ruang untuk berinteraksi dengan masyarakat.
“Di samping mereka belajar pada hari biasa, Jumaat Sabtu itu mereka boleh membuka perkhidmatan mengurut dan kita akan hebahkan tempat mengurut di sini,” ujarnya lagi.
 
                        
                        
                                03 Nov 24
            
                    
                                218
            
             
                                            
                            Karnival Tarik Minat Pelajar Tahfiz Dalam Bidang Sains
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Penganjuran program Hari Kokurikulum dan Rehlah Sains buat julung kali di adakan di Ma'ahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman (MTT), Tok Jiring bertujuan menarik dan memperkukuhkan minat pelajar tahfiz dalam bidang sains dan teknologi.
Menurut Ketua Sektor Akademik MTT, Nor Effendi Mahyiddin berkata, acara yang diadakan pada hari ini adalah  kerjasama Pusat Sains Negara Terengganu (PSNT) dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT).
"Alhamdulillah ini merupakan kali pertama kita diberi peluang berkolaborasi dengan pihak PSNT untuk menarik minat orang ramai terutama pelajar tahfiz dalam bidang sains.
"Apabila ada program macam ini ia membuka satu ruang kepada pelajar untuk mereka mengenali bidang sains dengan lebih menarik,"  jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di perkarangan MTT, pada hari ini.
Menurutnya, program itu menyediakan pelbagai aktiviti interaktif bagi memberi peluang kepada pelajar tahfiz untuk mendalami ilmu sains melalui pameran alat-alat sains oleh PSN, termasuk gerai pameran atom negara dan bas pameran sains.
Selain itu katanya, aktiviti lain seperti kereta lumba tenaga suria dan permainan menggunakan tenaga belon turut menarik minat pelajar untuk memahami konsep sains dengan lebih dekat serta pencerapan matahari yang dikelolakan oleh  Jabatan Mufti Negeri Terengganu
"Di samping itu, kita ada juga gerai kerjaya pendidikan iaitu melibatkan TATI, pusat Darul Quran Terengganu dan kolej-kolej yang memberi maklumat lanjut berkenaan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," ujar beliau.
Sementara itu ujarnya, terdapat pelajar OKU buta yang mengikuti pendidikan tahfiz di MTT, dengan tujuh pelajar  yang kini berdaftar di sana.
"Kita ada juga OKU buta dan di sekolah ini, ada hafazan tahfiz untuk orang buta dan kalau yang berminat boleh daftar.
"Biasa digemburkan apabila dengar berkenaan sekolah tahfiz hanya dengan belajar dan menghafaz Al Quran.
"Di sini kita nak terapkan pelajar kita supaya meminati sains dan alhamdulillah sekolah kita ada sains tulen," kata Effendi.
Di samping itu, Klinik Al-Fatihah turut disediakan secara percuma kepada orang ramai yang ingin memperbetulkan Al Fatihah.
Justeru itu, beliau berharap, program sebegini diadakan setiap tahun supaya memberi peluang yang lebih meluas kepada para pelajar dan kepada sekolah berdekatan menaruh minat dalam dunia sains.
                        
                        
                                29 Oct 24
            
                    
                                114
            
             
                                            
                            Kembar Yatim Raih Ijazah Kelas Pertama, Hargai Sokongan Nenek
                        
                        
                            KEMAMAN, 20 Oktober -  Sepasang kembar yatim piatu, Siti Nur Masmera Dalina Muhammad Yusof dan Siti Nur Mastika Dalina Muhammad Yusof berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam Bachelor Of Manufacturing Engineering Technology (Tooling) With Honurs dengan cemerlang di UC TATI.
Kejayaan kedua-dua mereka lebih manis apabila menerima Ijazah Kelas Pertama dengan pencapaian akademik yang luar biasa.
Kedua-dua mereka telah dijaga dan dibesarkan oleh nenek, Wan Zaharah Ahmad yang sentiasa memberikan sokongan serta bimbingan.
Pengorbanan itu menjadi pendorong utama kejayaan mereka berdua yang telah kehilangan ibu bapa ketika berusia 15 tahun.
Siti Nur Masmera berkata, tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan memperolehi kejayaan cemerlang dengan meraih ijazah kelas pertama dan menyifatkan ia merupakan penghargaan yang amat bermakna.
"Segala yang kami capai adalah hasil daripada sokongan tidak berbelah bahagi daripada nenek kami, Wan Zaharah dan juga melalui bantuan Biasiswa Asasi daripada UC Tati dan juga dana kewangan daripada Yayasan Terengganu dan MAIDAM (bantuan awal pengajian dan dermasiswa)," ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ke-24 UC TATI, di sini, semalam.
Sementara itu, Siti Nur Mastika pula berkata, rahsia kejayaan mereka adalah saling memberi semangat di antara satu sama lain untuk berjaya.
"Walaupun banyak cabaran yang terpaksa kami hadapi dan tempuhi kerana kami sedar bahawa pendidikan adalah satu-satunya cara untuk keluar daripada kitaran kesusahan," ujarnya.
Dalam pada itu kejayaan pasangan kembar itu mendapat perhatian daripada pihak universiti  yang melihat mereka boleh dijadikan sebagai inspirasi kepada pelajar lain untuk tidak mudah menyerah kalah.
Rektor UC TATI, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata kedua-dua mereka adalah contoh terbaik kepada semua pelajar.
"Bahawa kejayaan bukanlah semata-mata bergantung kepada keadaan asal kita, tetapi ia berdasarkan kepada usaha dan komitmen yang ditunjukkan," ujarnya.
                        
                        
                                20 Oct 24
            
                    
                                287
            
             
                                            
                            UMT Jadi Universiti Pelaksana Program WIFIdx Pertama di Malaysia
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 19 Oktober -  Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi universiti pertama di Malaysia dipilih sebagai pelaksana program WIFIdx (The Women ICT Frontier Initiative) di Malaysia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Naib Canselor UMT, Profesor  Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, sehingga kini WIFIdx telah dilaksanakan di 12 negara merentasi rantau Asia Pasifik termasuklah Armenia, Bangladesh, Cambodia, India, Kyrgyzstan, Papua New Guinea, Filipina, Sri Lanka dan Thailand.
"Alhamdulillah UMT amat berbesar hati dan bertuah apabila Sekretariat WIFIdx UN telah memberi mandat kepada UMT sebagai pelaksana WIFIdx di Malaysia untuk tempoh dua tahun.
"Selain itu, UMT turut bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk melaksanakan program WIFIdx di seluruh negara.
"Melalui usaha ini, UMT berhasrat untuk membantu meningkatkan kehidupan dan taraf ekonomi masyarakat yang  membawa manfaat besar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelancaran WIFIdx yang disempurnakan oleh Canselor UMT, iaitu Sultanah Terengganu Nur Zahirah, Tuanku Canselor UMT sempena majlis santapan petang di Taman Tamadun Islam di sini hari ini.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan kepimpinan kerajaan negeri.
Jelasnya, WIFIdx merupakan singkatan kepada “United Nations Women ICT Frontier Initiative” adalah program inisiatif pengukuhan ICT wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (WIFIdx) dilancarkan pada tahun 2016 di bawah Asian and Pacific Training Centre for Information and Communication Technology for Development (APCICT), berpangkalan di Incheon, Korea
Tambah beliau, WIFIdx adalah bertujuan untuk memupuk program keusahawanan wanita di Asia dan Pasifik melalui pembangunan kapasiti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Dalam majlis sama pada hari ini, turut diadakan penyampaian Cek Cura sebagai simbolik penyerahan sumbangan yang berjumlah RM1,762,213.60 yang merupakan sumbangan oleh Etiqa Family Takaful Berhad, Tabung Haji Negeri Terengganu, MAIDAM, MBSB Bank Berhad, Maybank Islamic Berhad, PETRONAS, Bank Rakyat, Maybank Islamic Berhad Kuala Terengganu dan RHB Bank Berhad.
"Sumbangan dari pelbagai agensi dan syarikat korporat adalah dalam pelbagai bentuk seperti dana zakat, bantuan pendidikan dan juga geran projek.
"Semua ini bagi mendokong keperluan pendidikan dan pembangunan pelajar di UMT," katanya.
 
                        
                        
                                19 Oct 24
            
                    
                                261
            
             
                                            
                            Tanpa Panduan Guru, Tiada Siapa Bergelar Graduan
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 3 Oktober -  Tiada manusia mampu mencapai kejayaan di dunia tanpa kehadiran insan bergelar guru.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat menyeru setiap graduan supaya menghargai pengorbanan dan titik peluh para guru.
“Apabila kita menyebut perihal ilmu pengetahuan dan penuntutnya, semestinya para guru serta murabbi bukanlah insan yang asing.
“Maka Majlis Konvokesyen yang diadakan pada hari ini, seharusnya menjadi satu medan teristimewa, untuk kita semua khususnya para graduan, menyampaikan apresiasi serta penghargaan kepada para guru yang mendidik kita tanpa jemu, menjadi lilin membakar diri, demi menerangi perjalanan kalian sehingga ke akhirnya,” ujarnya
Beliau berkata demikian pada sidang ucapan Majlis Konvokesyen Ke-2 Kolej Yayasan Islam Terengganu (KYIT) 2024 di Pusat Konvokesyen, Taman Tamadun Islam di sini kelmarin.
Turut meraikan, Pengerusi Lembaga Pengelola KYIT; Che Alias Hamid, Pengarah Yayasan Islam Terengganu; Zahanapi Segaf, dan Ketua Eksekutif KYIT; Dzulkefli Mamat.
Untuk rekod seramai 60 graduan diraikan dalam majlis gilang gemilang itu, yang terdiri daripada dua program yang ditawarkan di KYIT iaitu Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Diploma Pengajian Islam.
KYIT turut mengurniakan Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum kepada Nur Anis Solehah Hamzah dan Anugerah Kecemerlangan Akademik, diraih oleh Nurul Ain Rahimi.
Kedua-duanya mencapai kejayaan dalam program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.
Bagi program Diploma Pengajian Islam, Penerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum disandang oleh Nurul Hikmatul Hijrah Mohd Anuar, manakala Aqilah Ahmad Zaini adalah Penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik.
Majlis turut mengurniakan Anugerah Ketua Eksekutif kepada Nor Asmira Syafika Jais dari Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.
 
                        
                        
                                04 Oct 24
            
                    
                                236
            
             
                                            
                            UMT Terima 2,060 Pelajar Baharu
                        
                        
                            KUALA NERUS, 2 Oktober- Seramai 2,060 pelajar baharu program Sarjana Muda bagi Sesi Akademik 2024/2025 mendaftar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mulai hari ini.
Naib Canselor UMT, Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, berkata daripada jumlah tersebut, seramai 238 pelajar adalah lepasan Asasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang merupakan ‘produk’ UMT.
Menurutnya, pihak pengurusan UMT komited dan memberi jaminan dalam memastikan pelajar dapat mengikuti alam kampus dengan baik serta dapat menghabiskan pembelajaran dengan cemerlang di UMT, seterusnya melahirkan graduan yang berdaya saing.
“Seawal 7.30 pagi para pelajar bersama keluarga telah bersedia untuk sesi pendaftaran di Dewan Sultan Mizan (DSM) dan disambut oleh para petugas seramai 350 orang, semuanya berjalan lancar.
"Minggu Jalinan Mesra (MJM) akan berlangsung pada 1 hingga 5 Oktober, di mana pelajar akan mengikuti sesi taklimat di Dewan Sultan Mizan serta di Kolej Kediaman yang merangkumi sesi pengenalan berkaitan akademik dan hal ehwal pelajar.
"Mereka juga akan terlibat dengan pelbagai aktiviti antaranya sukan dan kesenian serta dibawa melawat fakulti masing-masing," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga berharap para pelajar cepat menyesuaikan diri di alam kampus dan dapat meneroka lebih banyak peluang dalam bidang kokurikulum.
"Ia bagi melahirkan pelajar yang bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik semata-mata malah dapat melahirkan graduan yang holistik serta bersedia untuk berada di alam pekerjaan kelak.
"Justeru itu, semua pelajar perlu memanfaatkan peluang tersebut untuk mencapai kejayaan akademik dan menyumbang kepada negara serta mengucapkan tahniah kepada pelajar dan semua ibu bapa kerana memilih UMT sebagai universiti pilihan utama," ujarnya lagi.
Tambah beliau, UMT turut menawarkan program pengajian baharu untuk pengambilan sesi Akademik 2024/2025 iaitu Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian.
"Kita  menerima pelajar sulungnya seramai 82 orang untuk program tersebut manakala terdapat 33 program sarjana muda yang telah ditawarkan UMT setakat ini," jelasnya.
 
                        
                        
                                02 Oct 24
            
                    
                                234
            
             
                