Artikel "Pendidikan" Terkini
 
                                            
                            Pelajar Terengganu Inovasi ‘Rumah Pintar’
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 2 Oktober -  Pelajar Terengganu terus ke hadapan mempamerkan bakat dan kreativiti dalam pertandingan Spark Your Creativity Challenge (SYCC) 2024 yang bertemakan ‘Smart Home’ pada edisi kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat sangat teruja dan kagum dengan daya cipta yang ditunjukkan oleh peserta pertandingan.
“Saya sangat berbesar hati dapat menyaksikan pertandingan mencungkil bakat, inovasi dan kreativiti pelajar terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Dengan tema ‘Smart Home’, anak-anak kita diberi peluang untuk mempamerkan kebolehan mereka dalam mencipta solusi lebih pintar dan berinovasi untuk masa hadapan. Rumah pintar bukan sekadar tempat tinggal yang dilengkapi teknologi canggih, tapi boleh menjimatkan tenaga, selesa dan lestari.
“Pihak Kerajaan Negeri amat menitikberatkan dan memberi sokongan sepenuhnya terhadap sumber manusia dan bakat-bakat yang ada khususnya anak Terengganu, supaya tidak ketinggalan bagi memenuhi keperluan teknologi di masa akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian SYCC 2024 di Auditorium Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Naib Presiden ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc, Nadia Khairene Ismail.
Sebanyak 40 buah sekolah dari seluruh Negeri menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh PSKT hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Pendidikan Yayasan Terengganu, serta penaja utama ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc.
SK Gong Kapas menjuarai pertandingan SYCC 2024 kategori Sekolah Rendah, membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, piala iringan, plug pertandingan serta sijil penyertaan, naib juara dimiliki SK Sura dan tempat ketiga SK Kelulut.
Bagi kategori Sekolah Menengah, SMK Tengku Lela berjaya ketepikan 25 pasukan lain untuk bergelar johan pertandingan, naib johan disandang SMK Rasau Kertih dan diikuti rapat SMK Balai Besar di tempat ketiga.
                        
                        
                                01 Oct 24
            
                    
                                918
            
             
                                            
                            Pesta Buku Terbesar Terengganu Berakhir Esok
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 30 September - Penganjuran Pesta Buku terbesar peringkat negeri di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu yang bermula 25 September lalu akan berakhir esok.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Ridzuan Hashim berkata Pesta buku kali ini merupakan program paling ditunggu-tunggu oleh para penulis, pembaca dan peminat buku yang sentiasa dahagakan ilmu.
Katanya, program yang diadakan setiap tahun bermula 2018 itu dijayakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) serta tajaan Syarikat Muda Osman Sdn Bhd (SMO).
"Seramai 73 penerbit dari tempatan dan luar turut hadir. Selain itu, jualan alat bantuan mengajar dan juga alat tulis turut diadakan pada Pesta Buku kali ini.
"Pelbagai kategori bahan bacaan juga dijual seperti novel, komik, buku pelajaran dan bahan bacaan umum dengan harga promosi berpatutan, pelbagai pengisian program disediakan kepada pengunjung yang hadir sepanjang tempoh tujuh hari pesta buku ini berlangsung dengan pelbagai kategori bermula dari kanak-kanak hingga dewasa.
"Antara aktiviti menarik turut diselitkan adalah pertandingan mewarna, bercerita, kuiz, busana perpaduan, jigsaw puzzle, ceramah kekeluargaan, bicara karya, ulasan sukan spontan, permainan tradisional, pertunjukan wayang kulit, busking dan banyak lagi program disediakan, pesta kali ini menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung," katanya kepada media.
Selain itu katanya, jualan makanan daripada peniaga-peniaga food truck dan Bazar PPAT, dan juga kehadiran figura terkenal tanah air bagi memeriahkan lagi suasana.
“Antara figura terkenal tersebut iaitu Datuk Imuda, Ben Wong, Sharina Elisa, Muzuza, Adik Dhani, Hudanajwa dan ramai lagi masing-masing mempunyai slot khas.
“Semasa berlangsungnya Pesta Buku ini, perkhidmatan Perpustakaan juga telah dilanjutkan sehingga jam 10 malam, melibatkan bahagian kanak-kanak dan pinjaman dewasa.
“Turut memeriahkan Pesta buku kali ini pembukaan kaunter semakan Wang Tak Dituntut (WTD) oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia, perkhidmatan kaunter bergerak oleh MAIDAM, pameran robotik daripada TATIUC.
“Saya amat mengharapkan agar semua pihak terlibat semasa Pesta Buku kali ini sentiasa komited dalam usaha meneruskan dan memajukan industri media cetak dan seterusnya membangunkan masyarakat berilmu pengetahuan, jadi rebutlah peluang ini untuk mendapatkan buku kegemaran dengan harga mampu milik,” ujarnya.
                        
                        
                                30 Sep 24
            
                    
                                992
            
             
                                            
                            Pengorbanan Seorang Guru Bantu Pelajar OKU Raih Emas
                        
                        
                            MARANG, 28 September - Pengorbanan seorang demi melihat anak didiknya yang juga pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) berjaya dalam sukan lompat jauh berhasil setelah muridnya memperolehi emas peringkat negeri baru-baru ini.
Guru Pendikan Khas Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan, Wan Husni Wan Abdullah, 36, berkata Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sekolah Sukan Negeri Terengganu yang diadakan pada 21-23 Ogos baru-baru ini telah menjadi bukti bahawa Muhammad Ashreil Mikhail Zawawi mampu meraih kejayaan cemerlang.
Dengan memperolehi satu pingat emas dalam acara lompat jauh BPL 12 (Masalah pembelajaran lelaki bawah 12 tahun) Muhammad Ashreil juga berjaya memecahkan rekod baru kejohanan. 
"Saya berusaha mencari sumbangan untuk kos makan minum, serbuk protein dan telur dan dia juga banyak juga guna duit sendiri.
"Persediaan di peringkat kebangsaan pada tujuh sehingga 11 Oktober ini di Stadium Ipoh, Perak juga memerlukan kos kira-kira RM600, hanya untuk Ashreil seorang," ujarnya  kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini.
Katanya demi melihat kejayaan anak muridnya itu beliau telah menghabiskan RM1,400 untuk menampung empat orang pelajar bermula dari tahun lepas bagi menghadapi Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Peringkat Daerah dan Negeri, namun hanya Ashreil seorang sahaja yang berjaya ke peringkat kebangsaan.
Jelasnya, ia termasuk belanja untuk membeli kasut khas untuk larian, makanan tambahan, ubat-ubatan serta alatan yang lain.
"Saya nak ucap terima kasih kepada YB Ustaz Sulaiman Sulong (ADUN Pengkalan Berangan) sebab sudi memberi sumbangan kepada Ashreil.
"Besar harapan saya agar  Ashreil menang emas dalam lompat jauh, di peringkat kebangsaan dan semoga dia terpilih ke sekolah sukan khas yang akan dibuka di Nilai, Negeri Sembilan melalui panel pemilih," katanya merujuk kepada penyerahan sumbangan olahraga pendidikan khas kepada Ashreil di pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Pengkalan Berangan baru-baru ini.
 
                        
                        
                                29 Sep 24
            
                    
                                182
            
             
                                            
                            149 Pelajar Cemerlang DUN Pengkalan Berangan Terima Inisiatif Awal Ke IPTA
                        
                        
                            MARANG, 28 September-  Seramai 149 Pelajar dalam Dewan Undangan Negeri DUN Pengkalan Berangan terima Inisiatif awal bagi melanjutkan pelajaran ke Pusat Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata ianisiatif itu bagi memastikan dapat membantu sedikit sebanyak bagi memudahkan urusan serta tidak mahu ada pelajar yang tercici
"Kalau diikutkan tarikh tutup 15 september dan terdapat 105 penyertaan, namun atas semangat untuk memastikan setiap anak-anak mahasiswa warga N20 Pengkalan Berangan samaada yang akan menyambung pengajian diperingkat diploma atau ijazah.
"Maka kami terima dan pejam mata untuk tambahan kewangan dari ‘ayah angkat kita’ iaitu (TCOM) Terengganu Telecomunication Sdn. Bhd. (TCOMM), jelasnya lagi.
“Kebanyakan Universiti ini berada di kawasan bandar-bandar besar dan kita mengharapkan tidak menjadi kejutan  budaya dalam kalangan pelajat nanti sehingga melupakan mak, ayah dan keluarga di kampung", katanya.
Beliauu berkata demikian semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar STPM, STAM, , Syahadah Thanawi 2023 dan Sumbangan Awal Ke IPTA itu telah diadakan di Dewan Serbaguna Arkeb Unit 6, PSP Terengganu pada baru-baru ini.
Sulaiman Sulong juga turut berpesan kepada anak-anak pelajar tersebut supaya  setiap pelajar  sentiasa mengingati jasa mereka-mereka yang telah berkorban, tidak tinnggalkan solat bagi memastikan hubungan dengan Allah sentiasa dekat dan sekali gus memastikan akhlak terpelihara.
                        
                        
                                28 Sep 24
            
                    
                                219
            
             
                                            
                            Media Sosial Jadi Ancaman Besar 'Ulat Buku'
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 27 September - Kecanggihan teknologi masa kini boleh memudarkan minat masyarakat terhadap amalan membaca dan menuntut ilmu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim menzahirkan kebimbangan terhadap situasi yang berlaku dalam kalangan masyarakat terutama bagi golongan pelajar.
“Saya melihat media sosial menjadi punca utama menyebabkan pelajar kurang minat membaca buku atau kitab, dibimbanginya bakal jadi hiasan dalam almari sahaja suatu hari nanti.
”Kita perlu terapkan minat pelajar bermula dengan peranan ibu bapa di rumah dengan pelbagai cara seperti beli bahan bacaan atau bawanya ke pesta buku agar dapat memupuk minat terhadap media cetak tersebut, serta mengawal anak supaya tidak terlalu terikat dengan media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Pesta Buku @ PPAT 2024 di Dewan Teater, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu;l, Ridzuan Hashim, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Syed Ab Rahman Hilmi Syed Zain, dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Norliza Ismail.
Tambah Maliaman, beliau memuji usaha dibuat pelbagai pihak untuk menambah minat membaca dalam masyarakat serta mengekalkan suasana keilmuan melalui penulisan dan media cetak.
“Program seperti ini sangat penting supaya jalinan tradisi keilmuan kekal dengan penulisan tradisional atau media cetak dan sebagainya, kerana pembelajaran melalui kitab dapat menjamin keselamatan ilmu dan ketulenan sumber.
“Kita juga berharap setiap bacaan dapat diterjemahkan secara ‘amali’ dalam semua aspek kehidupan, ramai baca Al-Quran, tapi terlalu sedikit beramal dengan isi kandungannya.
“Dengan ilmu mampu merubah dan hasilkan masyarakat bijak pandai, sama ada cara minda berfikir atau bertindak, seterusnya dapat menjadikan masyarakat yang bermutu tinggi,” ujarnya.
                        
                        
                                27 Sep 24
            
                    
                                173
            
             
                                            
                            Imtiaz Terengganu Sasar Saingi Pelajar Antarabangsa
                        
                        
                            KUALA NERUS, 25 September - Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu menyimpan hasrat dan sasaran yang besar untuk bersaing dan duduk setaraf dengan pelajar antarabangsa dalam bidang akademik.
Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham percaya dengan kualiti para pelajar Imtiaz dan yakin bakal setaraf dengan mahasiswa antarabangsa dalam beberapa tahun lagi.
“Saya agak terkejut dan kagum dengan kemampuan dan kebolehan pelajar tingkatan 1, jika 6 bulan perkembangan seumpama ini, kita yakin dalam masa 4 tahun setengah lagi, mampu bersaing dengan mereka di peringkat antarabangsa, itulah objektif sebenar penubuhan sejak 20 tahun lepas.
“Kita nak para pelajar di sini bukan hanya mampu menghafal Al-Quran, bahkan mahu mereka cemerlang dalam bidang akademik, supaya dapat bersaing dan duduk semeja dengan pelajar dari Universiti hebat dunia seperti Oxford, Cambridge Universiti atau setarafnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penutupan Program Khas Asasi Ulul Albab, Sekolah-sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu tahun 2024, di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini semalam
Tambah Mohd Azmi, beliau yakin dengan kemampuan para guru untuk melatih dan mendidik pelajar dengan sistem ciptaan sendiri supaya menepati kejayaan yang disasarkan.
“Yakin dengan modul sendiri yang mampu memperkuatkan pelajar, permulaan 6 bulan pertama ini, kita berikan asas bagaimana untuk menjadi pelajar cemerlang.
“Semasa mula penubuhan dahulu, banyak sekolah luar datang untuk belajar dari Imtiaz, sekarang ada antara mereka mampu bersaing dan melebihi kita, itu tidak menjadi masalah, harapan Imtiaz supaya tidak ketinggalan dan sentiasa maju ke hadapan," katanya.
“Jika perlu adakan lawatan untuk tujuan pembelajaran dan tambah nilai pada Imtiaz, perlulah pergi ke Universiti yang lebih hebat supaya boleh belajar dari mereka. Jika nak jadi cerdik, mesti berkawan dengan orang cerdik, pemilihan kawan sangat penting untuk mencapai tujuan kejayaan.
“Sama-samalah kita berganding bahu supaya melahirkan teknokrat yang mampu menguasai pengetahuan arus perdana berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah untuk kesejahteraan Negeri Terengganu di masa akan datang," katanya.
                        
                        
                                26 Sep 24
            
                    
                                713
            
             
                                            
                            Abu Al-Quran Dilupus Tujuh Batu Nautika
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 24 September – Program Pelupusan Al-Quran Lama dan Rosak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar telah berjaya disempurnakan hari ini dengan pelupusan kiub abu Al-Quran sejauh tujuh batu nautika dari daratan, di perairan Terengganu. 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar,  Ahmad Shah Muhamed berkata program tersebut melalui kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan NGO Barakah Terengganu.
"Langkah ini menandakan fasa terakhir bagi usaha pengumpulan dan pelupusan al-Quran lama serta rosak yang dijalankan sejak beberapa bulan yang lalu," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan bertempat di perairan Sungai Terengganu di sini hari ini.
Ahmad Shah berkata program itu bertujuan untuk memastikan kitab suci al-Quran rosak, dilupuskan mengikut kaedah yang tertib dan sesuai dengan syariat Islam. 
"Proses pelupusan melalui pembakaran terkawal dan pemampatan abu ke dalam kiub khas sebelum dilarutkan ke laut adalah satu pendekatan yang telah dipraktikkan dengan teliti. 
“Pelupusan al-Quran lama ini adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan betul, dan kami berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat.
"Terutamanya JHEAT, UMT, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Bandar, NGO Barakah Terengganu serta institusi-institusi tempatan seperti Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), serta masjid-masjid dan surau-surau dalam kawasan DUN Bandar,” ujarnya.
Tambahnya, kejayaan program tersebut bukan sahaja mencerminkan kerjasama baik antara pelbagai agensi dan komuniti, tetapi juga memperlihatkan kepentingan memelihara kesucian al-Quran dan menghormati warisan agama.
                        
                        
                                24 Sep 24
            
                    
                                125
            
             
                                            
                            TESDEC Perkasa Pendidikan Kemahiran dan Keusahawanan Berteraskan Islam
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 23 September – Terengganu Skills Development Centre Berhad (TESDEC) terus komited dalam membangunkan kemahiran anak-anak muda dan belia lepasan sekolah dengan pendekatan menyeluruh, tanpa mengabaikan asas pengajian Islam. 
Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC Berhad, Mohd Iskandar Muhammad Aziz berkata, dalam usaha ini, subjek pengajian Islam telah dijadikan subjek umum di TESDEC, sejajar dengan keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).
“Malah Kolej TESDEC juga menawarkan Diploma Pelancongan (Haji dan Umrah) kepada lepasan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) dan pengajian Islam menjadi sebahagian subjek teras khususnya dalam hal ehwal haji dan umrah (fiqh lelaki dan wanita),” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Memorandum Perjanjian Persefahaman Tenaga Hijau Dan Efficiency Management Di Antara TESDEC Services Sdn.Bhd. dengan Alka System Sdn.Bhd di Permai Hotel pada semalam.
Menurutnya, pihak TESDEC kini sedang menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bagi menyediakan peluang keusahawanan kepada graduan.
“Kami sedang jalinkan hubungan dengan YPU bagi mencipta nilai kepada lepasan TESDEC supaya kemahiran menjana pendapatan melalui keusahawanan. 
“Keusahawanan berasaskan kemahiran ini menjadi pilihan kepadagraduan TESDEC sama ada untuk terus menyertai pasaran kerja dengan bekerja di mana-mana syarikat ataupun industri berkaitan kemahiran mereka.
 “Dan juga boleh membuka perniagaan mereka sendiri setelah mendapat khidmat nasihat, latihan dan sokongan dana dari Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) atau pun agensi, badan penajaan, pendanaan keusahawanan seperti MARA, SMECorp, Yayasan Peneraju, dan lain-lain agensi,” tambah  beliau lagi.
                        
                        
                                23 Sep 24
            
                    
                                165
            
             
                                            
                            Gelaran Ir Bukan Untuk Diri Saya - Ahmad Samsuri
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 19 September - Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata gelaran Ir (Kejuruteraan Profesional) yang diperolehinya sejak bulan lalu, adalah bukan untuk diri sendiri.
“Ramai kawan berbicara tentang pencapaian gelaran Jurutera Profesional, saya kata ini bukan tentang diri sendiri sahaja, tetapi untuk tujuan motivasi, nak tunjukkan kepada generasi baharu, terutama kepada mereka yang masih berada di dalam sistem pengajian, sama ada di peringkat menengah, ijazah, masters, mahupun PhD,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023 (kali ke- 43) & Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam baru-baru ini.
Ahmad Samsuri juga mengingatkan para pelajar supaya kekal bermotivasi dan sentiasa bersedia dengan apa jua cabaran dan dugaan yang bakal dihadapi.
“Saya percaya kita akan bertemu dengan pelbagai cabaran dan ujian tak kira di mana berada sama ada di sekolah atau pun universiti, apabila tamat kita akan berdepan dengan dugaan alam pekerjaan pula, semua ini memerlukan semangat kuat dan kental, supaya kehidupan kita berjalan dengan baik.
“Saya terinspirasi dari kata-kata lagenda tinju dunia Muhammad Ali, tidak ada salahnya jika ditumbuk dan jatuh dalam perlawanan, tapi rasalah bersalah andai jatuh tapi tidak bangun-bangun, jatuh itu bukan bermakna kita kalah.
“Kita juga harus mempunyai objektif dan matlamat dalam kehidupan, supaya sasaran sijil paling tinggi itu dapat kita capai dengan jayanya,” katanya.
                        
                        
                                18 Sep 24
            
                    
                                6687
            
             
                                            
                            Terengganu Sasar 16 Kumpulan Gamelan dalam Lima Tahun
                        
                        
                            KUALA TERENGGANU, 18 September - Terengganu menyasarkan pembentukan sekurang-kurangnya 16 kumpulan gamelan dalam tempoh lima tahun sebagai usaha memperkasa seni warisan gamelan di negeri ini.
Pengarah Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, inisiatif itu bermula dengan penyerahan peralatan gamelan secara pinjaman kepada empat buah sekolah bertujuan memastikan kesinambungan program gamelan serta melahirkan lebih ramai penggiat seni tempatan.
"Setakat ini, hanya tiga kumpulan gamelan yang aktif di Terengganu.
"Sasaran kita adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya dua kumpulan bagi setiap daerah, menjadikan keseluruhannya 16 kumpulan di lapan daerah.
"Jadi sebab itu pada permulaan ini inisiatif kita ialah berkolaborasi dengan 17 buah sekolah bagi mengembangkan dari segi muzik gamelan juga tarian," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang media selepas program Memorandum Persefahaman (MoU) 
Peminjam Alat Muzik Gamelan Melayu antara Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, pada semalam.
Menurutnya, beliau turut menjelaskan bahawa Jabatan Pelancongan Terengganu akan menyediakan tenaga pengajar bagi memastikan program ini berjalan lancar.
"Jadi target dalam lima tahun kita dapat melahirkan lebih ramai penggiat dalam seni warisan gamelan negeri Terengganu.
"17 buah sekolah, satu buah sekolah lebih kurang 20 orang. Tetapi ada sekolah yang bilangan peserta 15-20 orang bergantung pada institusi. 
"Dan sekolah ini juga sentiasa berkembang contohnya Sekolah Kubang Ikan pada peringkat awalnya kalau tak silap saya sembilan orang tapi sekarang ada dalam 15 orang," ujarnya.
Beliau menambah, program ini mendapat sambutan yang sangat baik, bukan sahaja daripada pelajar tetapi juga ibu bapa.
"Sebenarnya kita telah melaksanakan kolaborasi dengan sekolah dua tahun yang lepas dan lima tahun yang saya letak bermula pada tahun inilah.
 "Yang akan datang ini di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melibatkan lebih 10 buah sekolah dan ada dua kategori muzik dan tarian," tambah beliau.
Justeru itu, beliau menyeru pihak yang terbabit agar terus mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri demi memastikan warisan gamelan ini terus berkembang dan terpelihara.
"Jadi Kita sama-sama mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan negeri," tambah beliau lagi.
Bagi tarian gamelan, beliau menjelaskan bahawa polisi kerajaan negeri hanya membenarkan pelajar wanita berusia 12 tahun ke bawah untuk terlibat, sesuai dengan garis panduan yang ditetapkan.
                        
                        
                                17 Sep 24
            
                    
                                185
            
             
                