SETIU, 14 Jun – Kerajaan negeri Terengganu terus komited memastikan kemudahan infrastruktur luar bandar sentiasa berada dalam keadaan terbaik demi keselesaan, keselamatan, dan sosioekonomi rakyat.
Terbaharu, laluan di Jalan Gong Dohuk, Kampung Bahagia, Jabi kini berwajah baharu selepas usaha menaik taraf dan membaiki kerosakan jalan di kawasan berkenaan siap dilaksanakan sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak pentadbiran untuk menyantuni keperluan asas masyarakat setempat serta menyelesaikan isu prasarana yang dihadapi penduduk.
"Yang lama kita perbaharui, yang rosak kita perbaiki. Kita mahu memastikan setiap kemudahan yang digunakan oleh penduduk kampung berada dalam keadaan optimum," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr. Azman turut menzahirkan harapan agar gerak kerja penambahbaikan itu memberi impak positif kepada aktiviti harian komuniti di situ, terutamanya dalam memudahkan urusan harian serta mobiliti setempat.
"Semoga warga Kampung Bahagia sentiasa bahagia, bukan sahaja dalam menjalani kehidupan seharian di dunia, malah juga di akhirat kelak," ujarnya.
Sementara itu, rata-rata penduduk tempatan menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan wakil rakyat serta pusat khidmat masyarakat DUN yang menyegerakan kerja-kerja pembaikan jalan tersebut.
Langkah proaktif itu bukan sahaja memberikan keselesaan kepada pemanduan, malah sekali gus mengurangkan risiko keselamatan dan kemalangan kepada pengguna jalan raya di kawasan terbabit.
Tag :